Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

Keratan Akhbar Yang Menjadi Sebahagian Rujukan Novel Landasan Maut.

KOTA BAHARU, 9 Ogos - Kenangan pahit menjadi buruh paksa 64 tahun
lalu masih menghantui seorang warga tua yang kini berumur 81 tahun.

Pengalaman sukar semasa Perang Dunia Kedua itu mengingatkan beliau
akan bahaya pencerobohan kuasa asing dan erti kemerdekaan.

Setiap kali menyambut Hari Kemerdekaan, beliau sebak kerana terkenang
keperitan hidup pada zaman penjajahan Jepun.

"Pak cik tidak dapat lupakan kekejaman Jepun sehingga akhir hayat dan
pak cik tidak akan halalkan perbuatan kejam mereka," kata Muhammad
Awang yang terlantar akibat lumpuh separuh badan selepas diserang
angin ahmar lebih tiga tahun lalu.

Muhammad hanya mampu terbaring dan isterinya Khadijah Awang Ngah, 76,
menjadi tempat beliau bergantung hidup menguruskan makan minumnya.

Khadijah seringkali mencelah sebagai "jurucakap" suaminya itu
disebabkan pertuturan Muhammad yang tidak jelas tetapi pengalaman
Muhammad ketika menjadi buruh paksa itu tetap terpahat kukuh dalam
ingatannya.

MUHAMMAD MEMULAKAN PERJALANAN BERBAHAYA

Ketika menceritakan kisah silam itu, air mata Muhammad sentiasa
bergenang dan kadang kala keadaan menjadi lebih emosi dengan
tangisannya semakin kuat.

Pada Jun 1942, pemerintah tentera Jepun mula mengumpulkan pekerja
bagi membina jalan keretapi dari Nong Pladuk, di daerah Kanchanaburi
di Thailand, ke Thanbyuzayat di Burma.

Ketika dibawa ke Thailand ketika itu, Muhammad yang berasal dari
Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas baru memasuki usia 18 tahun.

Mengikut catatan sejarah, selepas selesai penaklukan Jepun di Tanah
Melayu dan Singapura pada Februari 1942, negara matahari terbit itu
mula merencanakan pembinaan landasan keretapi sejauh 415 kilometer
dari Thailand ke Burma bagi meluaskan penaklukan rantau itu sehingga
ke India.

Muhammad turut serta dengan 61,000 tahanan perang British, Australia,
Amerika, New Zealand dan Belanda dan 200,000 lagi buruh paksa India,
China dan Melayu dari rantau itu.

Sepanjang tempoh tiga tahun pembinaannya, seramai 16,000 tawanan
perang maut dan lebih 100,000 buruh dari Asia itu dilaporkan
meninggal dunia atau hilang.

MUHAMMAD TERSEKSA

Muhammad dipaksa menaiki sebuah keretapi bersama ramai yang lain dari
Pasir Mas untuk ke Thailand dalam perjalanan yang mengambil masa enam
hari.

"Duduk dalam keretapi itu sangat sedih, makan tak cukup, duduk
berhimpit-himpit sehinggalah sampai ke Ban Pong (Thailand).

"Dari Ban Pong kami diangkut dengan lori dan selepas beberapa jam
pula kami sampai ke satu tempat," katanya.

Sambil menyeka air mata, Muhammad berkata mereka ditempatkan di rumah
panjang iaitu bangsal buluh yang beratapkan daun sagu dan
berlantaikan buluh.

Setiap bangsal itu memuatkan lebih 100 orang dan keadaannya
diibaratkan macam tin sardin dengan tiada ruang untuk tidur atau
bergerak.

Di tapak itu mereka diarahkan membuat kerja-kerja seperti mengangkut
tanah dan menambak jalan keretapi dengan dikawal ketat oleh tentera
Jepun.

"Jika kami lambat, kami akan dipukul dengan buluh, rotan atau "makan
penampar Jepun". Makan minum juga tidak cukup dan belum pun tiga
bulan di situ masalah kesihatan mula timbul," katanya.

Muhammad berkata antara masalah yang biasa dialami ialah cirit birit
selain malaria dan kepialu.

Beliau berkata ubat-ubatan pula tidak mencukupi dan setiap hari
terdapat dua atau tiga orang buruh yang mati dan keadaan itu sangat
menakutkan dirinya.

"Pak cik membilang hari bila agaknya nasib (untuk mati) akan tiba.

"Setiap hari lihat mayat yang kemudiannya kami isi dalam guni dan
ditanam di merata tempat," katanya.

MUHAMMAD MAHU MENYELAMATKAN DIRI

Lebih setahun di sana, Muhammad yang semakin terseksa akhirnya cuba
mencari helah kembali ke tanahair dan helahnya menggunakan miang
buluh akhirnya berjaya.

Semasa menebang buluh, beliau mengambil miang buluh dan melumurnya di
seluruh tubuh dan apabila badannya basah akibat peluh, seluruh
badannya bertukar menjadi merah menyebabkan tentera Jepun
menghantarnya pulang.

"Tentera Jepun ingatkan saya hidapi penyakit berjangkit dan saya
terus dihantar pulang dengan segera. Saya sampai di rumah waktu malam
ketika keluarga sedang menilik nasib saya melalui permainan puteri,"
katanya.

Selepas pulang, Muhammad akhirnya memilih kerjaya tentera sehingga
bersara dan melalui perkongsian hidup dengan Khadijah, pasangan itu
dikurniakan 10 anak iaitu lima lelaki dan lima perempuan.

PENGAJARAN DARIPADA PENGALAMAN MUHAMMAD

Ketika ditanya akan pengajaran daripada pengalaman yang dilaluinya,
Muhammad berkata ia membuatkan beliau menghargai kemerdekaan negara.

Beliau juga menyeru kepada generasi muda supaya menghargai
pengorbanan mereka yang membebaskan negara daripada cengkaman
penjajah dan mereka yang berkorban demi keamanan negara.

"Bukan senang negara diberikan kemerdekaan dan pemimpin pula berjaya
membawa negara menjadi maju dan kita hidup senang," katanya.

Mengakhiri perbualan, Muhammad berkata; "Jangan ada lagi yang jadi
macam pak cik ketika itu, rakyat merempat dan negara mudah dijajah".

Sementara Muhammad terpaksa mengharungi kenangan pahit itu sehingga
beliau menghembuskan nafas terakhirnya, rakyat Malaysia boleh belajar
menghargai semangat kemerdekaan daripada pengalaman pahit yang
dilalui Muhammad kerana penjajah.//Bernama


Judul Asal Manuskrip Landasan Maut

Dedikasi kepada rakyat Malaysia yang menjadi buruh paksa tentera Jepun ketika pembinaan landasan keretapi maut di Thailand. Tiada yang lebih sukar melainkan kesengsaraan, keperitan dan penderitaan yang tiada penghujungnya. Tiada yang lebih berharga daripada nyawa melainkan membilang hari menanti ajal...


Mengikut catatan sejarah, selepas selesai penaklukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura pada Februari 1942, negara matahari terbit itu mula merencanakan pembinaan landasan keretapi sejauh 415 kilometer merangkumi 60 stesen dari Thailand ke Burma bagi meluaskan penaklukan rantau itu sehingga ke India.


Seramai 68,000 tahanan perang British, Australia, Amerika, New Zealand dan Belanda manakala 200,000 lagi buruh paksa India, China dan Melayu terlibat dalam pembinaan landasan maut itu. Sepanjang tempoh tiga tahun pembinaannya, seramai 16,000 tawanan perang maut dan lebih 100,000 buruh dari Asia itu dilaporkan meninggal dunia atau hilang. Sepanjang tempoh 1942 hingga 1946, sebanyak 72,000 rakyat negara ini menjadi buruh paksa, namun hanya kira-kira 30,000 orang sahaja selamat pulang


Kebanyakan tahanan yang meninggal dunia disebabkan berbagai penyakit antara lain seperti taun, malaria, beri-beri dan keletihan. Hukuman fizikal bagi mereka yang dinilai lalai atau melakukan kesalahan diperlakukan dengan sangat kejam dan sebagai hukuman mereka yang sakit dan tidak dapat bekerja tidak akan diberi makanan...


Kami Berikan Pada Hari Ini Adalah Untuk Hari Esok



Terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd
Harga: RM 20 / RM 23
ISBN-13: 978-983-3892-75-4
Tarikh Terbit: 14 Jul 2010
Jumlah Muka Surat : 256

Kategori: Sejarah


Sinopsis:Landasan Maut

Jun 1942, Mat Awang bersama empat rakan sekampungnya menjadi buruh paksa Jepun dan dihantar ke Kem Konyu, Siam untuk membina landasan keretapi maut. Mat Awang dan rakannya berusaha melarikan diri tetapi mendapat halangan.Setelah menakluki Malaya, tentera Imperial Jepun mula mengumpulkan pekerja bagi membina jalan keretapi dari Nong Pladuk Siam ke Thanbyuzayat Burma. Mat Awang terpaksa meninggalkan isterinya yang sedang mengandung ke Kem Konyu.

Pengalaman pahit, penderitaan dan seksaan yang dilalui Mat Awang, Dollah, Lajis, Wan Ngah, Che Din dan tahanan lain menyebabkan mereka mencari jalan untuk melarikan diri. Komanden Kem Yoshikichi Kasayama mengarahkan pemotongan Bukit Konyu dibuat untuk laluan keretapi. Komander Landasan Keretapi Leftenan Hiroshi Abe terpaksa akur dengan arahan Komanden Yoshikichi Kasayama walaupun mustahil pemotongan Bukit Konyu dapat dilakukan kerana batu pejal dan hanya menggunakan peralatan yang minima.

Kerahan kerja siang dan malam dalam tempoh 12 minggu menyebabkan Mat Awang dan rakan-rakannya menderita. Leftenan Hiroshi Abe simpati dengan tahanan tetapi Leftenan Siichi Okada terlalu kejam dan bengis malah mempunyai agenda untuk menghianati Leftenan Hiroshi Abe ketika kerja meletupkan Bukit Konyu dijalankan. Mat Awang bersama rakannya menggadaikan nyawa demi menyelamatkan Hiroshi Abe dan berjaya mematahkan niat jahat Leftenan Siichi Okada itu.

Comments

Azman said…
Satu kisah yang menarik jika dijadikan filem..
Nur Lavender said…
knp xde filem tentang landasan maut ni ye..ni satu cacatan sejarah jgk ni...
Salleh de Ran said…
Terima kasih Tuan Azman dan Cik Nur Lavender.

Industri filem di Malaysia tidak mampu mengangkat cerita epik seperti Landasan Maut kerana melibatkan kos/bajet yang terlalu tinggi. Ini termasuklah penyediaan kostum, props, pelakon yang ramai, lokasi dan berbagai lagi rencah bagi membuat sesuatu filem yang besar.

Mungkin satu hari kelak, ada produser yang berani tampil untuk membuat filem berkisar cerita Landasan Maut ini. Tambahan pula sudah ada teknik CGI dan pelbagai teknik lain yang dapat membantu pembikinan filem yang besar dan kosnya pula mampu oleh produser yang menerbitkannya.

Satu sebab lain mungkin produser tidak berani mengeluarkan bajet untuk filem sejarah adalah kerana kurangnya minat penonton pergi ke panggung. Jadi, impian mahu melihat filem seperti ini berlayar di skrin mungkin hanya tinggal harapan sahaja.

Sebelum ini sudah ada filem menceritakan kisah Landasan Maut yang dibikin oleh Hollywood yang berjudul The Brigde Of River Kwai pada tahun 1957. Itulah kali terakhir filem sejarah Landasan Maut difilemkan.
diros said…
assalamualaikum... ayah saya pernah bercerita tentang landasan keretapi maut dan belau pernah dikerah untuk berkerja disana. tapi dia terselamat dari menjadi mangsa kekejaman penjajah dan bernasib baik kerana dapat melepaskan diri sewaktu pembinaan sampai ke thailand seterusnya pulang ketanahair melalui kelantan. tapi sayang ceritanya telah pergi bersamanya kerana dia telah kembali kerahmatullah pada tahun 2010 sewaktu berusia 84 tahun. persoalan saya, betulkah jepun telah membayar pampasan kepada malaysia berkaitan pembinaan landasan maut itu. sekiranya ada kenapa tiada pampasan kepada waris atau balu keluarga buruh landasan maut tersebut. sekurang-kurangnya bolehlah untuk dibuat kenduri arwah. sekian.
Salleh de Ran said…
Terima kasih Angah Cool... saya simpati dengan kisah ayah Angah itu.Saya juga ada mendengar tentang pemberian pampasan itu, namun tidak pasti ke mana wang tersebut... Kita doakan yang baik-baik buat mereka yang telah pergi menemui Illahi... mereka yang terkorban ketika membina landasan keretapi maut itu adalah wira... Semoga arwah ayah Angah di tempatkan di kalangan orang yang beriman... amin
Unknown said…
Datuk saya salah seorang kerani keretapi di Alor Gajah Melaka ketika pemerintahan Jepun.Ketika landasan maut hendak dilaksanakan beliau nyaris dibawa untuk menjadi buruh paksa tetapi dengan bantuan salah seorang pegawai tentera Jepun dia dapat melepaskan diri bersama lima orang lagi kawan-kawanya..Sekarang datuk saya masih hidup tapi sudah kurang pendengaran maklumlah sudah 90 tahun jadi agak susah untuk saya menemu ramah lebih lanjut..

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI