TRUGANINI - WANITA ABORIGINE TERAKHIR
AKAN DATANG!
SEBUAH NOVEL SEJARAH AKAN TERBIT!
NANTIKAN KEMUNCULANNYA....
TRUGANINI
WANITA ABORIGINE TERAKHIR
Truganini, dia seorang wanita Aborigine, Tasmania yang sudah
lama pergi, kisahnya diingati, semangat wajanya menjadi kebanggaan dan ceritanya
masih hidup dan terus bernyawa. Dia seorang yang berani, tabah mengharungi
krisis, konflik, tragedi dan kekejaman yang menimpa bangsanya.
Kerakusan, penindasan dan penipuan penjajah hampir menghilangkan
identiti, budaya, tradisi dia dan bangsanya. Musnah segala-galanya, terpenjara
dan terasing dalam dunia bertamadun. Tanah air tergadai, dia dan bangsanya di
penghujung kepupusan. Dia yang terakhir dan darah yang mengalir untuk bangsanya
hampir kering dalam acuan...
Truganini adalah anak perempuan Mangana, iaitu pemimpin orang asli di
Bruny Island, Tasmania. Dia dilahirkan pada tahun 1812, di Bruny Island. Sebelum dia
berusia 18 tahun, ibunya telah dibunuh oleh pemburu ikan paus, kakaknya diculik
dan dijadikan hamba seks, tunang pertamanya telah mati semasa menyelamatkan
Truganini dari penculikan. Pada tahun 1828, dua adiknya, Lowhenunhue dan
Maggerleede telah diculik, kemudian dibawa ke Kangaroo Island, South Australia
dan dijual sebagai hamba. Bapa saudaranya turut dibunuh dan abang serta ayahnya
mati disebabkan penyakit yang dibawa oleh orang Eropah.
Berlaku permusuhan, pemberontakan dan peperangan orang asli terhadap pihak
berkuasa penjajah hingga berlarutan bertahun-tahun lamanya. Truganini
terselamat daripada peperangan Black Wars
atau Perang Hitam yang tercetus antara penjajah dan orang asli di Tasmania.
Apabila Leftenan Gabenor, George Arthur tiba di Tasmania pada tahun 1824,
beliau melaksanakan dua dasar untuk menangani konflik yang semakin meningkat
antara peneroka dan orang asli. Pertama, memberikan ganjaran untuk menangkap
orang dewasa dan kanak-kanak orang asli. Kedua, usaha untuk mewujudkan hubungan
mesra dengan orang asli. Tujuan utama, untuk menarik semua orang asli supaya berpindah
ke penempatan baru di Wybalenna, Flinders
Island. Kempen itu bermula di Bruny Island di mana terdapat lebih sedikit
permusuhan berbanding di tempat lain.
Pada tahun 1830, pelindung orang asli George Augustus Robinson, seorang
mubaligh Kristian telah diupah dan diarahkan untuk memujuk serta mengumpul saki
baki orang asli dalam kempen Misi Mesra dengan tujuan pengasingan adalah untuk
menyelamatkan mereka. Truganini dan suaminya, Woorrady membantu Robinson dalam
usaha itu dengan harapan dapat mengeluarkan dan melindungi orang asli daripada penindasan,
di samping menyelamatkan dan menyatukan apa yang tinggal daripada bangsanya.
Malangnya, Truganini bersama seramai kira-kira 100 orang asli yang lain
menerima kejutan apabila berada di penempatan baru mereka di Wybalenna, Flinders Island. Kehidupan mereka
seoalah-olah terpenjara, dengan keadaan yang tidak bersih dan selesa,
terutamanya disebabkan kekurangan zat makanan, influenza dan penyakit lain. Mereka
terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak menentu hingga membawa kepada kematian.
Budaya asli dan pegangan hidup mereka ditukar kepada budaya penjajah atas
alasan hidup akan lebih baik dan bertamadun. Mereka tiada pilihan walaupun
dalam keterpaksaan, hasilnya adalah penghapusan masyarakat orang asli berlaku di
situ.
Truganini juga membantu Robinson dengan menempatkan orang asli di tanah
besar ke Port Phillip pada tahun 1838.
Truganini tidak berpuashati dengan Robinson seoalah-olah dia menipu
dirinya dan orang asli yang lain. Truganini meninggalkan Robinson dan
meneruskan perjuangannya membebaskan bangsanya walaupun dia dan kumpulannya
dianggap oleh penjajah sebagai pemberontak dan penjenayah.
Selepas kira-kira dua tahun hidup di sekitar Melbourne mereka menjadi
penjenayah dan mencuri kepada golongan peneroka Eropah di Dandenong, Bass River
dan kemudian di Cape Paterson. Mereka membunuh dan menembak dua penangkap ikan
paus di pondok Watsons dan mencederakan peneroka yang lain di seluruh kawasan
itu.
Satu usaha telah dijalankan untuk menjejaki Truganini dan kumpulanya yang
bertanggungjawab ke atas pembunuhan penangkap ikan paus itu. Di dalam kejadian
itu Truganini tercedera di kepala akibat terkena tembakan dan dirawat oleh Dr.
Hugh Anderson di Bass River. Mereka akhirnya ditangkap dan dihantar untuk
perbicaraan, dua orang itu termasuk Woorrady suami Truganini di hukum gantung
di Melbourne atas alasan membunuh.
Truganini bersama beberapa yang lain telah dihantar semula ke Wybalenna, Flinders Island. Pada tahun 1856,
kem penempatan Wybalenna, Flinders Island
ditutup dan baki 46 orang termasuk Truganini yang masih hidup dipindahkan ke
sebuah kem penempatan baru di Oyster Cove, selatan Hobart. Pada tahun 1873,
kecuali Truganini, semua Orang Asli dibawa ke sana telah meninggal dunia. Kem
penempatan di Oyster Cove akhirnya ditutup pada tahun 1874, Truganina telah
diambil oleh keluarga Dendridge, dia kemudian tinggal bersama penjaganya itu.
Sedih dan dikhianati Truganini meninggal dunia di Hobart, pada tahun 1876 ketika
berumur 64 tahun.
Comments