SHAMSUL GHAU GHAU : BEZA BERBEZA

JUDUL BUKU: SHAMSUL GHAU GHAU: BEZA BERBEZA
TUKANG TULIS: Salleh de Ran
TERBITAN: CHANNEL MEDIA 2016
GENRE: BIOGRAFI
HARGA: SEMENANJUNG MALAYSIA RM25 & SABAH/SARAWAK RM28
EDARAN: FUMI EDAR / FUMI ENTERPRISE

Buku Shamsul Ghau Ghau: Beza Berbeza ini adalah terbitan kedua Channel Media. Penerbitan buku ini dengan kerjasama Tuan Haji Shamsul Ghau Ghau sendiri. 

SINOPSIS
Buku ini berkisah tentang biografi kehidupan Shamsul Ghau Ghau bermula dari awal kelahiran, kerjaya sebagai polis, kerjaya sebagai artis hinggalah kini penghijaran beliau sebagai seorang insan yang mencari redha Allah.
Shamsul Ghau-Ghau atau nama sebenarnya S. Hamsul Azahar Aliddin ialah seorang pelawak, penyanyi, pelakon, penyampai radio dan pengacara TV di Malaysia. Beliau mula mencipta nama melalui rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan musim Pertama pada tahun 1994 dan meneruskan kerjaya seninya beberapa tahun kemudian hinggalah kini masih aktif. Namun, Shamsul Ghau Ghau sudah berubah kepada fasa yang lebih baik. Mencari redha Allah SWT menjadi pegangannya dan beliau juga aktif dalam program Sharing Is Caring.
Telusuri siri suka duka kehidupan beliau yang mungkin menjadi iktibar kepada pembaca.


Shamsul menyatakan mengapa beliau menerbitkan buku ini.

Tujuan saya menghasilkan buku ini sebenar-benarnya bukan untuk membuka aib diri sendiri ataupun untuk mendedahkan aib orang.

Namun ianya terdetik kerana untuk mencari redha Allah SWT agar menjadi asbab satu-satunya mendapat pahala dan anugerah syurga daripada Allah SWT satu hari nanti dan di hari akhirat kelak.

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir hendak menghasilkan buku ini. Namun, Tuan Guru Al Fadhil Ustaz Rashidi Jamil Al Rashid Al Hafiz adalah Tuan Guru yang memberikan semangat kepada saya untuk menulis buku atas asbab dakwah.

Saya juga diminta oleh Al Fadhil Ustaz Rushdy Ramli Al Jauhari untuk menulis buku. Beliau adalah seorang pendakwah bebas, personaliti TV dan pernah bersama saya menjadi Spokesperson untuk Walit Gold. Saya juga menerima suntikan semangat untuk menulis daripada sahabat-sahabat yang sama-sama berhijrah.

Walaupun sudah lama kata-kata semangat itu lahir, namun untuk melahirkan buku ini bukanlah perkara yang mudah. Pelbagai ujian, dugaan yang datang dan timbul.

Dengan keizinan Allah SWT, maka lahirlah buku yang berjudul Shamsul Ghau Ghau: Beza Berbeza ini, walaupun hampir 10 tahun saya berusaha untuk merealisasikannya.



CORETAN SI TUKANG TULIS

Akhir Ogos 2015, saya menerima panggilan daripada Shamsul Ghau Ghau, ketika itu saya berada di pejabat pos untuk membayar bil. Beliau menyatakan dan berhasrat mahu menerbitkan buku tentang penghijrahan beliau kepada saya.

Pada mulanya, saya agak keberatan, memandangkan saya ada komitmen lain untuk menyiapkan manuskrip lain yang masih tertangguh. Memandangkan Shamsul Ghau Ghau beria-ia mahu menerbitkan buku, maka saya berfikir sekali lagi. Demi persahabatan, akhirnya saya menerima pelawaan beliau itu.

Saya bertanya kepada Shamsul, “Kenapa Abang Shamsul tidak menulis sendiri?”

Shamsul menjawab, “Sebab aku tak reti nak menulis. Aku tak ada masa nak menulis. Tapi aku nak terbitkan buku. Aku nak kau bantu aku tulis, boleh?”

Saya hanya mampu berkata, “Insya-Allah, aku cuba....”

Rentetan daripada itu, saya cuba mencari waktu yang sesuai untuk mendapatkan maklumat dan bahan untuk manuskrip buku yang dicadangkan itu. Namun, hampir 9 bulan usaha untuk menerbitkan buku itu tertangguh kerana Shamsul Ghau Ghau tidak mempunyai masa dan ruang untuk saya mendapat bahan cerita daripadanya.

Beliau sibuk dengan aktiviti hariannya dan beberapa kali usaha untuk bertemu kerap kali tertangguh. Alhamdulillah, pada 30 April 2016 saya menghantar mesej kepada beliau untuk menetapkan tarikh baharu pertemuan bagi perbincangan buku seterusnya dan beliau bersetuju.

Pada 5 Mei 2016, satu pertemuan diadakan di 101 Bangi Hotel dan di situ kami merencanakan buku, mengambil maklumat dan bahan penceritaan terus daripada Shamsul Ghau Ghau.

Alhamdulillah, dengan keizinan Allah usaha itu berjaya dan beliau sendiri memberikan judul bukunya iaitu Shamsul Ghau Ghau : Beza Berbeza yang mana kini anda sedang menatapnya.  Selamilah dan hayati di sebalik kisah menarik rencah dan siri kehidupan dan penghijrahan Shamsul Ghau Ghau mencari redha Allah SWT. Memang berbeza! 


ANTARA PETIKAN DARIPADA BUKU INI

Sekiranya tidak hafal surah-surah ataupun hadis yang diajarnya itu, pasti kena lempang, kena tampar dan perut kena cubit. Ustaz itu memang cukup garang, ketika itu memang cukup marah betul dan berdendam dengan Ustaz yang mengajarnya.

“Aku tak ada masa depan jika berterusan begini. Hidup aku hanya di pasar malam. Bangun tidur mengadap bawang, kentang, busuk belacan, busuk ikan masin, timbang barang, ambil duit dan beri duit. Itulah sahaja dunia aku.”

Shamsul berdoa, “Ya Allah, bagaimana aku nak tewaskan Mazlan Pet Pet ini yang pandai menari, membuat bunyi-bunyian sedangkan aku tak pandai apa pun. Lagipun aku tak ada duit, aku banyak hutang. Aku berhutang RM500 dengan kakak ipar aku. Ya Allah tolonglah aku.”

Di Makkah, Shamsul mendengar seorang kanak-kanak membaca Al-Quran duduk di sebelahnya. Sedap dan laju bacaannya, dalam hati berkata, “Ishh budak ini, kalau kau pandai membaca, aku pun pandai membaca juga. Dulu pun aku dah khatam Al Quran.”

Shamsul kemudian mengambil dan membuka Al Quran, dia memandang atas bawah beberapa kali Al Quran itu. Walaupun kenal huruf, namun Shamsul tidak dapat membacanya. Shamsul berdoa, “Ya Allah, ampunkanlah aku. Aku dah jadi buta, aku tak boleh membaca Al Quran.”

Nantikan kemunculannya tidak lama lagi!

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI