EKSKLUSIF 1: Bersama AZZAM SHAM

AZZAM SHAM dalam penggambaran ~ Enak Bersama Ramly 


Entri kali ini sedikit berbeza. Tidak seperti sebelum ini, entri saya lebih tertumpu kepada imbasan kembara dan pengalaman semasa bertugas di luar negara. Namun, entri pada kali ini sangat istimewa bagi diri saya. Inilah, satu catatan kenangan saya yang sangat berbeza kerana melibatkan artis. Bukan sebelum ini saya tidak pernah bertugas melibatkan dengan artis-artis. 

Malah, sudah kerap dan selalu apabila bertugas menerbitkan program tv bersama selebriti atau artis sebagai tetamu jemputan tidak kiralah program apa pun. Sebelum ini saya pernah bekerja dengan selebriti atau artis seperti Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Raja Azura, M. Rajoli, Misha Omar, Ziana Zain, M. Nasir, Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Fahrin Ahmad, Linda Onn, Nora, Zul Yahya, Maya Karin, Naz, Dephni Iking, Wahida, Yusni Jaafar, Normala Omar, S. Shahlan, Jalil Hamid, Chef Wan, Chef Ismail, Chef Muluk, Chef Sabri dan banyak lagi yang tidak dapat saya sebutkan satu per satu. 


Namun, saya belum pernah bekerja melibatkan artis kanak-kanak atau remaja. Artis yang saya maksudkan adalah Azzam. Beliau yang dilahirkan melalui program realiti TV Idola Kecil 2 pada tahun 2009. Kini, Azzam sudah menjadi seorang artis, penyanyi dan pelakon yang diminati oleh ramai peminat khususnya di kalangan remaja. Peminatnya bukan sahaja dari kalangan remaja, namun golongan dewasa juga turut menyokong penglibatannya dalam bidang seni ini.


Entah, bagaimana dan mungkin secara kebetulan pihak produksi Pepper Media Sdn. Bhd terlibat di dalam penggambaran program masakan Enak Bersama Ramly daripada Chef Liza sebanyak 13 episod yang bersiaran di TV3. Program ini juga melibatkan artis dan selebriti sebagai tetamu jemputan. Antara 13 episod itu, salah satu episod pihak penerbit memerlukan artis kanak-kanak atau remaja sebagai tetamu jemputan. Memandangkan di saat akhir tiada artis yang dapat diketengahkan maka pihak penerbit meminta saya mencarinya. 

Puas saya fikir, siapakah artis kanak-kanak atau remaja yang dapat menjayakan episod itu. Dua hari berfikir tidak juga bertemu dengan jawapan. Saya pula tidak punya nombor telefon untuk menghubungi mana-mana artis kanak-kanak atau remaja. Saya buntu pada saat itu, kerana terlalu banyak perkara yang melibatkan produksi yang tertangguh dan perlu disiapkan segera. 



Jalan mudah, lalu saya membuka Youtube dan mencari penyanyi kanak-kanak atau remaja yang sesuai untuk episod itu. Saya terpandang nama Azzam, tanpa memikir panjang saya terus nekad mahu memilih dia dalam episod yang telah ditetapkan itu. Mengapa sebelum ini saya tidak terfikir akan Azzam? Padahal saya mengikuti perkembangan beliau sejak program realiti Idola kecil 2 bermula pada konsert 2 hinggalah ke final. Pada masa itu, saya sudah dapat melihat Azzam boleh pergi jauh sebagai seorang penghibur. Bakat Azzam terserlah di situ. 

Sudah tiga tahun, saya hanya sebagai pemerhati perkembangan beliau sebagai seorang artis. Jauh di sudut hati, saya juga meminati adik Azzam kerana bakat yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya. Beliau ada aura dan aroma tersendiri, ha ha seperti aroma masakan...  itu pandangan peribadi saya. Saya juga tidak pernah berjumpa secara berdekatan dan tidak pernah mengikut acara yang dianjurkan bersama peminat. Saya tidak berpeluang kerana kesibukan kerja yang tidak menentu. Saya hanya menyokong dari jauh sahaja. 


Berbalik kepada cerita di atas, seterusnya saya menghubungi Ibu Yusnita (ibu Azzam) untuk melamar Azzam dalam program Enak Bersama Ramly. Ibu Yusnita menyambut baik cadangan saya itu sekiranya masa penggambaran tidak melibatkan waktu sekolah dan tiusyen. Saya sudah remuk ketika itu kerana jadual penggambaran untuk Azzam melibatkan sebelah pagi, ini juga melibatkan Azzam bersekolah pada waktu pagi. Saya akur pada mulanya, kerana Ibu Yusnita menyatakan Azzam tidak dapat menerima penggambaran pada sebelah pagi.



Saya kemudian berbincang dengan penerbit supaya masa penggambaran untuk Azzam ditukar kepada sebelah petang. Cadangan saya diterima dan sekali lagi saya menghubungi Ibu Yusnita dan Alhamdulillah Azzam bersetuju penggambaran diadakan pada sebelah petang. Saya gembira dengan persetujuan itu, walaupun pada sebelah petang Azzam ada kelas tiusyen. Ibu Yusnita membatalkan kelas tiusyen itu semata-mata mahu memenuhi undangan daripada saya. Saya terharu di situ kerana Azzam sangat sporting.... Setelah persetujuan diterima, tarikh, masa dan lokasi ditetapkan, maka hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. 


Pada malam sebelum penggambaran saya menghubungi Ibu Yusnita bagi mengingatkan Azzam bahawa pada esok hari ada penggambaran. Kebetulan ayah Azzam (ayah Sham) menyambut penggilan telefon itu, saya terkejut. Ayah Sham beritahu bahawa dia akan menghantar Azzam ke lokasi penggambaran yang terletak di Mardi, Serdang. Ayah Sham tidak tahu hendak ke Mardi. Saya mencadangkan dan akan menjemput Ayah Sham bersama Azzam di Puchong Perdana di hadapan masjid Puchong. 

Keesokannya, pada sebelah pagi saya dan produksi meneruskan penggambaran di Mardi serdang bersama dengan tetamu jemputan Dato’ Ramly Mokni – pengasas Ramly Burger bermula jam 9.00 pagi hingga jam 12.30 petang penggambaran selesai. Jam 1.30 petang saya bergegas ke Puchong Perdana untuk menjemput Azzam dan Ayah Sham seperti yang dijanjikan pada 2.00 petang. Saya menghubungi Ayah Sham, dan beliau beritahu saya dia sesat dalam perjalanan. Saya menunggu hingga jam 2.15 petang. Alhamdulillah, kenderaan yang dipandu Ayah Sham muncul. 



Saya berasa lega, dari tempat menunggu saya lihat satu famili Azzam datang dan saya terkejut tidak menyangka Ibu Yusnita, Azim, Intan, Siti, Azry dan baby Azreen turut datang sekali. Saya berdebar.... Sebelum meneruskan perjalanan, saya sempat menemui Azzam dan keluarganya. Itulah kali pertama bersua muka dan bersalaman dengan mereka yang berada di dalam kenderaan. Semua gembira... Oleh sebab kesuntukan masa, saya terus membawa mereka ke Mardi, Serdang. 

Sampai di lokasi, sekali lagi saya dan famili Azzam bersalaman dan bertanya khabar. Azzam dan Azim bersalaman dan memeluk saya. Saya terkesima seketika....
Setelah 3 tahun mengenali Azzam dan famili akhirnya rezeki saya dapat bertemu dengan mereka.

Azzam sentiasa tersenyum.... Saya menyatakan, “Maaf ya Azzam kerana shooting pada petang ini, Azzam terpaksa tinggalkan tiusyen.” 

Azzam berkata, “Tidak mengapa, kerana Salleh de Ran, Azzam sanggup turun shooting."

Saya terharu lagi. Pertemuan pada petang itu sangat eksklusif sekali. 



Sebelum penggambaran, saya minta famili Azzam makan dahulu, namun Azzam tidak makan pada petang itu. Dia mahu menjaga baby Azreen. Jam 3 petang penggambaran dimulakan. Sebelum itu saya menerangkan kepada Azzam apa yang perlu dia buat ketika penggambaran dijalankan. 

Saya beritahu Azzam, “Nanti bila shooting Azzam buat macam biasa. Tanyalah apa-apa fasal masakan, tips, buat lawak-lawak, hendak menyanyi pun boleh, Chef Liza tanya Azzam jawab, mood kena happy. Nak merapu pun boleh.... tapi untuk intro program Azzam kenalah nyanyi lagu Sedetik Lebih,” 

Azzam tidak banyak soal terus jawab, “Ok, tapi Lagu Sedetik Lebih itu Azzam tidak ingat sangat liriknya.” 

Saya beritahu, “Tidak mengapa, Azzam ambil bahagian korus sahaja.” 

Azzam kata, “Wah, tinggi korus itu.” 

Saya hanya gelak sahaja. 


Semasa penggambaran, Azzam kelihatan cool dan bersahaja. Sepanjang penggambaran itu semuanya berjalan lancar, sekali skala terganggu dengan masalah teknikal. Cuaca yang panas tidak menghalang semuanya. Azzam tetap cool. Saya tahu Azzam keletihan selepas tamat sekolah dan terus ke lokasi penggambaran. Celoteh Chef Liza dan Azzam sepanjang penggambaran sangat menghiburkan. Dalam program ini Azzam kerap menyanyi, antara lagu yang dinyanyikan Azzam ialah lagu Nasi Goreng, Seiring Sejalan, Kekasihku, Sedetik Lebih dan Cek Mek Molek.

"Cut!" semua terhenti.

"Kuku Azzam panjang, minta potong kuku. Bila close-up tangan nampak kuku panjang," kata pengarah.

Semua tergelak... kantoi. Azzam kemudian memotong kukunya hingga selesai. Penggambaran disambung kembali.

Chef Liza bertanya kepada Azzam, “Mengapa Azzam memilih bidang ini sedangkan Azzam masih belajar lagi?” 

Jawab Azzam, “Terjebak!” 


Penggambaran dihentikan seketika untuk persiapan resipi kedua. Waktu itulah saya sempat berbual-bual dengan Azzam dan bergambar.

Semasa berbual di bawah pokok sambil duduk di tepi longkang rumah, saya ditanya Azzam, "Uncle, tidak buat novel baru lagikah?"

Saya menjawab, "Sedang dalam penulisan, sekarang ini sibuk dengan kerja maka uncle tinggalkan dahulu penulisan novel. Tidak cukup masa. Uncle menulis sambil-sambil bukan sepenuh masa."

Balas Azzam, "Azzam ingat uncle tulis sepenuh masa."

Saya kata, "Kalau uncle buat sepenuh masa, tidaklah dapat jumpa Azzam seperti hari ini. Ha ha ha..."

Perbualan saya tidak lama kerana penggambaran disambung semula. Jam 5.00 petang, segmen dua resepi masakan untuk program itu selesai dibuat. Kemudian penggambaran diteruskan untuk segmen penutup program, di sini Azim, Intan, Azry dan Siti turut bersama berlakon. Seusai, penggambaran untuk promo mingguan dan intro program dijalankan. Intro program inilah Azzam menyanyikan korus lagu Sedetik Lebih.     Walaupun tiga kali ulangan nyanyi lagu itu, Azzam tetap melakukan yang terbaik sehingga mendapat tepukan krew. Pada petang yang damai itu tamatlah penggambaran untuk episod Azzam. 


Sesudah itu, semua krew dan famili Azzam makan petang bersama-sama dengan hidangan mee hoon goreng. Azzam, Azim makan bersama saya. Ibu Yusnita sempat mengambil gambar kami sedang makan. Masa yang begitu singkat itu sangat berharga. Sayangnya tidak dapat berbual-bual panjang kerana hari sudah melarut senja. Tiba masa famili Azzam bergerak balik, saya menghantar mereka hingga ke parkir kereta. Saya, Ayah Sham, Ibu Yusnita, Azzam dan Azim sempat berbual-bual. 

Ayah Sham berkata kepada saya, “Saya belum pernah bertemu dengan krew produksi yang begitu sporting ketika bekerja.” 

Saya terkesima seketika dengan pujian Ayah Sham itu. 

Saya bertanya kembali, “Mengapa pula begitu?” 

Ayah Sham berkata, “Sebelum ini produksi yang Azzam ikut shooting, semuanya tidak sporting, malah satu peringkat Azzam menjadi takut dan sering dimarahi krew dan pengarah.” 

Ibu Yusnita pula berkata, “Ibu sendiri pun takut.” 

Saya terdiam. Saya pandang Azzam, raut wajahnya tampak sedih. 

Kemudian Ayah Sham berkata, “Kami seronok shooting dengan produksi ini.”

Saya menyatakan, “Terima kasih... Insya-Allah jika ada rezeki kita boleh bekerja lagi. Saya mewakili produksi mengucapkan jutaan terima kasih kerana Azzam dan famili sanggup datang dan menerima pelawaan kami bagi menjayakan program ini.” 

Saya menepuk bahu Azzam, dia tersenyum. Kemudian saya berpesan kepada Azzam, “Jangan lupa belajar rajin-rajin ya. 

Azzam berkata, “Insya-Allah, Azzam hendak meneruskan belajar di ASWARA.” 

Saya kata, “Bagus itu. Teruskan! Di ASWARA macam-macam ada boleh kembangkan bakat dan ilmu.” 


Setiap pertemuan ada perpisahan, hari pun semakin gelap. Famili Azzam mahu mengundur diri. Kami bersalam-salaman. Azzam dan Azim memeluk saya. Saya terkesima lagi. Terharu dengan santunan dan hormat anak Ayah Sham dan Ibu Yusnita ini. 

Saya berkata, “Terima kasih Azzam, Azim kerana sudi datang. Bilalah hendak berjumpa lagi....” 

Azzam menyatakan, “Insya-Allah ada masa kita jumpa lagi.” 

Kenderaan yang membawa Azzam bergerak meninggalkan lokasi dan lambaian terakhir pada senja itu sangat bermakna.


Azzam memang terbaik!

Comments

Unknown said…
pertemuan yg sangat eklusif
penyampaian/pendedahan yg sangat
berbudi pekerti...
...Terimakasih...
~Miss Impiana~ said…
Wah, memang satu coretan kenangan... Setelah 3 tahun mengikuti perkembangan dia dari jauh, akhirnya diberi peluang dan ruang untuk bertemu mereka sekeluarga. Mungkin satu masa nanti, diberikan kesempatan pula untuk berkumpul bersama ABF yang lain. Pasti lebih meriah. :)
Salleh de Ran said…
Terima kasih kembali Tuan Jaafar Tubo dan Cik Miss Impiana...
Seronok nyerr...ttp apa yg sy akur...famly azzam mmg the best...sy ckp cam niey sbb da bnyak kali jumpa ngan diorg...smart n cool hidup mmg slumberr...trade mark azzam...thats why azzam ttp cool.....
Salleh de Ran said…
Terima kasih Akram Koji,

Saya setuju dengan pandangan Akram itu. Akram yang sudah banyak kali bertemu pun mereka tetap cool, inikan pula saya sekali jumpa...
Anonymous said…
Wahhh best nye dpt jumpe Azzam . Sporting btl famili dia :) Btw nice writing . Saya suka baca tulisan awak :D
Salleh de Ran said…
Terima kasih Budak Comot... hi hi

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI