IMBASAN KEMBARA ~ TASMANIA, AUSTRALIA
BRUNY ISLAND NECK
Bruny Island Neck adalah genting
tanah yang menghubungkan antara utara dan selatan Bruny Island, di selatan
Tasmania.
Sebelum anda tiba di Advanture
Bay, Bruny Island, anda berpeluang singgah sebentar di Neck Beach iaitu tanah
genting yang menarik untuk dilawati. Lokasi yang memisahkan antara laut tenang
dan laut bergelora. Lebar daratannya lebih kurang 100 meter. Anda juga dapat
melihat pasang surut air laut di kedua-dua belah lokasi.
Angin dingin bertiup sangat mengasyikkan,
ditambah pula dengan pemandangan yang luas saujana mata memandang. Kebiruan
laut bergabung pula langit yang membiru, sungguh mempesonakan. Panas terik,
namun nyaman suhunya, pasir memutih di tepian pantai, semua itu adalah panorama
alam yang bersulamkan keindahan lantas menggamit keterujaan. Melihat dan berada
di sini, sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Pastinya memori akan
terpahat di dalam ingatan dan tidak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja.
Lokasi ini juga adalah habitat
penting bagi hidupan liar asli di Bruny Island, dan di sini anda akan menemukan
Game Reserve Neck. Laluan pejalan kaki dan platform tontonan bagi membolehkan
anda untuk melihat penguin kecil dan pemandangan di sekitarnya.
Penguin kecil juga dikenali sebagai penguin pari-pari. Anda boleh melihat burung-burung yang luar biasa kembali ke sarang mereka di bukit pasir. Melihat penguin, perlu menunggu senja hari, ini kerana penguin akan balik ke sarang di tepi pantai pada waktu itu. Haiwan ini akan pulang berkawanan sambil meluncur di pesisir pantai dan segera kembali ke sarang. Tempoh terbaik untuk melihat penguin ini semasa musim panas pada bulan September hingga Februari.
Tangga kayu disediakan untuk
kemudahan pengunjung membawa anda hingga ke puncak platform. Lokasi ini menawarkan
pemandangan yang menakjubkan hingga 360 darjah pusingan. Di sini juga anda sedang
berada di lokasi memorial orang asli Nuenonne yang pernah tinggal di
Lunnawannalonna, nama lama bagi Bruny Island sebelum kedatangan orang-orang
Eropah.
Di Bruny Island Neck ini juga,
ada tapak perkhemahan yang terletak hanya 20 meter dari pantai dan mempunyai tapak
rata, tempat meletak kereta, kemudahan berkelah dan juga tandas.
Apabila berada di atas platform, pengunjung dapat menikmati pemandangan yang paling menawan dan menyeronokan boleh di akses di kawasan ini. Anda hanya perlu membawa kamera bagi merakam detik-detik indah semasa berada di lokasi ini.
Melihat pemandangan dari selatan genting tanah ini, anda boleh melihat dengan jelas bagaimana bentuk geogarfi dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Adventure Bay dan Tasman Sea di sebelah kiri, manakala di sebelah kanan pula ialah Segenting Bay dan D'Entrecasteaux Channel. Di sebelah timur laut pula anda dapat melihat kaki langit Cape Queen Elizabeth.
Lokasi di sini sukar digambarkan dengan
kata-kata. Pastinya akan terpahat di dalam ingatan dan tidak mungkin dapat
dilupakan begitu sahaja bagi mereka yang sudah sampai di Bruny Island Neck.
Comments