MENGAPA SAYA MENULIS KISAH TRUGANINI – WANITA ABORIGINE TERAKHIR?
Pada mulanya
saya tidak tahu siapakah manusia yang bernama Truganini, sehingga saya berminat
untuk menjadikan kisahnya dan diangkat ke dalam novel sejarah. Truganini – Wanita
Aborigine Terakhir adalah novel sejarah
ke-5 yang saya tulis. Sebelum ini saya sudah menghasilkan novel Landasan Maut,
Perang Kelang, Hiroshima – Duka Sebuah Perang dan Panggung Malaya.
Truganini
adalah seorang wanita orang asli (Aborigine) yang dilahirkan di Bruny Island,
Tasmania, Australia. Beliau juga wanita terakhir berdarah penuh orang asli
semasa zaman penjajahan Inggeris di Australia. Saya mengangkat cerita ini bukan
kerana mahu mengagung-agungkan tokoh ini, namun saya mengambil pendirian bahawa
banyak kisah yang terjadi dalam sejarah tokoh ini dapat memberikan pengajaran
atau iktibar mahupun peringatan kepada kita, kerana sejarah mungkin
berulang....
Saya
terpanggil untuk menulis kisah tokoh ini bermula semasa saya menulis novel
travelog siri ke 2: Kembara Bumi Aborigine – Tasmania. Sedang mencari bahan tambahan untuk
bab Bruny Island Neck di dalam novel travelog itu, saya terbaca tentang kisah
Truganini. Sebelum itu, pada tahun 2005 saya pernah ke Tasmania atas tugasan
membuat penggambaran program TV My
Australia Adventure.
Sebahagian
daripada lokasi yang saya pergi di Tasmania seperti Hobart, Launceston, Bruny
Island, Adventure Bay, Bruny Island Neck, Cradle Mountain, Darwent River dan
Mount Wellington, semua itu ada kaitan dengan sejarah Truganini. Bruny Island
adalah tempat kelahirannya, Hobart pula tempat terakhir dia menghembuskan
nafasnya dan Bruny Island Neck adalah tempat di mana memorial tugu
peringatannya dibina.
Menariknya,
tidak jauh daripada lokasi penggambaran terletaknya memorial itu. Saya tidak
tahu pun di situ adanya memorial Truganini. Semasa di Tasmania dahulu saya
tidak tahu dan tidak diberitahu siapakah Truganini itu. Namun, setelah menulis
novel travelog, saya terjumpa dan baru mengenali tokoh wanita orang asli ini
melalui kajian dan pembacaan.
Lalu saya
membuat keputusan untuk menulis kisah tokoh ini kerana ianya sarat dengan krisis, konflik, tragedi, kekejaman,
penindasan serta penipuan penjajah yang hampir melenyapkan orang asli Tasmania.
Walaupun berada di Tasmania selama 5 hari, namun sekurang-kurangnya saya sudah
berada di situ dan merasai sendiri suasana kehidupan di sana, alam semulajadi,
hutan belukar, laut, pantai, bandar-bandar, kawasan luar bandar, makanan,
budaya setempat dan pelbagai lagi.
Pengalaman
itu, memudahkan lagi untuk saya menulis dan sedikit sebanyak memberikan
gambaran sebenar apa yang berlaku pada zaman penjajahan dahulu. Semoga novel sejarah ini memberikan manfaat kepada kita semua - Salleh de Ran
Comments