Imbasan Kembara ~ Auckland, New Zealand


One Tree Hill

Pada 2009, peluang ke Auckland, New Zealand tidak termimpi sama sekali. One Tree Hill, adalah lokasi pertama saya dan rakan-rakan dibawa melawat. Lokasi menarik di sekitar bandar dan di pinggir bandaraya Auckland. Pagi yang dingin itu tidak merubah jadual lawatan yang sudah diatur. Pagi itu kami bernasib baik kerana cuaca sangat cerah dan matahari muncul tanpa awan melindungi. Langit membiru kembali setelah suram dan hujan renyai selama dua hari semenjak kami berada di Auckland. Panas terik matahari pada pagi itu sekurang-kurangnya melegakan sedikit kerana sejuk yang mencengkam badan dapat dikurangkan namun ada ketikanya angin yang datang bertiup itu sangat menyejukan.

Lokasi ini sungguh menarik bagi melihat panorama bandaraya Auckland dari puncak bukit. Nama One Tree Hill terkenal di kalangan pelancong, salah satu tempat yang mempunyai sejarah dan cerita yang tersendiri. Van yang kami naiki itu memasuki simpang yang menuju jalan ke One Tree Hill, di kiri kanan kaki bukit sebelum menaiki bukit ke One Tree Hill kelihatan kambing yang diternak bebas sedang meragut rumput. Manakala di lereng bukit, pokok-pokok yang tumbuh memenuhi lanskap bukit. Kebanyakan pokok-pokok itu tidak berdaun lagi yang tinggal hanya ranting dan dahan kosong menunjuk langit.


Kesemua daun-daun itu sudah gugur seawal musim sejuk tiba. Terdapat juga pokok-pokok yang masih berdaun hijau dan keunikan pada pokok ini adalah sentiasa berdaun tidak mengira musim dan lereng bukit itu dihiasi hamparan rumput hijau yang dijaga rapi. Perjalanan menaiki ke puncak mengambil masa lima belas minit.

Sampai sahaja di puncak One Tree Hill itu, kami segera meninjau dan memerhatikan pemandangan yang cantik bandaraya Auckland. Kami yang baru pertama kali berada di puncak One Tree Hill berasa teruja dan terpukau dengan keindahan lanskap, pusing ke mana sahaja pasti akan terpandang kehijauan, bukit-bukau, tanah pamah yang landai, rumah-rumah dan bangunan pencakar langit. Melihat pemandangan di puncak bukit itu langsung tidak terhalang oleh sebarang objek dan dengan mudah kami dapat melihat pemandangan di sekitarnya.

One Tree Hill atau Maungakiekie dalam bahasa Maori dahulunya adalah puncak gunung berapi yang terletak di Auckland dengan ketinggian seratus lapan puluh dua meter. One Tree Hill di kelilingi oleh pinggiran Royal Oak di barat, Epsom, Greenlane, Oranga, dan Onehunga. Dipercayai gunung ini meletup sekitar 20,000 – 30,000 tahun yang lalu dan kini membentuk sebuah kon yang besar. Aliran lava dari gunung berapi ini telah mencipta satu kawasan yang luas sepanjang dua puluh kilometer persegi. Di puncak ini akan dapat melihat pemandangan bandaraya Auckland, pelabuhan Auckland dan kawasan sekitarnya.


Terdapat satu tugu peringatan dibina di sini. Mengapa tugu batu obelisk dibina di puncak One Tree Hill? Tugu batu obelisk ini dibina pada tahun 1940, seratus tahun selepas Perjanjian Waitangi antara orang Maori dengan orang Inggeris. Berhampiran tugu batu obelisk ini terdapat kubur Sir John Logan Campbell. Tugu batu ini dibina kerana keinginan dan syarat Sir John Logan Campbell sempena memperingati kekagumannya pada orang Maori. Sebelum itu, sebuah patung gangsa pejuang Maori telah dibina di sini.

Mengapa pula tempat ini dipanggil One Tree Hill? Ketika Auckland ditubuhkan sebagai sebuah bandar kolonial tumbuh satu pokok di puncak bukit ini dan pokok itu dikenali sebagai Pohutukawa atau nama saintifiknya Metrosideros Excelsa. Ada juga yang mendakwa pokok itu dikenali sebagai Totara atau nama saintifiknya Podocarpus Totara. Pada tahun 1852, pokok itu ditebang oleh penduduk kulit putih dalam satu tindakan vandalisme dan ada pula yang mengatakan bahawa pokok itu ditebang untuk dijadikan kayu api. Namun, orang Maori menganggap pokok yang dimaksudkan itu sebagai pokok suci dan peristiwa itu menjadi kemarahan kepada orang Maori.


Ada atau tidak usaha untuk menanamnya kembali pokok suci itu? Pada tahun 1870, usaha menanam kembali ada dilakukan untuk menggantikan pokok Totara itu oleh John Logan Campbell, namun setelah berulang kali mencuba menanam pokok di puncak bukit ini, pokok itu gagal bertahan untuk hidup. Maka ditanam sekali lagi pokok itu, dan dua pokok yang ditanam hidup sehinggalah pada tahun 1960, salah satu daripada dua pokok itu kemudian ditebang oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Sayangnya pokok yang kedua yang masih hidup itu turut digergaji oleh aktivis Maori untuk menarik perhatian kerana ketidakadilan yang menimpa orang Maori kepada kerajaan New Zealand yang mereka percayai. Maka, tempat ini digelar One Tree Hill dan sehingga kini pokok Pohutukawa dan Totara tidak dibenarkan ditanam dipuncak ini kerana menghormati Perjanjian Waitangi.


Moralnya, disebabkan pokok maka berlaku permusuhan. Dari itu, kita harus menghormati hak, prinsip dan sensitiviti orang lain, bukankah begitu? Pemerhatian selanjutnya, Auckland terletak di antara Teluk Hauraki dari Lautan Pasifik ke timur, Hunua Ranges ke tenggara, Harbour Manukau di barat daya, dan Waitakere Ranges terletak di barat laut. Bahagian tengah pula kawasan urban yang kedudukannya terletak di tanah genting sempit antara Harbour Manukau di Laut Tasman dan Harbour Waitemata di Lautan Pasifik.

Auckland adalah salah satu daripada beberapa bandar di dunia yang mempunyai pelabuhan dan bandar utama yang dipisahkan oleh air. Menariknya, di kawasan Auckland adalah terhasil daripada lima puluh gunung berapi, keadaan itu membentuk kon, tasik, laguna dan pulau-pulau. Gunung berapi semuanya dianggap pupus dan sudah tidak aktif lagi.
Dalam masa yang singkat itu, kami sempat mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar di puncak One Tree Hill. Gambar yang diambil berlatar belakang bandaraya Auckland.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI