Imbasan Kembara ~ Tasmania, Australia


Bruny Island, Tasmania – Advanture Bay Bruny Island.

Pada tahun 2005, sebelum saya dan rakan-rakan sampai ke Advanture Bay Bruny Island, kami singgah sebentar di Neck Beach iaitu tanah genting yang menarik. Lokasi yang memisahkan laut tenang dan laut bergelora. Lebar daratannya lebih kurang 100 meter. Angin dingin bertiup sangat mengasyikkan, ditambah pula dengan pemandangan yang luas saujana mata memandang.

Kebiruan laut bergabung pula langit yang membiru, panas terik namun nyaman suhunya, pasir memutih di tepian pantai, semua itu adalah panorama alam yang bersulamkan keindahan lantas menggamit keterujaan. Lokasi di sini sukar digambarkan dengan kata-kata. Pastinya akan terpahat di dalam ingatan dan tidak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja.



Di Adventure Bay, kami dibawa ke National Park and State Reserve untuk melihat anjing laut dan tebing batu yang tinggi. Di sinilah lokasi bagi melihat singa laut dari dekat. Puluhan singa laut terdampar di atas batu sambil berehat, berenang, makan dan tidur. Bau hanyir menusuk hidung disebabkan najis singa laut bercampur dengan bau air laut membuahkan bau yang tidak menyenangkan. Terdapat juga burung laut yang singgah di kawasan ini.

Sebelum menaiki bot, kami perlu makan pil halia untuk menghindarkan mabuk laut. Kami hampir mabuk di sini, namun dapat bertahan. Mabuk laut akan terjadi sekiranya bot berhenti, ini disebabkan gelombong air laut yang membuai-buai.Walaupun air lautnya tenang namun cukup menggerunkan kami kerana terdapat pertembungan dua air laut yang sejuk dengan air laut yang panas. Pertembungan ini menyebabkan bot yang dinaiki akan meninggi dan menurun mengikut arus dan gelombang. Berasa rimas,mahu sahaja kami kembali ke jeti di Adventure Bay. Mood ketika itu jatuh ke bawah, tidak lagi teruja dengan keadaan persekitaran kerana memikirkan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku. Sejam berada di situ sangat ngeri dan memualkan.

Tatkala sedang melakukan penggambaran dan tanpa menduga kejadian cemas menimpa kami. Bot yang kami naiki itu dilambung ombak. Lambungan ombak pertama tidak begitu kuat, lambungan ombak kedua masih boleh bertahan dan lambungan ombak ketiga sungguh menggerunkan... mujur tidak karam, habis basah kasut baju dan seluar walaupun memakai rain coat. Kamera yang digunakan untuk penggambaran basah dan rosak terkena air garam.
Saya sendiri tertelan air laut masin kerana menjerit untuk meyelamatkan kamera. Rakan jurukamera saya hampir menangis mengenangkan kejadian itu dan menyebabkan kamera yang digunakan itu rosak. Itulah pengalaman pahit semasa membuat tugasan di Bruny Island. Mujur tidak tenggelam di situ...



Menghabiskan masa perjalanan di sepanjang Bruny Island ke persisiran pantai hingga ke laut, menyaksikan dari dekat hidupan liar seperti anjing laut, ikan lumba-lumba, paus, helang laut dan burung-burung laut lain duduk di bawah tebing-tebing laut yang tinggi. Di situ pengunjung merasai kegembiraan dengan dikelilingi ribuan anjing laut di samping menyaksikan ikan lumba-lumba meluncur di permukaan air bersama gelombang haluan bot.



Bot yang membawa pengunjung sehampir mungkin ke laut dan hidupan liar pantai, muka tebing, gua laut, dan merasai kehebatan bot meloloskan jurang dan laluan sempit antara batu monumen yang tinggi dengan tebing batu. Pembentukan batu yang menakjubkan ini berdiri seperti patung di perairan pantai Selatan Bruny Island.Di situ juga kita akan hanyut mendekati 'Batu bernafas' yang menghemburkan air laut, sungguh menyeronokkan. Kemudian memasuki ke dalam gua laut sambil merasakan kuasa alam semula jadi di tepian Laut Tasman.

Bruny Island mempunyai penduduk sekitar 630 orang dan pulau ini berkeluasan 362 km persegi. Bruny Island adalah pengeluar wain, keju dan tiram segar.Bruny Island juga dikenali sebagai sebuah permata bagi negeri Tasmania Australia. Kunjungan anda di sini pasti meninggalkan kenangan yang terbaik.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI