Imbasan Kembara ~ Sydney, Australia
Aboriginal – Peribumi Australia sedang membuat persembahan di Waterfront, Darling Habour.
Jam 4.00 petang kami masih lagi di lokasi Darling Habour, penggambaran dijalankan di sekitar waterfront Cockle Bay yang terkenal dengan aktiviti perniagaan dan pelancongan. Kawasan ini terdapat kafe, restoran lima bintang dan pertunjukan kesenian. Terdapat juga penyanyi jalanan – busker yang mencari makan dengan membuat persembahan. Kawasan ini juga diadakan sambutan tahun baru, sambutan Hari Krismas dan Hari Australia.
Saya dan rakan-rakan berpeluang melihat secara dekat persembahan kesenian kaum peribumi Australia – Aboriginal. Mereka mempersembahkan lagu dengan menggunakan alat muzik digiridu. Jon Robinson (pemandu pelancong) tidak menggalakkan kami mengambil gambar kaum peribumi ini atas alasan tidak diketahui, yang pasti pihak pelancongan Australia tidak mahu highlight kehidupan dan budaya mereka. Kami juga sempat membeli CD lagu yang dijual oleh kaum Aborigine ini dengan harga AD20 sekeping.
Ada baiknya saya menerangkan kronologi secara ringkas sejarah yang berlaku di negeri New South Wales. Walaupun orang Aboriginal sudah menghuni di wilayah ini (Sydney) sejak ribuan tahun. Bandaraya ini secara ringkasnya mempunyai hubungan dengan sejarah moden dan satu keajaiban yang menarik berasaskan ilham penghantaran penjenayah British pada abad ke 18 ke benua ini.
Menyentuh mengenai – Aboriginal Sydney, orang asli ini mempunyai tiga bahasa utama iaitu Dharug, Kuringai dan Dharawal. Nenek moyang mereka tinggal di kawasan sekitar Sydney sekurang-kurangnya 40,000 tahun sebelum penemuan dan kedatangan James Cook lagi. Mereka masih mengekalkan warisan kehidupan tradisional dan salah satu alat muzik yang popular ialah Digiridu dan senjata unik – boomerang.
Pada April 1770, James Cook seorang kelasi dan jurumudi terkenal Inggeris telah mendarat di Botany Bay, Sydney Australia. James Cook kemudiannya menuntut seluruh kawasan pantai timur Australia sebagai milik Britain di atas nama ‘New South Wales’. Penemuan James Cook ini akhirnya menjadi tapak koloni Inggeris.
Sydney mula dibangunkan pada 26 Januari 1788 apabila sebelas kapal armada yang pertama, membawa 1,400 orang termasuk tentera, pentadbir, banduan, peneroka, ahli keluarga dan sebagainya tiba dari England dan membentuk koloni yang baru. The Rocks adalah bandar tertua – kampung yang mendapat namanya berasal dari tebing yang berbatu. Pada awalnya kawasan ini didirikan khemah oleh banduan yang pertama sampai pada 1788. Kini, The Rocks adalah lokasi yang paling popular, nadi dan jantung kepada Sydney.
Bermulanya pembukaan ladang-ladang pada 1813, penemuan emas pada 1851 dan sistem pengangkutan bertambah, Sydney semakin berkembang pesat. Pada 1925 penduduk di Sydney melebihi 1 juta orang dan menjelang tahun 1963 penduduk bandaraya Sydney mencecah 2 juta orang. Kini, penduduk Australia melebihi 22 juta orang.
Pada 1988, Sydney menyambut 200 tahun penerokaan orang Eropah di Australia. Sydney juga pernah menjadi tuan rumah sukan Olimpik yang berjaya era moden dalam penganjurannya pada tahun 2000. Menariknya di Australia, kebanyakan bandar-bandar utamanya terletak di pesisir pantai, jauh di pendalaman hanya kawasan perladangan dan kawasan gurun.
Comments