Imbasan Kembara ~ Christchurch, New Zealand
Sunday Market.
Pada tahun 2009 semasa di Christchurch, selepas melihat latihan sukan ragbi, saya dan rakan-rakan singgah seketika ke Pasar Ahad atau lebih dikenali di Christchurch sebagai Sunday Market yang terletak di Riccarton Rotary Market, Riccarton Park Racecourse, Racecourse Road, Christchurch.
Pasar Ahad itu, menjual barang-barang terpakai, makanan, barang perhiasan, barang retro dan pelbagai lagi barang yang sangat menarik untuk dibeli dan dibawa pulang.
Semakin ramai pengunjung yang datang ke Pasar Ahad itu. Saya memerhatikan gelagat pengunjung yang tawar-menawar dengan penjual. Pasar Ahad ini tidak mempunyai persamaan dengan Pasar Sabtu yang terletak di Worcester Boulevard itu.
Pasar Ahad ini berbeza sedikit sekiranya dibandingkan dengan Pasar Sabtu yang kami pergi semalamnya. Di sini jualan dan perniagaan lebih kepada keperluan harian dan tidak melibatkan produk kesenian. Pasar ini dibuka setiap hari Ahad dari jam 9.00 pagi hingga jam 2.00 petang.
Kami kemudian bergerak memasuki ke kawasan tapak jualan yang mempamerkan pelbagai ragam barangan yang diniagakan.
Ketika melewati di kiri kanan gerai itu kami rambang mata melihat barangan yang dijual di sini, daripada pakaian terpakai, barang-barang antik, aksesori untuk wanita sehinggalah ke produk makanan.
Tidak rugi sesiapa yang datang ke Pasar Ahad ini. Di sini kita dapat melihat sejumlah penjual atau peniaga tempatan yang menjual pelbagai barang-barang keperluan seperti roti, kuih-muih, ikan, bunga, madu, mentega, jus buah-buahan, produk organik, buah-buahan seperti anggur, epal, ressberry, oren dan sebagainya.
Sayur-sayuran juga turut dijual di Pasar Ahad ini, malah pakaian terpakai, barang-barang antik seperti pinggan mangkuk, gambar-gambar lama, perkakasan dapur, perabut, kasut dan pelbagai barangan lain. Hanya kita tidak mampu hendak memilih yang mana satu barang yang kita gemari.
Perniagaan di Pasar Ahad itu, dijalankan di satu kawasan lapang yang memuatkan lebih lima puluh buah gerai yang didirikan di situ. Berbagai-bagai ragam peniaga bagi menarik pelanggan datang singgah ke gerai mereka dan situasi seperti itu, menambah keriuhan dan kemeriahan di pasar sehari yang sudah terkenal sekian lama.
Kami bergerak ke gerai yang menjual barangan antik, kami terpegun kerana di gerai itu mempunyai banyak pilihan dan barang-barang yang dipamerkan juga menarik.
Barang-barang lain yang turut dijual seperti hiasan-hiasan, bakul-bakul, ukiran tulang, beg-beg, buku-buku, majalah, tali pinggang, perkakasan kebun, porselin, kristal, bantal, bunga kaktus, coklat buatan tangan, produk penjagaan kereta, minuman dalam botol dan tin, anak patung, telur ayam, minyak wangi, bingkai gambar, kertas cetakan, bunga-bungaan, aneka kain, perabut kayu, gelas, cawan, permainan kanak-kanak, topi, pakaian sejuk, perhiasan diri, cerek, produk lavender, cermin muka, cakera padat, kaset dan alat muzik.
Ada juga gerai yang menjual barang-barang seni, aksesoris, pakaian dewasa, pakaian kanak-kanak, greenstone dan perhiasan Paua. Selain itu terdapat juga gerai yang menjual roti dan kek, mufin, kacang-kacangan, biji-bijian, minyak, krim, sayuran organik, walnut, gandum, roti beragi dan makanan kering.
Ada juga gerai yang menjual barang-barang seperti karpet, perkakasan dapur, bawang, sosej, sabun, produk penjagaan kulit, lampu tidur, telefon bimbit, barangan perak, pertukangan kayu, cermin mata hitam, peralatan, t-shirt, dulang kayu, pakaian bulu dan banyak lagi.
Comments