EKSKLUSIF 3 ~ Bersama Azzam Sham

KEJUTAN HARI LAHIR


Sudah lama tidak mengemaskini blog ini, baiklah dengan izin Allah saya berpeluang sekali lagi dapat bertemu dengan Azzam Sham pada hari Selasa, 09 Julai 2013 yang lalu sehari sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Tujuan sebenar saya ke rumah Ayah Sham dan Ibu Yusnita adalah untuk mengambil surat penghargaan yang akan diberikan kepada penyumbang bagi Majlis Berbuka Puasa pada 27 Julai 2013, majlis yang menjadi acara tahunan buat kali ketiga ini dianjurkan oleh Azzam’s Big Family – ABF bersama meraikan anak-anak yatim. Majlis Berbuka Puasa pertama kali diadakan pada tahun 2011, kali kedua pada tahun 2012.

Oleh sebab tuntutan masa, maka saya meluangkan masa untuk mengambil surat berkenaan. Sehari sebelum saya ke rumah Azzam Sham, saya menghubungi Ibu Yusnita bagi memaklumkan tujuan saya ke sana. Ibu Yusnita mengalu-alukan kedatangan saya dan Ibu Yusnita memaklumkan surat penghargaan itu sudah pun siap. Saya beritahu Ibu Yusnita saya akan mengambil surat berkenaan pada sebelah petang.

Ibu Yusnita memaklumkan pada saya, sekiranya mahu membuat kejutan akan kehadiran saya itu, Ibu Yusnita meminta saya menunggu Azzam Sham di sekolah selepas sahaja Azzam Sham habis waktu sekolah. Saya bersetuju dengan cadangan Ibu Yusnita itu. Pada hari Isnin dan Selasa Azzam Sham balik lewat sehingga jam 2:00 petang.

Saya kemudian terfikir, sudah alang-alang ke rumah Azzam Sham saya mahu membuat penggambaran video khas untuk Majlis Berbuka Puasa yang saya sudah rancangkan sebelum ini. Memandangkan ini sahajalah peluang dan masa yang ada untuk merealisasikan video majlis berkenaan. Saya tidak mahu menganggu kelapangan Azzam Sham pada bulan puasa kelak.

Perkara ini saya maklumkan kepada Ibu Yusnita dan beliau bersetuju dengan cadangan saya itu. Saya gembira kerana apa yang dirancangkan itu berjalan dengan lancar. Penggambaran video itu termasuklah video promosi Majlis Berbuka Puasa, intro, breaker dan closing untuk video khas Majlis Berbuka Puasa. Saya juga merancang untuk membuat video sketsa yang diselitkan dalam video Majlis Berbuka Puasa.

Pada malamnya, saya menghubungi Azzam Sham melalui We Chat dan saya menyatakan berkenaan temu janji pada esok petang (Selasa) akan diadakan penggambaran video itu. Pada mulanya Azzam Sham tidak tahu akan perkara sebenar kerana Ibu Yusnita terlupa memaklumkan perkara tersebut. Kemudian saya menjelaskan kepada Azzam Sham bahawa penggambaran akan dibuat seperti yang dijanjikan. Azzam Sham dengan senang hati menerima cadangan saya itu dan dia bersetuju.

Pada keesokannya, saya menghubungi Ayah Sham untuk memaklumkan perkara ini dan meminta izin penggambaran dibuat di rumah. Ayah Sham mengizinkan dan mengalu-alukan kedatangan saya. Saya bersama rakan sekerja Ismail Mad Saat bertolak dari Kota Damansara ke Sungai Besi. Di dalam perjalanan itu, saya teringat hari lahir Azzam Sham seminggu yang lalu. Tanpa berfikir panjang saya singgah ke kedai kek untuk membeli kek hari lahir khas buat Azzam Sham.

Saya mendapat tahu bahawa, semasa hari lahir Azzam Sham pada 29 Jun 2013 itu tiada sambutan yang dibuat oleh Azzam Sham dan keluarganya. Memandangkan Azzam Sham pada masa itu menghadiri latihan persembahan The Beesings di RTM iaitu program khas untuk hari raya yang akan menjelang tidak lama lagi.
Saya kemudian membeli kek coklat di sebuah kedai di Kota Damansara dengan tujuan untuk membuat kejutan kepada Azzam Sham. Sebelum itu, saya pernah merancang mahu menghadiahkan kek hari lahir pada malam sebelum hari lahir Azzam Sham pada 28 Jun 2013, namun hasrat saya itu tidak kesampaian kerana saya menghadapi pelbagai masalah dan kengkangan masa dengan tugas harian saya. Maka, saya membatalkan sahaja niat saya itu. Tidak ada rezeki di situ untuk saya meraikan Azzam Sham.    


Kejutan dan hadiah hari lahir itu, saya tidak memaklumkan kepada Ibu Yusnita dan Ayah Sham. Saya sengaja tidak memberitahu perkara ini kerana saya mahu membuat kejutan kepada Azzam Sham dan keluarganya. Barulah menarik dan teruja!. Di dalam kepala pelbagai rancangan untuk membuat kejutan sentiasa berlegar-legar. Apakah ia menjadi atau tidak.

Setengah jam kemudian, saya sampai di Sungai Besi. Saya parkir kereta tidak jauh daripada rumah Azzam Sham. Saya mengajak Ismail untuk makan tengah hari dahulu memandangkan perut berasa lapar. Saya pun singgah makan di gerai Sup Meletop di tepi jalan masuk ke rumah Azzam Sham. Begitu juga tidak jauh daripada Restoran Muhamad Ali di mana lokasi Majlis Berbuka Puasa yang akan berlangsung di situ kelak.

Sementara menunggu hidangan nasi ayam dan air minuman, saya menghubungi Ibu Yusnita untuk memberitahu bahawa saya mahu membuat kejutan kepada Azzam Sham dengan menghadiahkan kek hari lahir. Ibu Yusnita terkejut dengan kenyataan saya itu, sayangnya ibu dan ayah tidak ada di rumah kerana mereka berada di Jalan Pudu, Kuala Lumpur kerana ada urusan di situ. Saya luluh kerana apa yang dirancangkan itu tidak menjadi. Saya pula yang menerima kejutan kerana Ibu Yusnita memberitahu bahawa Azzam Sham ada di rumah. Azzam Sham tidak bersekolah pada hari itu dia ambil cuti.

Jika dirancang, selepas makan saya mahu mengambil Azzam Sham di pintu sekolah namun perkara itu tidak menjadi juga. Sekali lagi saya menerima kejutan!. Tidak mengapa saya tukar pelan A kepada pelan B, saya akan membuat kejutan di rumah Azzam Sham. Saya rancang, saya akan ketuk pintu rumah dan berdiri di hadapan pintu rumah dan terus berikan kek hari lahir itu kepada Azzam Sham. Harap pelan itu menjadi...

Selesai makan saya, terus bergerak menuju ke rumah Azzam Sham. Sampai sahaja di tangga tingkat satu, saya membuka kotak kek dan pasang lilin. Saya dan Ismail siap-siap pasang kamera. Kemudian, saya ketuk pintu dan memberi salam... senyap sunyi tiada jawapan. Saya semakin berdebar-debar apakah menjadi kejutan kali ini. Lebih kurang tiga minit kemudian keluar adik Azzam, Siti Manje membuka pintu. Siti Manje tergamam... saya meminta Siti Manje panggil Azzam Sham. Siti Manje segera memanggil abangnya.


Saya dan Ismail masih berdebar-debar menunggu di luar rumah. Seminit kemudian Azzam Sham muncul di muka pintu. Dia terkejut dengan kehadiran saya dan Ismail. Kami terus menyanyikan lagu Happy Birthday To You... sambil menghulurkan kek hari lahir kepada Azzam Sham. Azzam Sham tergamam dan tersipu-sipu sambil menerima kek hari lahir dan menyanyi bersama-sama. Kemudian, Azzam membuat ucapan dan meniup lilin. Alhamdulillah, akhirnya apa yang dirancangkan itu menjadi juga. Sememangnya Azzam Sham terkejut! Bukan dibuat-buat ya....


Pada masa yang sama hanya yang ada Azzam Sham, Siti Manje dan Azry berada di dalam rumah. Sementara Azim dan Intan masih di sekolah. Maka, acara memotong kek itu hanya mereka bertiga sahaja. Walaupun tanpa ahli keluarga mereka yang lain, Azzam Sham, Siti Manje dan adik Azry tetap ceria dan gembira.Terharu juga selepas membaca doa itu Azzam Sham menitiskan air mata sehingga diusik oleh adik Azry. Walaupun begitu Azzam Sham tetap cool dan terus memberikan ucapan terima kasih kepada saya dan peminat yang lain di dalam ABF.


Potongan kek itu kemudiannya Azzam Sham menyuapkan ke mulut adik Azry, Siti Manje, saya dan juga Ismail. Apa boleh buat kami terpaksa menerima suapan kek daripada Azzam Sham. Inilah, kenangan paling terindah dalam hidup saya. Pasti tidak akan dilupakan kenangan tersebut. Paling manis dan berharga sekali. Semua ini berlaku secara sepontan. Datang daripada nurani Azzam Sham sendiri....

Seusai sahaja, saya dan Ismail bersiap-siap memulakan penggambaran untuk intro, breaker dan closing video Majlis Berbuka Puasa. Semasa mengadakan persiapan itu, Ayah Sham dan Ibu Yusnita muncul kembali ke rumah. Berbual seketika dengan Ayah Sham dan Ibu Yusnita, saya meneruskan penggambaran video seperti yang dirancang. Azzam Sham saya pinta mengenakan baju Melayu berwarna biru tua.   


Alhamdulillah penggambaran berjalan dengan lancar, walaupun tanpa skrip main belasah sahaja. Azzam Sham pula merapu sakan, memang itu pun yang saya mahukan supaya video itu nanti nampak menyeronokan. Ibu Yusnita dan Ayah Sham tergelak-gelak menahan geli hati melihat gelagat Azzam Sham merapu. Selesai bahagian itu, saya dan Azzam Sham meneruskan penggambaran untuk video promo Majlis Berbuka Puasa.

Berehat sebentar, sementara saya dan Ismail membuat persiapan penggambaran untuk sketsa, Azzam Sham, Ibu Yusnita dan Ayah Sham makan tengah hari. Ibu Yusnita mempelawa saya dan Ismail makan bersama namun, saya mahu meneruskan kerja-kerja penggambaran. Lagipun perut masih kenyang lagi.

Setelah itu, sesi penggambaran sketsa diteruskan di luar rumah Azzam Sham. Di sini, Azzam Sham memegang dua watak yang berbeza. Sketsa ini memerlukan Azzam Sham berbuat demikian, di mana kononnya peminat Azzamuddin Ismail yang mempunyai wajah yang serupa dengan Azzam Sham yang sebenar kecewa kerana tidak dapat bersama di dalam Majlis Berbuka Puasa. Azzamuddin Ismail kemudian bermimpi dapat bertemu dengan Azzam Sham.

Penggambaran untuk sketsa itu berjalan dengan lancar sehingga selesai jam 5 petang. Idea sketsa ini saya tampilkan demikian atas sebab ramai peminat Azzam Sham yang berkeinginan mahu berjumpa Azzam Sham sehingga terbawa dalam mimpi. Idea itu juga digemari oleh Azzam Sham. Tanpa skrip juga, penggambaran sketsa ini dibuat dengan mudah walaupun ada sedikit kekurangan kerana keterbatasan waktu dan keadaan. Adik Azry dan adik Ayeen turut berlakon bersama.


Selesai penggambaran saya dan Ismail dijemput makan bersama Azzam Sham. Ibu Yusnita menyediakan lauk ayam masak merah dan ikan rebus cicah sambal asam. Sesudah itu, saya, Ismail, Ayah Sham dan Azzam Sham berbual-bual dengan pelbagai topik cerita, terutama perihal Majlis Berbuka Puasa yang akan berlansung pada 27 Julai 2013. Ayah Sham juga turut memberitahu kemungkinan program IK dewasa akan diadakan untuk peserta-peserta IK1, IK2 dan IK3 bertanding semula. Jika perkara ini berlaku, Azzam Sham akan turut serta jika terpilih kelak. Jam 6:45 petang Azim dan Intan kembali dari sekolah.


Setiap yang bermula ada pengakhirannya, pertemuan eksklusif selama 6 jam itu sangat berbaloi dan menyeronokan, lebih-lebih lagi dapat bertemu dengan Azzam Sham setelah hampir lima bulan tidak bersua muka. Kali terakhir bertemu semasa membuat rakaman video klip kover lagu Putih-Putih Melati, Jangan Pernah Berubah dan Penghujung Rindu pada bulan Feb 2013. Jam 7:00 petang saya meminta diri untuk pulang. Setelah bersalaman saya mengudur diri. 



Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI