Salleh de Ran

Salleh de Ran
Saya sekadar menulis demi memandaikan bangsa. Namun begitu, saya juga tidak terlepas daripada kelemahan. Saya hanya seorang yang biasa-biasa sahaja. Saya sedang mencari dan mengutip sisa-sisa yang tertinggal sekian lama dan saya ingin membebaskan minda dan diri saya. Dengan penuh takzim saya mempersudikan tuan-tuan dan puan-puan masuk dan singgah bertamu seketika di laman yang tidak seberapa ini... Mengekalkan Momentum Penuh Bergaya Pada Kelas Tersendiri...

BERAKHIRNYA di TERRA AUSTRALIS INCOGNITA

AKAN DATANG! NANTIKAN KEMUNCULAN NOVEL INI!

Sinopsis: Berakhirnya di Terra Australis Incognita

Pada bulan Oktober 1783, John Hudson seorang anak yatim piatu yang berumur 9 tahun, bekerja sebagai penyapu cerobong rumah telah didakwa pecah rumah dan mahkamah, menjatuhkan hukuman buang daerah selama 7 tahun.

Pada masa itu, kanak-kanak di bawah umur 7 – 14 tahun tidak boleh dibicarakan atas kesalahan jenayah. Selepas itu, kanak-kanak yang di dapati bersalah dilayan sebagai orang dewasa. John Hudson telah dibicarakan di Old Bailey pada bulan Disember 1783, setelah berada dalam penjara dengan lelaki dewasa sepanjang tempoh tahanan selama dua bulan.

John Hudson tidak diwakili oleh peguam semasa perbicaraannya, hakim membuat keputusan di atas kesalahan kerana memasuki rumah dan mencuri kepada John Hudson. Dia mencuri sehelai baju linen dengan nilai 10 syiling, 5 stokin sutera dengan nilai 5 syiling, satu pistol dengan nilai 5 syiling dan dua apron dengan nilai 2 syiling. Dia bernasib baik kerana sabitan kesalahannya itu bukan hukuman mati. John dijatuhi hukuman 7 tahun buang daerah jauh dari tanah kelahirannya.

Pada 22 Disember 1783, namanya mula muncul dalam senarai banduan yang akan dihantar ke Amerika. John Hudson telah menaiki kapal Mercury dari penjara Newgate pada 30 Mac 1784. Selepas pemberontakan para penjenayah di atas kapal itu, pada 13 April John Hudson dihantar pula ke penjara Hulk Dunkirk ketika berumur 10 tahun.



John Hudson kemudian menaiki kapal Friendship pada 11 Mac 1787 sebagai banduan lelaki paling muda dihantar ke Terra Australis Incognita bersama-sama dengan 76 orang banduan lelaki dan 21 orang banduan wanita. Selepas 8 bulan dalam pelayaran, John Hudson tiba di Sydney, New South Wales. Dia kemudian telah dihantar ke penjara Norfolk Island pada 4 Mac 1790 dengan menaiki kapal Sirius.


John Hudson diletakkan di penjara Norfolk Island. Pada 15 Februari 1791 dia menerima 50 sebatan oleh penjara kerana berada di luar pondok selepas jam 9 malam. John Hudson melarikan diri dari penjara dengan bantuan seorang pegawai yang bersimpati dengannya. Setelah bebas dari penjara Norfolk Island itu, John Hudson nekad menaiki sampan, tanpa arah dan tujuan John Hudson mendayung berseorangan. Lalu dia terdampar di satu tempat dan dia bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh orang asli. Salleh de Ran

MENGAPA SAYA MENULIS KISAH TRUGANINI – WANITA ABORIGINE TERAKHIR?


Pada mulanya saya tidak tahu siapakah manusia yang bernama Truganini, sehingga saya berminat untuk menjadikan kisahnya dan diangkat ke dalam novel sejarah. Truganini – Wanita Aborigine Terakhir adalah novel  sejarah ke-5 yang saya tulis. Sebelum ini saya sudah menghasilkan novel Landasan Maut, Perang Kelang, Hiroshima – Duka Sebuah Perang dan Panggung Malaya.

Truganini adalah seorang wanita orang asli (Aborigine) yang dilahirkan di Bruny Island, Tasmania, Australia. Beliau juga wanita terakhir berdarah penuh orang asli semasa zaman penjajahan Inggeris di Australia. Saya mengangkat cerita ini bukan kerana mahu mengagung-agungkan tokoh ini, namun saya mengambil pendirian bahawa banyak kisah yang terjadi dalam sejarah tokoh ini dapat memberikan pengajaran atau iktibar mahupun peringatan kepada kita, kerana sejarah mungkin berulang....


Saya terpanggil untuk menulis kisah tokoh ini bermula semasa saya menulis novel travelog siri ke 2: Kembara Bumi Aborigine – Tasmania. Sedang mencari bahan tambahan untuk bab Bruny Island Neck di dalam novel travelog itu, saya terbaca tentang kisah Truganini. Sebelum itu, pada tahun 2005 saya pernah ke Tasmania atas tugasan membuat penggambaran program TV My Australia Adventure.


Sebahagian daripada lokasi yang saya pergi di Tasmania seperti Hobart, Launceston, Bruny Island, Adventure Bay, Bruny Island Neck, Cradle Mountain, Darwent River dan Mount Wellington, semua itu ada kaitan dengan sejarah Truganini. Bruny Island adalah tempat kelahirannya, Hobart pula tempat terakhir dia menghembuskan nafasnya dan Bruny Island Neck adalah tempat di mana memorial tugu peringatannya dibina.


Menariknya, tidak jauh daripada lokasi penggambaran terletaknya memorial itu. Saya tidak tahu pun di situ adanya memorial Truganini. Semasa di Tasmania dahulu saya tidak tahu dan tidak diberitahu siapakah Truganini itu. Namun, setelah menulis novel travelog, saya terjumpa dan baru mengenali tokoh wanita orang asli ini melalui kajian dan pembacaan.


Lalu saya membuat keputusan untuk menulis kisah tokoh ini kerana ianya sarat dengan krisis, konflik, tragedi, kekejaman, penindasan serta penipuan penjajah yang hampir melenyapkan orang asli Tasmania. Walaupun berada di Tasmania selama 5 hari, namun sekurang-kurangnya saya sudah berada di situ dan merasai sendiri suasana kehidupan di sana, alam semulajadi, hutan belukar, laut, pantai, bandar-bandar, kawasan luar bandar, makanan, budaya setempat dan pelbagai lagi.



Pengalaman itu, memudahkan lagi untuk saya menulis dan sedikit sebanyak memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku pada zaman penjajahan dahulu. Semoga novel sejarah ini memberikan manfaat kepada kita semua - Salleh de Ran

SHAMSUL GHAU GHAU : BEZA BERBEZA

JUDUL BUKU: SHAMSUL GHAU GHAU: BEZA BERBEZA
TUKANG TULIS: Salleh de Ran
TERBITAN: CHANNEL MEDIA 2016
GENRE: BIOGRAFI
HARGA: SEMENANJUNG MALAYSIA RM25 & SABAH/SARAWAK RM28
EDARAN: FUMI EDAR / FUMI ENTERPRISE

Buku Shamsul Ghau Ghau: Beza Berbeza ini adalah terbitan kedua Channel Media. Penerbitan buku ini dengan kerjasama Tuan Haji Shamsul Ghau Ghau sendiri. 

SINOPSIS
Buku ini berkisah tentang biografi kehidupan Shamsul Ghau Ghau bermula dari awal kelahiran, kerjaya sebagai polis, kerjaya sebagai artis hinggalah kini penghijaran beliau sebagai seorang insan yang mencari redha Allah.
Shamsul Ghau-Ghau atau nama sebenarnya S. Hamsul Azahar Aliddin ialah seorang pelawak, penyanyi, pelakon, penyampai radio dan pengacara TV di Malaysia. Beliau mula mencipta nama melalui rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan musim Pertama pada tahun 1994 dan meneruskan kerjaya seninya beberapa tahun kemudian hinggalah kini masih aktif. Namun, Shamsul Ghau Ghau sudah berubah kepada fasa yang lebih baik. Mencari redha Allah SWT menjadi pegangannya dan beliau juga aktif dalam program Sharing Is Caring.
Telusuri siri suka duka kehidupan beliau yang mungkin menjadi iktibar kepada pembaca.


Shamsul menyatakan mengapa beliau menerbitkan buku ini.

Tujuan saya menghasilkan buku ini sebenar-benarnya bukan untuk membuka aib diri sendiri ataupun untuk mendedahkan aib orang.

Namun ianya terdetik kerana untuk mencari redha Allah SWT agar menjadi asbab satu-satunya mendapat pahala dan anugerah syurga daripada Allah SWT satu hari nanti dan di hari akhirat kelak.

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir hendak menghasilkan buku ini. Namun, Tuan Guru Al Fadhil Ustaz Rashidi Jamil Al Rashid Al Hafiz adalah Tuan Guru yang memberikan semangat kepada saya untuk menulis buku atas asbab dakwah.

Saya juga diminta oleh Al Fadhil Ustaz Rushdy Ramli Al Jauhari untuk menulis buku. Beliau adalah seorang pendakwah bebas, personaliti TV dan pernah bersama saya menjadi Spokesperson untuk Walit Gold. Saya juga menerima suntikan semangat untuk menulis daripada sahabat-sahabat yang sama-sama berhijrah.

Walaupun sudah lama kata-kata semangat itu lahir, namun untuk melahirkan buku ini bukanlah perkara yang mudah. Pelbagai ujian, dugaan yang datang dan timbul.

Dengan keizinan Allah SWT, maka lahirlah buku yang berjudul Shamsul Ghau Ghau: Beza Berbeza ini, walaupun hampir 10 tahun saya berusaha untuk merealisasikannya.



CORETAN SI TUKANG TULIS

Akhir Ogos 2015, saya menerima panggilan daripada Shamsul Ghau Ghau, ketika itu saya berada di pejabat pos untuk membayar bil. Beliau menyatakan dan berhasrat mahu menerbitkan buku tentang penghijrahan beliau kepada saya.

Pada mulanya, saya agak keberatan, memandangkan saya ada komitmen lain untuk menyiapkan manuskrip lain yang masih tertangguh. Memandangkan Shamsul Ghau Ghau beria-ia mahu menerbitkan buku, maka saya berfikir sekali lagi. Demi persahabatan, akhirnya saya menerima pelawaan beliau itu.

Saya bertanya kepada Shamsul, “Kenapa Abang Shamsul tidak menulis sendiri?”

Shamsul menjawab, “Sebab aku tak reti nak menulis. Aku tak ada masa nak menulis. Tapi aku nak terbitkan buku. Aku nak kau bantu aku tulis, boleh?”

Saya hanya mampu berkata, “Insya-Allah, aku cuba....”

Rentetan daripada itu, saya cuba mencari waktu yang sesuai untuk mendapatkan maklumat dan bahan untuk manuskrip buku yang dicadangkan itu. Namun, hampir 9 bulan usaha untuk menerbitkan buku itu tertangguh kerana Shamsul Ghau Ghau tidak mempunyai masa dan ruang untuk saya mendapat bahan cerita daripadanya.

Beliau sibuk dengan aktiviti hariannya dan beberapa kali usaha untuk bertemu kerap kali tertangguh. Alhamdulillah, pada 30 April 2016 saya menghantar mesej kepada beliau untuk menetapkan tarikh baharu pertemuan bagi perbincangan buku seterusnya dan beliau bersetuju.

Pada 5 Mei 2016, satu pertemuan diadakan di 101 Bangi Hotel dan di situ kami merencanakan buku, mengambil maklumat dan bahan penceritaan terus daripada Shamsul Ghau Ghau.

Alhamdulillah, dengan keizinan Allah usaha itu berjaya dan beliau sendiri memberikan judul bukunya iaitu Shamsul Ghau Ghau : Beza Berbeza yang mana kini anda sedang menatapnya.  Selamilah dan hayati di sebalik kisah menarik rencah dan siri kehidupan dan penghijrahan Shamsul Ghau Ghau mencari redha Allah SWT. Memang berbeza! 


ANTARA PETIKAN DARIPADA BUKU INI

Sekiranya tidak hafal surah-surah ataupun hadis yang diajarnya itu, pasti kena lempang, kena tampar dan perut kena cubit. Ustaz itu memang cukup garang, ketika itu memang cukup marah betul dan berdendam dengan Ustaz yang mengajarnya.

“Aku tak ada masa depan jika berterusan begini. Hidup aku hanya di pasar malam. Bangun tidur mengadap bawang, kentang, busuk belacan, busuk ikan masin, timbang barang, ambil duit dan beri duit. Itulah sahaja dunia aku.”

Shamsul berdoa, “Ya Allah, bagaimana aku nak tewaskan Mazlan Pet Pet ini yang pandai menari, membuat bunyi-bunyian sedangkan aku tak pandai apa pun. Lagipun aku tak ada duit, aku banyak hutang. Aku berhutang RM500 dengan kakak ipar aku. Ya Allah tolonglah aku.”

Di Makkah, Shamsul mendengar seorang kanak-kanak membaca Al-Quran duduk di sebelahnya. Sedap dan laju bacaannya, dalam hati berkata, “Ishh budak ini, kalau kau pandai membaca, aku pun pandai membaca juga. Dulu pun aku dah khatam Al Quran.”

Shamsul kemudian mengambil dan membuka Al Quran, dia memandang atas bawah beberapa kali Al Quran itu. Walaupun kenal huruf, namun Shamsul tidak dapat membacanya. Shamsul berdoa, “Ya Allah, ampunkanlah aku. Aku dah jadi buta, aku tak boleh membaca Al Quran.”

Nantikan kemunculannya tidak lama lagi!

TRUGANINI - WANITA ABORIGINE TERAKHIR

AKAN DATANG!

SEBUAH NOVEL SEJARAH AKAN TERBIT!
NANTIKAN KEMUNCULANNYA....

TRUGANINI
WANITA ABORIGINE TERAKHIR


Truganini, dia seorang wanita Aborigine, Tasmania yang sudah lama pergi, kisahnya diingati, semangat wajanya menjadi kebanggaan dan ceritanya masih hidup dan terus bernyawa. Dia seorang yang berani, tabah mengharungi krisis, konflik, tragedi dan kekejaman yang menimpa bangsanya.

Kerakusan, penindasan dan penipuan penjajah hampir menghilangkan identiti, budaya, tradisi dia dan bangsanya. Musnah segala-galanya, terpenjara dan terasing dalam dunia bertamadun. Tanah air tergadai, dia dan bangsanya di penghujung kepupusan. Dia yang terakhir dan darah yang mengalir untuk bangsanya hampir kering dalam acuan...


Truganini adalah anak perempuan Mangana, iaitu pemimpin orang asli di Bruny Island, Tasmania. Dia dilahirkan pada tahun 1812, di Bruny Island. Sebelum dia berusia 18 tahun, ibunya telah dibunuh oleh pemburu ikan paus, kakaknya diculik dan dijadikan hamba seks, tunang pertamanya telah mati semasa menyelamatkan Truganini dari penculikan. Pada tahun 1828, dua adiknya, Lowhenunhue dan Maggerleede telah diculik, kemudian dibawa ke Kangaroo Island, South Australia dan dijual sebagai hamba. Bapa saudaranya turut dibunuh dan abang serta ayahnya mati disebabkan penyakit yang dibawa oleh orang Eropah.
Berlaku permusuhan, pemberontakan dan peperangan orang asli terhadap pihak berkuasa penjajah hingga berlarutan bertahun-tahun lamanya. Truganini terselamat daripada peperangan Black Wars atau Perang Hitam yang tercetus antara penjajah dan orang asli di Tasmania. Apabila Leftenan Gabenor, George Arthur tiba di Tasmania pada tahun 1824, beliau melaksanakan dua dasar untuk menangani konflik yang semakin meningkat antara peneroka dan orang asli. Pertama, memberikan ganjaran untuk menangkap orang dewasa dan kanak-kanak orang asli. Kedua, usaha untuk mewujudkan hubungan mesra dengan orang asli. Tujuan utama, untuk menarik semua orang asli supaya berpindah ke penempatan baru di Wybalenna, Flinders Island. Kempen itu bermula di Bruny Island di mana terdapat lebih sedikit permusuhan berbanding di tempat lain.
Pada tahun 1830, pelindung orang asli George Augustus Robinson, seorang mubaligh Kristian telah diupah dan diarahkan untuk memujuk serta mengumpul saki baki orang asli dalam kempen Misi Mesra dengan tujuan pengasingan adalah untuk menyelamatkan mereka. Truganini dan suaminya, Woorrady membantu Robinson dalam usaha itu dengan harapan dapat mengeluarkan dan melindungi orang asli daripada penindasan, di samping menyelamatkan dan menyatukan apa yang tinggal daripada bangsanya.
Malangnya, Truganini bersama seramai kira-kira 100 orang asli yang lain menerima kejutan apabila berada di penempatan baru mereka di Wybalenna, Flinders Island. Kehidupan mereka seoalah-olah terpenjara, dengan keadaan yang tidak bersih dan selesa, terutamanya disebabkan kekurangan zat makanan, influenza dan penyakit lain. Mereka terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak menentu hingga membawa kepada kematian. Budaya asli dan pegangan hidup mereka ditukar kepada budaya penjajah atas alasan hidup akan lebih baik dan bertamadun. Mereka tiada pilihan walaupun dalam keterpaksaan, hasilnya adalah penghapusan masyarakat orang asli berlaku di situ.
Truganini juga membantu Robinson dengan menempatkan orang asli di tanah besar ke Port Phillip pada tahun 1838.  Truganini tidak berpuashati dengan Robinson seoalah-olah dia menipu dirinya dan orang asli yang lain. Truganini meninggalkan Robinson dan meneruskan perjuangannya membebaskan bangsanya walaupun dia dan kumpulannya dianggap oleh penjajah sebagai pemberontak dan penjenayah.
Selepas kira-kira dua tahun hidup di sekitar Melbourne mereka menjadi penjenayah dan mencuri kepada golongan peneroka Eropah di Dandenong, Bass River dan kemudian di Cape Paterson. Mereka membunuh dan menembak dua penangkap ikan paus di pondok Watsons dan mencederakan peneroka yang lain di seluruh kawasan itu.
Satu usaha telah dijalankan untuk menjejaki Truganini dan kumpulanya yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan penangkap ikan paus itu. Di dalam kejadian itu Truganini tercedera di kepala akibat terkena tembakan dan dirawat oleh Dr. Hugh Anderson di Bass River. Mereka akhirnya ditangkap dan dihantar untuk perbicaraan, dua orang itu termasuk Woorrady suami Truganini di hukum gantung di Melbourne atas alasan membunuh.
Truganini bersama beberapa yang lain telah dihantar semula ke Wybalenna, Flinders Island. Pada tahun 1856, kem penempatan Wybalenna, Flinders Island ditutup dan baki 46 orang termasuk Truganini yang masih hidup dipindahkan ke sebuah kem penempatan baru di Oyster Cove, selatan Hobart. Pada tahun 1873, kecuali Truganini, semua Orang Asli dibawa ke sana telah meninggal dunia. Kem penempatan di Oyster Cove akhirnya ditutup pada tahun 1874, Truganina telah diambil oleh keluarga Dendridge, dia kemudian tinggal bersama penjaganya itu. Sedih dan dikhianati Truganini meninggal dunia di Hobart, pada tahun 1876 ketika berumur 64 tahun.

NOVEL TRAVELOG KEMBARA BUMI ABORIGINE: NEW SOUTH WALES





Judul: Kembara Bumi Aborigine: New South Wales (siri ketiga)
Penulis: Salleh de Ran
Penerbit: Channel media Resources
Tarikh Terbit: 18 April 2016
ISBN: 978 967-14020-0-5
Genre: Travelog Bersiri
Harga: Semenanjung RM20 Sabah Sarawak RM23


 Kaver Buku: Kembara Bumi Aborigine: New South Wales



SINOPSIS: KEMBARA BUMI ABORIGINE – NEW SOUTH WALES
Kembara Bumi Aborigine kali ini ke New South Wales, Australia. Enam orang sahabat Azzam, Ajib, Naim, Eija, Fana dan Aisya memilih Sydney, New South Wales, Australia sebagai destinasi kembara mereka. Selama enam hari berada di bumi Aborigine itu, mereka berkunjung ke lokasi yang menarik di sekitar Sydney dan beberapa tempat di luar bandar itu.
Di Darling Harbour mereka bertemu dengan Orang Aborigine yang membuat persembahan kesenian menggunakan alat muzik tradisi didgeridoo. Takut pada ketinggian di puncak Sydney Tower, Aisya mengejutkan semua orang. Di atas pentas yang berprestij, Consert Hall, Sydney Opera House Azzam menunjukkan bakatnya. Di Paddy Markets dan The Rocks, Eija, Fana dan Aisya sakan membeli-belah.

Menyelami dunia akuatik di Sydney Aquarium, Azzam pula menghilangkan diri. Panik apabila Naim terperangkap di Strand Arcade. Aktiviti lasak Oz Jet Boating, membuatkan Fana mabuk. Menjamu selera di Waterfront Restaurant, gila-gila Aisya memakan tiram segar. Kehadiran jerung di Bondi Beach, membuatkan Eija berenang tidak cukup air. Semasa menuruni jambatan di Sydney Harbour Bridge, kejadiian cemas menimpa Naim.
Di Australia Reptile Park pula, mereka menerima kejutan yang tidak terduga. Memandu ke Port Stephens yang mendamaikan dari kesibukan kota. Bermalam dan berehat di Shoal Bay Resort & Spa. Meneroka gurun pasir dengan quad bike di Sand Safaris Active adventure Tours, berlaku sesuatu kepada Ajib dan Orang Aborigine. Kembara mereka diakhiri dengan belayar bersama Moonshadow Cruises di Nelson Bay sambil melihat ikan lumba-lumba, di situ juga Azzam mengakhiri fobia dan traumanya pada laut.
Pelbagai pengalaman pahit dan manis, suka dan duka yang mereka tempuh sepanjang kembara tersebut. Walaupun begitu, mereka tetap gembira kerana pengalaman berharga yang dikutip semasa berada di New South Wales itu menjadi kenang-kenangan yang terindah buat mereka semua.

Novel travelog Kembara Bumi Aborigine adalah novel pertama terbitan di bawah Channel media Resources. Novel bersiri ini adalah perancangan awal syarikat dalam penerbitannya.
Novel travelog Kembara Bumi Aborigine ini mengandungi 4 siri:
1. Kembara Bumi Aborigine – Western Australia
2. Kembara Bumi Aborigine – Tasmania
3. Kembara Bumi Aborigine – New South Wales
4. Kembara Bumi Aborigine – South Australia

Berkemungkinan siri seterusnya akan diterbitkan antaranya;
5. Kembara Bumi Aborigine - Queensland
6. Kembara Bumi Aborigine - Victoria
7. Kembara Bumi Aborigine - Canberra

Sedikit Coretan Di Sebalik Penerbitan Novel Ini.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, pada hari ini 18 April 2016 adalah hari keramat bagi diri saya. Pada tarikh yang sama juga hari pernikahan saya 18 tahun yang lalu dan pada hari ini juga lahirlah 'baby' pertama saya. Inilah hadiah paling istimewa yang cukup bermakna buat diri saya kerana 3 tahun saya menyepikan diri dalam dunia penulisan.
Mendapat berita daripada pegawai pemasaran I-Whiz Sdn. Bhd, Puan Puteri Shaziera, memberitahu bahawa 'baby' sudah dilahirkan dengan selamat pada jam 5:00 petang. Perkhabaran itu, tanpa sedar air mata mengalir.... hanya mampu mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah.
Bermula bulan Disember 2015, perancangan untuk menerbitkan sendiri novel ini bukanlah perkara yang mudah, sakitnya Tuh Di Sini! Saya tidak punya pengalaman tentang penerbitan buku, selama ini, hanya menulis dan menyerahkan segalanya kepada pihak editor dan penerbit. Hanya menunggu novel itu siap sepenuhnya. Namun, setelah melalui sendiri pengalaman menerbitkan novel, saya faham ianya sukar. Tetapi di dalam kesukaran itu saya belajar dari pengalaman dan kesilapan.
Alhamdulillah, saya ditemukan dengan individu-individu yang budiman, baik dan tidak kedekut ilmu. Mereka inilah pembakar semangat dan tulang belakang kepada kejayaan ini. Adakalanya saya 'down' kerana menghadapi masalah tertentu, namun lorong-lorong yang gelap itu disinari cahaya dan dipermudahkan jalannya. Kepada individu-individu yang berjasa ini saya rakamkan jutaan terima kasih dan nama anda terpahat dalam halaman terakhir novel ini.
Novel travelog Kembara Bumi Aborigine : New South Wales ini sudah 4 tahun mengembara membawa diri dari satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain, 4 pelabuhan disinggahi, namun pelabuhan itu menutup pintu sepi. Visa dan permit sudah dihamparkan, sayangnya cop rasmi tiada juga diberi. Memendam duka lara, membawa diri terus menggembara mencari pelabuhan lain. Ilham Allah yang memberi, maka pelabuhan sendiri dibina bagi memujuk hati dengan membina tiang seri, lantai, bumbung dan dinding.
Setelah 5 bulan berlalu, pelabuhan pun siap dibina dengan keringat dan air mata. Pada hari ini, 'baby' comel ini dilahirkan.... saya tertunduk sayu, apakah 'baby' ini dapat bertahan dalam dunianya yang penuh dengan cabaran. Semoga dipermudahakan perjalanannya....

Filem OSHIN

Judul Filem: Oshin
Pengarah/Directed by: Shin Togashi
Pelakon/Cast: Aya Ueto, Goro Inagaki, Ayako Kobayashi, Kokone Hamada, Pinko Uzumi
Durasi/Duration: 110 min
Bahasa/Language: Japanese
Genre: Drama
Tahun: 2013

Poster Filem Oshin

Seorang gadis kecil berjalan tertatih di hamparan badai salju. Kemudian masuk intro lagu yang membuat air mata langsung menitis, terutama bagi mereka yang punya hati. Badai salju metafora yang bagus menggambarkan pahit kehidupannya. Opening scene yang langsung mengingatkan pencinta siri televisyen popular Jepun pada tahun 80-an berjudul sama: Oshin dan diiringi soundtrack khasnya.

Oshin melihat beras yang diterima keluarga

Keluarga Oshin yang miskin

Oshin versi layar lebar ini memfokuskan kepada semasa kecilnya ketika usia Oshin 7-8 tahun. Dimulai dengan latar cerita tahun 1907 di Yamagata suatu wilayah di Jepun, anak kecil dari 4 orang adik-beradik itu diminta bekerja oleh ayahnya Sakuzo Tanimura kerana terlalu miskin kehidupan dan digambarkan dengan baik melalui satu adegan hanya mendapat seguni beras yang minima. Anak sekecil itu harus berjuang untuk terus hidup. Adegan perpisahan ketika Oshin menaiki rakit mengharungi sungai lalu ibu Fuji Tanimura dan ayahnya mengejar di pinggir sungai sudah cukup menyayat hati. Sang nenek yang sayang padanya memberikan sekeping wang 50 sen disimpan di dalam kalungnya untuk kegunaan bila perlu kelak.

Oshin dibawa menaiki rakit meninggalkan kampung halaman dan keluarganya

Oshin mulanya bekerja sebagai penjaga bayi di sebuah rumah orang berada. Di sini dia tidak bernasib baik kerana Tsune ketua di bawah jagaannya bersikap zalim dan kasar, bahkan lebih dari majikannya sendiri. Bukan sahaja dieksploitasi tetapi makanan yang diberikan untuk Oshin kurang dan sedikit. Oshin kemudian diusir dari tempat majikannya kerana dituduh mencuri wang. Wang pemberian neneknya itu disangka wang majikannya.

Hanya kerana dituduh mencuri wang 50 sen, Oshin diusir keluar dari rumah majikan pertamanya. Wang pemberian nenek Oshin itu menjadi kekuatan dirinya untuk meneruskan kehidupan.

Bermulalah kesengsaraan hidup Oshin sebenarnya. Dia kemudian ditolong oleh Shunsaku seorang pelarian tentera yang kemudiannya mengajar Oshin membaca. Oshin digambarkan cerdas dan cekap menangkap apa yang dipelajarinya. Dia terus tinggal tidak berapa lama bersama Shunsaku dan orang tua Matsu. Sayangnya Oshin harus pergi ketika mulai menemukan kebahagiaannya, Shunsaku tertangkap oleh sekumpulan tentera. Oshin kemudian pulang menemui keluarganya, namun ayah Oshin marah kerana Oshin memalukan keluarga mereka. Setelah itu Oshin kemudian diterima bekerja di sebuah rumah orang kaya lainnya. Diceritakan itu terjadi pada tahun 1908.

Nasib Oshin ceria kembali setelah bertemu dengan Shunsaku, pelarian perang. Harmonika adalah hadiah pemberian Shunsaku kepada Oshin. Shunsaku juga mengajar Oshin membaca.

Di sini, nenek dari keluarga kaya Puan Kuni bersikap bijak lalu mengambil Oshin bekerja. Masalah bagi Oshin ialah anak gadis orang kaya itu bernama Kayo yang kurang suka padanya. Di awalnya, Oshin mencuri membaca buku kepunyaan Kayo yang cukup cukup memberi kesan yang mendalam kepada penonton kerana semangat Oshin yang hendak belajar. Selain itu, Oshin menemukan ibunya juga di kota yang sama dalam keadaan yang tidak diinginkannya. Namun, cara Oshin menerima keadaannya dan tetap berjuang benar-benar menyentuh hati dan perasaan. Seperti nasihat Puan Kuni, “Hidup itu kejam. Kau harus menerimanya dengan lapang dada. Kelak suatu hari kebahagiaan akan kau raih.”

Oshin bekerja di rumah majikan keduanya Puan Kuni.

Oshin adalah inspirasi. Dia tidak pernah dendam terhadap kehidupannya. Suatu sikap yang mungkin tidak dipunyai setiap orang. Perjuangannya layak diberi pengiktirafan. Meskipun hanya memfokuskan kepada Oshin yang berusia 7-8 tahun, film ini 80% menguris perasaan dan sudah tentu mata akan berkaca-kaca apabila menontonnya, malah akan menerbitkan linangan air mata yang tidak terduga atas simpati yang mendalam kesengsaraan Oshin itu.

Detik perpisahan yang mengharukan bersama keluarga Oshin


Seluruh adegan sangat bagus dan tidak terbuang kerana bijaknya pengarah filem ini menggarap dan memadatkan versi siri drama ke layar lebar. Bagi yang tidak pernah menonton drama berantainya pun akan memahami ceritanya. Adegan yang paling menyentuh dalam filem ini semasa Oshin di bawa pergi menaiki rakit meninggalkan ibu dan ayahnya. Adegan Oshin diminta makan oleh majikan keduanya. Nasinya masih banyak dan tidak seperti majikan pertamanya dahulu hanya memberi makan Oshin dengan sisa nasi. 

Terpaksa berpisah dengan ibu kesayangannya Fuji Tanimura

Wajahnya menjadi cerah, tersenyum lebar dan dia mensyukuri nikmat yang didapatnya. Walau itu hanya nasi. Air mata pasti jatuh mengalir. Belum tentu sikap seperti dimiliki oleh setiap manusia. Begitu juga dengan adegan Kayo merampas dan memijak-mijak harmonika milik Oshin yang diberikan oleh Shunsaku sangat menguris hati. Adegan Tsune menuduh, membuka kimono, merampas wang 50 sen, menampar dan memukul Oshin sangat mengharukan. Ada beberapa lagi adegan yang menyentuh hati terdapat di dalam filem Oshin ini.

Detik cemas Shunsaku ditembak tentera

Oshin mula membaca atas dorongan Shunsaku

Kokone Hamada yang memegang watak Oshin ini sangat baik dan terlalu jujur. Bahasa badannya, mimik wajahnya, sopan dan berbudi bahasa begitu meyakinkan. Babak semasa Oshin memohon kerja hingga membuat Puan Kuni majikan keduanya itu, luluh membuat sesiapa yang menontonnya akan bergetar dengan simpati. Oshin hanya ingin hidup seperti layaknya manusia. Dia tidak iri hati terhadap orang yang ada di atasnya dan selalu bersemangat. Seperti pesan Shunsaku sebelum mati ditembak dan yang menemukannya di hamparan salju, “Oshin, kau harus tetap hidup dalam sesulit apa pun.”

Fuji Tanimura, ibu Oshin yang sering memberi semangat dan kekuatan.

Sinematografinya ada filmic sense. Dominasi adegan bersalju, adalah roh dan jiwa dalam filem ini, penuh dengan perjuangan hidup. Filem Oshin ini menggambarkan anak Jepun yang gigih, cekal dan bersamangat tinggi. Itulah budaya dan kehidupan bangsa Jepun.

IMBASAN KEMBARA ~ TASMANIA, AUSTRALIA

BRUNY ISLAND NECK


Bruny Island Neck adalah genting tanah yang menghubungkan antara utara dan selatan Bruny Island, di selatan Tasmania.

Sebelum anda tiba di Advanture Bay, Bruny Island, anda berpeluang singgah sebentar di Neck Beach iaitu tanah genting yang menarik untuk dilawati. Lokasi yang memisahkan antara laut tenang dan laut bergelora. Lebar daratannya lebih kurang 100 meter. Anda juga dapat melihat pasang surut air laut di kedua-dua belah lokasi.


Angin dingin bertiup sangat mengasyikkan, ditambah pula dengan pemandangan yang luas saujana mata memandang. Kebiruan laut bergabung pula langit yang membiru, sungguh mempesonakan. Panas terik, namun nyaman suhunya, pasir memutih di tepian pantai, semua itu adalah panorama alam yang bersulamkan keindahan lantas menggamit keterujaan. Melihat dan berada di sini, sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Pastinya memori akan terpahat di dalam ingatan dan tidak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja.

Lokasi ini juga adalah habitat penting bagi hidupan liar asli di Bruny Island, dan di sini anda akan menemukan Game Reserve Neck. Laluan pejalan kaki dan platform tontonan bagi membolehkan anda untuk melihat penguin kecil dan pemandangan di sekitarnya.



Penguin kecil juga dikenali sebagai penguin pari-pari. Anda boleh melihat burung-burung yang luar biasa kembali ke sarang mereka di bukit pasir. Melihat penguin, perlu menunggu senja hari, ini kerana penguin akan balik ke sarang di tepi pantai pada waktu itu. Haiwan ini akan pulang berkawanan sambil meluncur di pesisir pantai dan segera kembali ke sarang. Tempoh terbaik untuk melihat penguin ini semasa musim panas pada bulan September hingga Februari.




Tangga kayu disediakan untuk kemudahan pengunjung membawa anda hingga ke puncak platform. Lokasi ini menawarkan pemandangan yang menakjubkan hingga 360 darjah pusingan. Di sini juga anda sedang berada di lokasi memorial orang asli Nuenonne yang pernah tinggal di Lunnawannalonna, nama lama bagi Bruny Island sebelum kedatangan orang-orang Eropah.

Di Bruny Island Neck ini juga, ada tapak perkhemahan yang terletak hanya 20 meter dari pantai dan mempunyai tapak rata, tempat meletak kereta, kemudahan berkelah dan juga tandas.













Apabila berada di atas platform, pengunjung dapat menikmati pemandangan yang paling menawan dan menyeronokan boleh di akses di kawasan ini. Anda hanya perlu membawa kamera bagi merakam detik-detik indah semasa berada di lokasi ini.


Melihat pemandangan dari selatan genting tanah ini, anda boleh melihat dengan jelas bagaimana bentuk geogarfi dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Adventure Bay dan Tasman Sea di sebelah kiri, manakala di sebelah kanan pula ialah Segenting Bay dan D'Entrecasteaux Channel. Di sebelah timur laut pula anda dapat melihat kaki langit Cape Queen Elizabeth.


Lokasi di sini sukar digambarkan dengan kata-kata. Pastinya akan terpahat di dalam ingatan dan tidak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja bagi mereka yang sudah sampai di Bruny Island Neck.