DAMAIKAN RUSUH HATI

Single Kedua Azzam Sham

Lama tidak menjengah blog sendiri. Kekangan masa dan mood yang tidak menentu menidakkan peluang untuk menulis. Namun, pada kali ini saya cuba juga menggagahkan diri dan menggugahkan minda saya untuk terjun kembali, berenang-renang ke dalam blog ini berkongsi rasa dan pengalaman seperti mana posting yang saya lakukan sebelum ini.

Damaikan Rusuh Hati? Barangkali ada sudah tahu dan ada juga belum tahu. Mungkin terdetik ada yang mengatakan itu tajuk novel terbaharu. Ooo bukan, Damaikan Rusuh Hati adalah sebuah lirik yang saya tulis buat pertama kali untuk sebuah lagu berentak Pop Rock, berkonsepkan ketuhanan. Lagu ini dinyanyikan oleh Azzam Sham iaitu bekas peserta program realiti Idola Kecil 2 di TV9 pada tahun 2009. Azzam Sham menjadi naib juara di dalam program tersebut.

 Susunan muzik lagu Damaikan Rusuh Hati ini dihasilkan oleh komposer Sanizar Ayin. Beliau adalah rakan baik saya semasa bekerja di TV3 suatu ketika dahulu. Sanizar Ayin sudah lama tidak menghasilkan lagu. Beliau pernah menghasilkan lagu-lagu pada sekitar tahun 1990-an dan menjadi salah satu anggota dalam kumpulan Redang di bawah naungan Ambang Klasik. Beliau juga pernah menulis lirik lagu-lagu nyanyian kumpulan Senario, juga menghasilkan lagu kepada penyanyi terkenal tanah air seperti Siti Nurhaliza, Tomok dan beberapa orang artis lain. Beliau kini bertugas di Primeworks Studio, Media Prima Berhad sebagai penerbit program di TV9.

Berbalik kepada lirik Damaikan Rusuh Hati ini, pada asalnya dibuat hanyalah untuk puisi pada tahun 2012. Puisi yang berjudul Pada Nur Cahaya Mu itu kemudiannya saya pindahkan menjadi lirik lagu. Namun, lirik itu terhenti di situ. Pada Tahun 2014, dua tahun kemudian saya bertekad dan berusaha untuk menjadikan lirik ini sebuah lagu. Saya tiada berpengalaman dan zero dalam bidang penulisan lirik. Inilah adalah percubaan pertama saya entah betul entah tidak. Saya redahkan diri untuk teruskan keyakinan saya. Sedang pada masa yang sama, saya pula tidak tahu, siapakah yang harus boleh menghasilkan lagu yang saya impikan ini?


Saya tidak punya rakan komposer, jauh sekali kenal atau rapat dengan komposer. Pada mula saya tidak teringat akan rakan saya Sanizar Ayin ini. Pernah beberapa kali saya bertemu dan bersembang dengan beliau, namun saya tidak mampu untuk meluahkan hajat yang sekian lama terpendam. Akhirnya saya nekad, rezeki bertemu dengan Sanizar Ayin selepas solat Jumaat di sebuah gerai makan di Sungai Pencala, Kuala Lumpur. Semasa berbual-bual dengan beliau itu saya melontarkan hasrat dan bertanya adakah beliau mahu mencipta lagu baru. Beliau menjawab dengan selamba, “Boleh tidak menjadi masalah. Beritahu sahaja, InsyaAllah.”


Lembaran baru terbuka di situ, Alhamdulillah sudah ada jalan untuk ke aliran seterusnya. Lalu saya mengambil masa yang sesuai untuk menterjemahkan hasrat saya itu. Setelah tersedia segalanya barulah saya putuskan untuk bekerjasama dengan Sanizar Ayin.  Pada masa yang sama saya masih memperbaiki lagi patah perkataan dalam setiap baris lirik. Mencari dan memilih perkataan-perkatan yang sesuai di dalam lirik Damaikan Rusuh Hati. Hinggalah judul lagu ini pun saling bertukar-tukar. Pada awalnya judul Pada Nur Cahaya Mu, bertukar kepada Doa Buat Hati, bertukar lagi kepada Tanpa Izin Mu dan akhir sekali penamatnya adalah Damaikan Rusuh Hati.

Asas lirik ini adalah doa yang panjang berkaitan dengan hati. Pada keseluruhan lirik ini adalah menyentuh tentang hati. Hati kita ini saling tidak bersih dan sering kali menghasilkan tanda-tanda hitam tanpa kita sedari. Hati yang terlalu kotor, kelam dan sukar untuk dibersihkan. Mengambil dari hakikat itu, maka saya terfikir alangkah menariknya sekiranya lirik ini dijadikan lagu. Hati juga kadang kala berduka, gembira saling berentak dan beralun mengikut pergerakan di sepanjang kita meniti kehidupan.  


Lirik Damaikan Rusuh hati seterusnya saya berikan kepada komposer Sanizar Ayin. Berdasarkan pada terma penciptaan lagu, menghasilkan melodi terlebih dahulu, kemudian diselaraskan dengan lirik. Saya tidak begitu, saya menghasilkan lirik kemudian melodi datang kemudian. Perkara itu membuatkan komposer pening kepala. Alhamdulillah komposer berjaya merealisasikan dan hasilnya wujudlah lagu Damaikan Rusuh Hati. Hampir sebulan komposer menyudahkan kerja-kerjanya dan ada sedikit rombakan pada lirik asal yang dilakukan oleh komposer.

Saya tidak sabar mahu mendengar lagu baharu itu, pertama kali mendengar vocal guide lagu dari komposer, saya begitu teruja dan kemudian berulang-ulang kali mendengar lagu itu hingga menjadi sebati. Saya hanya menunggu adunan akhir lagu Damaikan Rusuh Hati dan sementara menunggu adunan akhir lagu itu siap, saya hantar melalui emel vocal guide Damaikan Rusuh Hati kepada Azzam Sham untuk pra dengar. Di dalam emel itu, saya menyebut;

Salam Ayah Sham, Azzam Sham & Ibu Yusnita.
Di sini saya sertakan demo lagu baru untuk Azzam.  Sekiranya sudi untuk dinyanyikan hi hi hi. Suka tidak suka, kena juga nyanyi ha ha ha... Muzik hampir siap, cuma belum masuk keyboard, string dan belum mixing serta mastering muzik keseluruhannya dan di sini juga saya masukkan vokal guide menggunakan suara komposer Sanizar Ayin sebagai rujukan. Lagu ini belum final lagi,  sekadar pra dengar dahulu...
Minus one pun belum tersedia, jika sudah selesai nanti, minus one akan di emel. Bolehlah buat latihan sebelum masuk studio.... ha ha. Di sertakan juga lirik lagu ini. Terima kasih, semoga menjadi kenyataan. Insya-Allah...

Emel itu seperti memaksa sahaja, Alhamdulillah Azzam Sham setuju untuk menyanyikan lagu itu. Saya terharu lamaran saya dipersetujui dan dihargai. Ayah Sham dan Ibu Yusnita turut menyambut baik cadangan saya itu. Dua minggu kemudian saya menerima adunan akhir lagu itu. Saya emel sekali lagi minus one lagu itu, dan meminta Ayah Sham menempah studio rakaman. Juga meminta Azzam Sham membuat latihan vokal sebelum memasuki studio rakaman.

Pada 25 April 2014, hari paling bersejarah buat saya. Dengan izin Allah, lagu Damaikan Rusuh Hati memasuki studio rakaman di Hot Sound Studio, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Tepat jam 8:00 malam, Azzam Sham merakamkan lagu tersebut. Komposer Sanizar Ayin turut serta di dalam rakaman bagi menyelaras dan memandu arah Azzam Sham membawa lagu Damaikan Rusuh Hati. Alhamdulillah, rakaman berjalan dengan lancar sekali. Azzam Sham membawakan lagu itu dengan baik sekali. Rakaman itu berakhir jam 10:30 malam.


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang lagu Damaikan Rusuh Hati ini boleh melayari You Tube video Di Sebalik Tabir... di link bawah ini.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI