Nantikan Kemunculan Novel Terbaru


InsyaAllah, sekiranya diizinkan akan muncul dua novel terbaru tulisan saya tidak lama lagi. Kini, sedang menunggu giliran untuk diterbitkan dan saya tidak pasti bilakah dua novel itu akan muncul, semuanya bergantung kepada pihak penerbit, semoga dipermudahkan pelestariannya.

Dua novel fiksyen itu adalah:

1. Novel Travelog New Zealand - Kategori Remaja.

Sinopsis: Travelog New Zealand - Aotearoa

Sudah lima tahun Ismad tidak bertemu dengan bapa saudaranya, Ishak Mahyudin seorang usahawan Melayu yang berjaya membuka perniagaan katering di Christchurch, New Zealand. Ismad menerima berita gembira bahawa bapa saudaranya meminta dia datang ke New Zealand sempena cuti semester. Ismad, Fadzli dan Nazmie merancang untuk pergi ke New Zealand bersama-sama, memandangkan mereka baru pertama kali ke luar negara. Tujuan Fadzli ke New Zealand adalah untuk menemui abang kandungnya, Nadzri Sulaiman seorang anak Melayu pertama yang mengusahakan bengkel kereta di Christchurch, New Zealand.

Oleh kerana, Ishak Mahyudin sibuk dengan urusan perniagaan di Queenstown, maka dia meminta Ismad singgah terlebih dahulu di Auckland sebelum ke Christchruch dan tinggal selama lima hari di Mesra Homestay NZ milik Abdul Aziz iaitu sahabat baik kepada Ishak Mahyudin. Di Auckland, Ismad, Fadzli dan Nazmie bertemu dengan saudara baru Ahmad Blake iaitu anak angkat kepada Abdul Aziz. Sepanjang berada di New Zealand, hubungan persahabatan bertambah erat di antara Ahmad Blake, Ismad, Nazmie dan Fadzli. Ahmad Blake membawa mereka melawat ke tempat menarik di sekitar Auckland dan Christchurch.

Ketika hendak bertolak ke Christchurch, Ismad menerima berita bahawa bapa saudaranya terpaksa menunda kepulangan ke Chirstchurch kerana ada urusan perniagaan yang belum selesai di Queenstown. Ismad yang teruja hendak bertemu dengan bapa saudaranya menjadi kecewa, namun kekecewaan Ismad terubat apabila dapat bertemu kembali dengan bapa saudaranya itu. Persahabatan erat selama sebelas hari di New Zealand itu, membuatkan Ahmad Blake terharu dan mereka semua terpaksa akur dengan perpisahan. Walau bagaiman pun, Ismad, Fadzli dan Nazmie tetap gembira kerana mendapat pengalaman yang sungguh berharga ketika berada di New Zealand.


2. Novel Perang Saudara Selangor - Kategori Sejarah

Sinopsis:

1866, Selangor mula digegarkan dengan perang saudara antara Raja Mahadi dengan Raja Abdullah. Sengketa bermula apabila Raja Mahadi yang sepatutnya mewarisi jawatan Orang Besar Daerah Kelang telah tersingkir dan jawatan itu digantikan oleh Raja Abdullah. Raja Mahadi terpaksa akur dengan keputusan yang tidak adil itu tetapi Raja Mahadi terus berdendam dan menentang Raja Abdullah untuk mendapatkan semula haknya. Raja Abdullah pula menjadi kaya dan berpengaruh. Kekuasaannya meliputi kawasan perlombongan di Kuala Lumpur, Ampang, Petaling dan Kanching.

Raja Mahadi mempelajari selok-belok perniagaan dan perdagangan di Melaka dan Singapura melalui bantuan Baba Teck Cheng. Raja Mahadi menjadi saudagar terkenal. Raja Abdullah pula mengikat perjanjian dan menerima nasihat Inggeris tanpa memikirkan musibahnya melalui sistem pungutan cukai yang menjadi kebencian ramai orang. Keadaan menjadi buruk apabila berlaku sengketa antara puak Hai San dan puak Ghi Hin untuk merebut kawasan perlombongan. Di tengah gelora persengketaan itu, Raja Mahadi tampil kehadapan menjadi pemimpin dengan mengatur strategi untuk mengusir dan menawan gedung Raja Abdullah serta merampas semula jawatan Orang Besar Daerah Kelang.

Perang saudara meletus antara pasukan Raja Mahadi dengan pasukan Raja Abdullah. Pertempuran sengit berlaku di kedua-dua belah kubu pertahanan. Ramai pengikut yang mati dan terkorban. Perang berlarutan selama lima bulan, Raja Mahadi membuat sekatan bekalan makanan dan senjata. Ini menyebabkan pasukan Raja Abdullah lemah dan mengaku kalah. Akhirnya Raja Mahadi berjaya menawan gedung Raja Abdullah dan dengan secara rasminya Raja Mahadi menjadi Orang Besar Daerah Kelang.

Salleh de Ran

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI