Kekeliruan Tentang Kiraan Royalti


Artikel dipetik daripada Universiti Terbuka PTS (UNIKA)

Masih ada yang bertanya bagaimana lazimnya sesebuah penerbit mengira royalti pengarang.

Jika tuan pernah menerbitkan buku, berapakah persen royalti yang tuan terima daripada penerbit itu? 5%? 7%? 10%? 12.5%? 16%? 20%?

Masih banyak penulis yang keliru implikasi persen-persen royalti yang ditawarkan oleh penerbit.

Ambil contoh-contoh kes berikut:

Ada penerbit menawarkan royalti 16%. Sekali pandang bunyinya sangat menarik. Tetapi penulis tidak diberitahu 16% itu 16% daripada apa? Rupa-rupanya 16% daripada harga buku selepas ditolak diskaun kepada pengedar. Apabila tiba masa kiraan royalti barulah penulis tahu bahawa penerbit memberi potongan 50% kepada pengedar. Harga asal buku itu RM20, selepas ditolak diskaun pengedar harganya tinggal RM10. Penulis dibayar royalti 16% daripada RM10!

Ada penerbit menawarkan royalti 11% kepada penulisnya. Tetapi dalam dokumen perjanjian penerbitan tidak dituliskan berapa harga buku itu dijual. Begitu juga harga itu tidak dicetak pada buku.

Ada penerbit menawarkan royalti 10% daripada harga jualan yang tercetak. Harga buku itu RM15. Tetapi apabila tiba masa mengira royalti, penerbit menolak 300 naskhah promosi dan 100 naskhah peruntukan bagi buku yang rosak.

Ada penerbit menawarkan royalti 14% oleh penerbitnya. Setahun kemudian dia diberitahu cetakan pertama bukunya adalah 2 ribu naskhah sahaja sebab penerbit tidak yakin buku itu laku. Tiga tahun kemudian, dari seorang petugas setor yang bekerja dengan penerbit itu, dia mendapat tahu bukunya setiap tahun dicetak semula tanpa menukar 'cetakan pertama 1999'.

5. Sebuah penerbit milik kerajaan menawarkan royalti 20% atas jumlah yang terjual, tetapi buku-buku terbitannya tidak dijual dengan agresif.

Ambil kira faktor-faktor lain yang lebih penting daripada faktor persen-persen sebelum membuat pilihan:

(i) Adakah penerbit itu jujur.

(ii) Jumlah persen itu dikira berdasarkan harga apa?

(iii) Adakah harga jualan buku itu dicetak pada buku?

(iv) Berapa potongan jumlah naskhah yang dikenakan bagi tujuan promosi?

(v) Adakah penerbit itu menyediakan dokumen perjanjian penerbitan?

(vi) Adakah dituliskan dalam dokumen berapa nilai royalti itu?

Apabila hendak menyerahkan manuskrip kepada mana-mana penerbit, jangan buat keputusan berdasarkan persen-persen.

Sebagai tip umum, penerbit yang baik adalah penerbit yang mengamalkan amalan-amalan lazim dalam industri penerbitan pada peringkat antarabangsa.

Comments

Ahmad Ashraf said…
Saya yakin PTS adalah penerbit yang berintegriti.

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI