Di Sebalik Tabir Novel Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori



Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dengan izin-Nya maka lahirlah dua buah novel yang dizahirkan serentak. Pertama novel travelog remaja Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori di bawah terbitan PTS Professional Sdn. Bhd dan yang kedua novel sejarah Hiroshima - Duka Sebuah Perang di bawah terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

Novel Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori adalah novel pertama saya bersama PTS Professional. Semuanya bermula apabila perbincangan saya dengan Cik Nurismaliza (Editor PTS Pro ketika itu) pada 15 Oktober 2009 melalui Facebook dan daripada maklumat serta pandangan daripada Cik Nurismaliza mengenai cadangan saya mengenai buku travelog itu akhirnya Cik Nurismaliza bersetuju dan beliau memaklumkan kepada saya bahawa PTS Pro sedang membangunkan projek novel trevelog. Beliau mencadangkan kepada saya supaya membuat proposal dan beliau meminta saya menjadikan pengalaman di luar negara itu ditulis dalam bentuk fiksyen.

Pada mulanya saya sedikit keberatan kerana kesukaran untuk melakukannya memandangkan pengalaman realiti saya itu lebih mudah dan sesuai untuk dijadikan non-fiksyen.

Kemudian saya berurusan dengan editor Cik Rashiela Nurain Rashid bagi menggantikan Cik Nurismaliza. Dalam jawapan emel Cik Rashiela, beliau menyatakan, "Buat makluman Tuan, kami sudahpun menilai cadangan karya Tuan. Namun begitu terdapat kekeliruan, sama ada Tuan berminat mahu menulisnya dalam fiksyen ataupun bukan fiksyen."

"PTS Professional unit remaja dan kanak-kanak hanya menerbitkan produk fiksyen. Oleh itu, besarlah harapan saya agar penulisan ini ditukar menjadi fiksyen supaya bersesuaian dengan produk kami. Sekiranya Tuan mempunyai sebarang gambar semasa berada di kawasan yang dilawati, bolehlah juga dilampirkan bagi memudahkan ilustrator."

Saya memutuskan berfikir seketika dan beberapa hari kemudian saya menghantar emel dan bersetuju dengan cadangan Cik Rashiela menjadikan pengalaman saya itu kepada fiksyen.

Balasan emel saya pula menyatakan, "Di sini saya menyambut baik cadangan Cik Shiela supaya menukar kepada fiksyen dan saya sedang memikirkan jalan ceritanya berdasarkan penyesuaian fakta asal. Beri ruang kepada saya untuk merangka sinopsis terlebih dahulu dan sekiranya sudah ada saya akan emel kepada Cik Sheila untuk penilaian. Antara negara yang dicadangkan adalah Papua New Guinea, New Zealand, Indonesia dan Australia."

Cik Shiela kemudian menyatakan dalam emelnya, "Kami amat berbesar hati dengan kesudian Tuan mahu menulis bersama kami. Kami sedia menanti karya daripada Tuan mengikut negara-negara yang dicadangkan. Tuan bolehlah mengajukan sinopsis lengkap manuskrip yang ditulis secara fiksyen kepada saya. Semoga kerjasama antara kita akan menghasilkan produk berkualiti buat peminat buku di Malaysia. Sekian terima kasih dan selamat maju jaya."

Saya menghadapi masalah dalam beberapa perkara lalu saya bertanya kepada Cik Shiela dan beliau menyatakan di dalam emelnya, "Berkenaan dengan persoalan sasaran umur untuk watak dan pembaca, kami tidak menetapkan sebarang umur iaitu penulis bebas mahu menetapkan umur protagonisnya. Pembaca sasaran bagi siri Travelog pula adalah dari umur 13 tahun - 21 tahun. Ini diharapkan dengan membaca buku siri ini, pembaca mempunyai keinginan mahu pergi ke negara dalam siri itu untuk belajar ataupun bekerja, misalnya. Cadangan penulisan manuskrip yang bagus adalah seperti berikut:

i.Dimulakan dengan tema dan persoalan (permulaan jalan cerita, pengenalan watak dsb.)
ii.diikuti dengan perkembangan plot (watak dan perwatakan berkembang, bagaimana perjalanannya bermula, apa persediaannya dsb.)
iii.kemudiannya klimaks (puncak cerita,, konflik, tragedi, isu dan permasalahan yang timbul dsb.)
iv.seterusnya dengan penyelesaian (cara atasi masalah dsb.)
v.diakhiri dengan pengakhiran cerita (penutup; gembira/ sedih, pengalaman yang tidak dapat dilupakan, wawasan ataupun rancangan masa hadapan dsb.)

Penulisan ini adalah fiksyen (novel) namun masih berdasarkan fakta yang benar dan pengalaman sebenar. Penulisan yang bagus juga haruslah menceritakan kepada pembaca sehingga pembaca sendiri berasa berada di tempat yang dimaksudkan. Segala persembahan penceritaan bergantung kepada penulis dan diharapkan penceritaannya menarik, seperti seseorang yang bercerita secara lisan. Kami juga menggalakkan penulis memasukkan info-info mahupun tips yang tidak pernah diketahui oleh masyarakat umum. Sekiranya Tuan mempunyai sebarang gambar/poster/flyers mahu dilampirkan, sangatlah kami galakkan."

"Semoga dengan penerangan ini membantu melancarkan penulisan Tuan. Kami sudah tidak sabar-sabar menanti karya daripada Tuan. Diharapkan segalanya berjalan lancar. Saya doakan Tuan terus maju hendaknya. Sekian jutaan terima kasih dan selamat bekerjasama."

Lantas saya meneruskan penulisan novel trevelog ini dan memberikan status terkini kepada Cik Shiela dan saya menyatakannya di dalam emel, "Di sini saya ingin memaklumkan kepada Cik Shiela bahawa kini saya sedang menyiapkan Novel Trevalog - New Zealand seperti yang saya cadangkan tempohari dan sudah pun 40% dalam penulisan. Saya mohon maaf kerana mengambil masa yang panjang untuk menulis memandang saya mempunyai komitmen yang lain. InsyaAllah saya akan cuba menyiapkannya dengan kadar yang segera."

Cik Shiela meminta saya menghantar manuskrip 40% itu dan setelah dinilai beliau meminta saya menulis penuh manuskrip berkenaan. Pada 19 Ogos 2010 saya menghantar menuskrip penuh kepada Cik Shiela. Beberapa hari kemudian beliau memberikan respon di dalam emelnya beliau menyatakan, "Manuskrip Travelog New Zealand sudah selamat dimuat turun. Saya mohon diberi masa bagi membuat penilaian kerana manuskrip ini paling tebal yang pernah kami terima. Saya juga perlu menilai manuskrip-manuskrip lain yang diterima terlebih dahulu sebelum ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan yang memberikan komitmen yang bagus dan kerjasama yang baik dengan kami. Semoga urusan kita dipermudahkan, insya-Allah. Sekian, terima kasih sekali lagi."

Lalu saya membalas kenyataan Cik Shiela dengan menyatakan, "Untuk pengetahuan Cik Shiela, ketebalan muka surat itu adalah atas nasihat dan pandangan Puan Ainon Mohd sendiri. Puan Ainon Mohd meminta saya menulis sehingga 400 muka surat, namun saya gagal mencapai sasaran itu. Walau bagaimana pun saya hanya mampu menulis lebih kurang 333 muka surat sahaja.

Sungguhpun begitu, saya serahkan perkara ini kepada budi bicara Cik Shiela dalam membuat penilaian. Semoga Cik Shiela diberi ketenangan ketika membaca manuskrip saya ini."

Seterusnya Cik Shiela menyatakan di dalam emelnya lagi, "Terus sahaja kepada tujuan saya menghantar e-mel ini. Buat makluman tuan, menurut manual buku remaja keluaran PTS Pro, muka surat maksimum yang diterima hanyalah 180 sahaja. Didapati manuskrip Travelog New Zealand ini mengandungi ketebalan yang melebihi muka surat maksimum itu.

"Antara rasionalnya ialah supaya memudahkan editor menilai manuskrip. Alhamdulillah setakat ini bank manuskrip PTS Pro begitu banyak. Buat makluman tuan, biasanya editor perolehan memperuntukkan satu tempoh masa bagi menilai manuskrip. Editor perolehan membuat susunan urutan menunggu bagi menilai setiap manuskrip. Tempoh ini mengambil masa. Oleh sebab itu adanya had kepada jumlah ketebalan sesebuah manuskrip supaya lancar proses penilaian itu."

"Besarlah harapan kami mohon kerjasama supaya muka surat manuskrip ini dikurangkan mengikut ketebalan yang kami perlukan bagi memudahkan proses penilaian manuskrip nanti. Mudah-mudahan dengan ini lancarlah tugasan kami maka cepatlah penghasilan buku yang kita sama-sama idamkan.Kami sedia menerima respons daripada tuan."

Kemudian saya menyatakan di dalam emel saya kepada Cik Shiela, "Terima kasih di atas respon manuskrip New Zealand ini dan setelah meneliti kembali ketebalan muka surat yang menjadi penghalang kepada polisi yang sudah ditetapkan oleh pihak pengurusan penerbitan, maka di sini saya ingin mencadangkan kepada Cik Shiela supaya manuskrip New Zealand ini dijadikan kepada dua bahagian atau dijadikan dua buah buku iaitu bahagian pertama dan bahagian kedua."

"Saya melihat perkara ini adalah kerana banyak info yang menarik terpaksa saya buang sekiranya dikurangkan ketebalannya kepada 180 muka surat sahaja dan ini sangat merugikan. Saya juga mengambil kira atas saranan Puan Ainon supaya menulis sekurang-kurangnya 300-400 muka surat setiap satu manuskrip."

"Walau bagaimanapun, sekiranya cadangan manuskrip New Zealand ini dijadikan kepada dua bahagiab atau dua buah buku ditolak dan tidak dipersetujui maka saya terpaksa akur dengan pilihan pihak pengurusan penerbitan dan saya akan menjadikan manuskrip ini kepada 180 muka surat sahaja."

Cik Shiela kemudian memberitahu kepada saya, "Menjawab usul yang tuan kemukakan, sebenarnya saya sudahpun mengusulkan hal minta manuskrip new Zealand dijadikan dua buku (pek berkembar).
Pihak pemasaran PTS berkata, sebaik-baiknya bagi siri baru seperti Travelog hanya satu buku untuk sebuah negara diterbitkan. tambahan pula, ada beberapa manuskrip Travelog lain juga perlu dikerjakan."

"Pada minggu lepas, PTS Pro ada membuat analisis jualan PTS Pro. Didapati apabila kami membuat perbandingan jualan satu buku dengan pek berkembar, jualan satu buku lebih menggalakkan. Rasionalnya, buku-buku biasa dijual di mana-mana kedai buku (besar dan kecil) manakala buku pek berkembar pula jualannya hanya boleh ditembusi di kedai buku besar."

"Sekiranya terdapat kesulitan apabila manuskrip New Zealand dipendekkan, dicadangkan supaya ia dibuat diterbitkan bersambung iaitu berperingkat (ada buku pertama dan buku kedua). Ini lebih baik berbanding daripada diterbikan secara pek berkembar."

"Kami juga menggalakkan supaya apabila penulis mahu menghantar manuskrip, terus sahaja berhubung kepada editor perolehan yang berkaitan. Ini bagi mengelakkan salah faham prosedur kepada mana-mana penerbit. Setiap penerbit ada prosedur, polisi dan gerak kerja masing-masing yang perlu dipatuhi bagi kelancaran tugasan."

"Diharapkan tuan jelas dengan penerangan ini. Saya sedia menanti respons tuan seterusnya."

Saya memutuskan, "Saya sangat terharu dengan kelonggaran yang diberikan kepada manuskrip saya itu. Terima kasih saya yang tidak terhingga kerana Cik Shiela masih memberikan ruang dan melontarkan cadangan yang baik kepada saya."

"Saya sangat memahami saranan dan kehendak pihak penerbit dan kini saya memutuskan untuk menerima cadangan Cik Shiela supaya manuskrip New Zealand itu dibuat dan diterbitkan bersambung iaitu berperingkat (buku pertama dan buku kedua)."

Cik Shiela kemudian menjelaskan, "Terus sahaja dengan persoalan yang tuan usulkan. Sukalah saya memaklumkan, apabila sesuatu manuskrip itu diputuskan supaya diterbitkan berperingkat, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.
Manuskrip perlu dihantar secara berperingkat. Proses produksi dua buah buku dengan satu tajuk yang sama ini mengambil masa sama seperti menghasilkan dua buah buku dengan tajuk yang berlainan. Tidak adil pula kepada manuskrip lain yang sudah beratur supaya diterbitkan. Oleh itu, memang manuskrip bagi bahagian kedua perlu dihantar kemudian supaya mengikut urutan."

"Buat makluman tuan, PTS Pro baru sahaja membuat pembentangan pelan produksi PTS Pro 2011. Saya mencadangkan supaya siri Travelog diperkenalkan pada suku pertama 2011. Namun pihak pengurusan meminta saya fokus kepada produk lain dahulu kemudian baru beri fokus kepada siri ini pada suku kedua 2011. Ini memberi petanda kepada PTS Pro yang pihak pemasaran dan pihak jualan mahu memberi fokus kepada produk lain berbanding siri ini terutamanya sebagai produk yang diperkenalkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Sebagai langkah yang selamat, saya cadangkan supaya manuskrip New Zealand bahagian pertama tidak terlalu tergantung supaya ia boleh 'berdiri sendiri'. Bahagian kedua boleh diusahakan sehingga pihak pemasaran dan pihak jualan PTS yakin dengan siri baru ini boleh diteruskan."

"Berdasarkan segala saranan saya tadi, besarlah harapan saya supaya manuskrip New Zealand itu boleh dibahagi dua dengan satu-satu manuskrip itu boleh berdiri sendiri."

Saya akur dan menyatakan kembali kepada Cik Shiela, "Sebagaimana sedia maklum, sebelum ini saya menerima cadangan Cik Shiela untuk membahagikan manuskrip travelog New Zealand ini kepada dua bahagian atau dua buku. Setelah saya memikirkan kembali semasak-masaknya, saya mengambil keputusan untuk menjadikan mansukrip ini kepada satu buku sahaja supaya buku ini dapat 'berdiri sendiri' sepertimana pandangan Cik Shiela tempohari. Saya juga mengambil kira bahawa risiko terlalu tinggi berkemungkinan buku yang kedua tidak dapat diterbitkan atas faktor jualan."

"Maka, saya mengambil langkah untuk menjadikan mansukrip New Zealand ini kepada satu buku sahaja. Berikutan daripada itu, saya sudah menyunting kembali dan memendekkan halamannya kepada 180 sepertimana yang dikehendaki oleh pihak pengurusan."

Cik Shiela kemudian bertanyakan berhubungan dengan cadangan judul novel, "Tuan, saya mahu bertanya berkaitan tajuk. Apakah tajuk yang tuan cadangkan kepada manuskrip ini? Adakah tuan mahu memberi tajuk Aotearoa itu? Ini kerana pihak pemasaran PTS berkata, tajuk yang kurang biasa kepada pembeli sasaran akan menyukarkan jualannya. Mohon sekiranya tuan punya idea bagi tajuk yang lebih mudah dan menarik. Pihak kami juga dalam usaha mahu memberikan idea kepada tajuk manuskrip ini."

Saya pula mencadangkan kepadanya, "Berdasarkan pertanyaan Cik Shiela berkenaan tajuk manuskrip travelog New Zealand ini, saya mencadangkan di sini beberapa tajuk sekiranya sesuai.

Berikut adalah tajuknya;

1. Cerita Dari New Zealand
2. Kembara New Zealand
3. Kembara Bumi Maori
4. Kembara Bumi Kiwi
5. Dari Kuala Lumpur ke Christchurch
6. Singgah New Zealand
7. Lambaian New Zealand

Saya juga tidak mempunyai halangan sekiranya Cik Shiela mempunyai idea berkenaan tajuk manuskrip ini dan saya sedia berkongsi dengan cadangan yang diusulkan."

Cik Shiela menjelaskan di dalam emel seterusnya, "tajuk manuskrip ini ditukar menjadi Oh New Zealand: Indahnya Bumi Maori. Tajuk ini dipilih bersempena dengan tajuk-tajuk buku travelog yang sudah diterbitkan iaitu Oh London dan Oh Sudan. Kami mengambil keputusan supaya tajuk siri ini diseragamkan. Siri ini tidak ada logo dan hanya tajuknya sahaja yang lebih kurang sama."

Akhirnya saya menerima pruf manuskrip yang diusahakan oleh Cik Amirah Hassan editor pengurusan dan dalam masa tiga hari saya meneliti serta membuat pembetulan di mana ada kesilapan yang di dalam manuskrip itu.

Maka dengan ini lahirlah novel ke - 4 saya:

Harga: RM 15.00 / RM 17.00
ISBN-13: 978-967-369-105-0
Tarikh Terbit: 16 Aug 2011
Jumlah Muka Surat : 240
Kategori:Remaja
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Salleh de Ran

Comments

Nana said…
eh eh...nk beli la hikhikhik
Salleh de Ran said…
Beli jangan tak beli... ha ha

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI