Imbasan Kembara ~ Bandung Indonesia


Saung Angklung Udjo ~ Keharmonian Yang Mengasyikkan.

Masih teringat di memori saya semasa berkunjung ke Bandung pada hujung bulan Oktober 2011 yang lalu. Mendengar dan memainkan angklung, bunyi-bunyi yang khas keluar daripada alat muzik tradisional yang terbuat daripada buluh itu sangat mengasyikkan. Semasa menyaksikan persembahan di Saung Angklung Udjo, Bandung itu hati saya tertawan kerana keharmonian bunyi-bunyian angklung yang sungguh unik itu.

Sehingga kini masih terdengar-dengar bunyi-bunyian angklung di telinga saya. Saya dan pengunjung yang lain turut bersama bermain alat muzik ini dan kami diajar bagaimana memegang, menggoyangkan angklung mengikut nombor yang diberikan.Kami dilatih sehingga dapat memainkan lagu Burung Kakak Tua.

Mahu rasanya kembali ke Bandung lagi bagi menghayati alat muzik itu. Tidak lebih mendamaikan apabila mendengar keharmonian muzik angklung dengan memainkan lagu-lagu tradisional dan moden. Salah satunya lokasi yang terkenal di Bandung adalah Saung Angklung Udjo, tempat pelancongan, arena pertunjukan, pusat kerajinan, bengkel sehinggalah tempat pendidikan dan pelatihan Angklung di Bandung.

Angklung adalah alat muzik tradisional yang berasal dari Jawa Barat, terbuat daripada buluh, yang dibunyikan dengan cara digoyangkan (bunyi disebabkan oleh benturan atau hantukan badan tabung buluh) sehingga menghasilkan bunyi yang bergetar dalam susunan nada 2, 3, sampai 4 nada dalam setiap ukuran, baik besar mahupun kecil. Laras (nada) alat muzik angklung sebagai muzik tradisi Sunda kebanyakan adalah salendro dan pelog.


Sejarah terciptanya alat muzik angklung yang diperbuat daripada buluh itu adalah sudut pandangan hidup masyarakat Sunda yang berkaitan dengan kehidupan yang bersumber pada makanan pokok padi ini dilahirkan daripada mitos Nji Sri Pohaci sebagai Dewi Sri pemberi kehidupan perenungan masyarakat Sunda dahulu dalam mengelola pertanian terutama pertanian sawah dan ladang telah melahirkan syair lagu sebagai penghormatan dan persembahan kepada Nyi Sri Pohaci dan sebagai tolak bala supaya bercucuk tanam mereka tidak mendatangkan malapetaka.

Saung Angklung Udjo berlokasi di Jalan Padasuka 118, Bandung. Sebuah lokasi pelancongan di mana tarian tradisional dan permainan angklung membaur dalam suasana riang gembira. Angklung kini lebih sering ditampilkan dalam bentuk orkestra. Saung Angklung Udjo merupakan sepenggal kisah bagaimana kekayaan budaya Indonesia masih bertahan dengan desakan arus globalisasi. Di sinilah kita dapat merasakan kesegaran alam, kicauan burung dan kegembiraan anak-anak dalam pementasan budaya Sunda.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI