Novel Cabul



Untung Rugi Menjadi Penulis, Penerbit dan Penjual Novel Cabul.

Menulis novel-novel cabul terbukti boleh membawa keuntungan yang banyak dan segera. Jualan novel-novel cabul sangat rancak sekarang ini. Kedai buku besar dan kecil, terkenal dan tidak terkenal, semuanya sedia menjadi agen jualan novel-novel cabul.

Semua perkara ada baik dan buruknya, ada untung dan ruginya, ada plus dan minusnya.

Risiko paling besar menjadi penulis novel cabul adalah dosa yang berpanjangan. Meskipun kita sudah berhenti menulis, malah sudah bertaubat, namun kesan buruk akibat daripada pembacaan novel-novel itu tetap berjalan terus ke atas mereka yang pernah membacanya.

Meskipun kita menggunakan nama-nama samaran, orang tetap akan tahu juga siapa kita yang berselindung di sebalik nama-nama samaran itu. Nama baik kita rosak sampai bila-bila. Masyarakat tidak akan memaafkan kita.

Risiko menjual novel-novel cabul pun begitu juga. Meskipun sudah berhenti menjualnya, kesan kerosakan daripada jualan novel-novel cabul itu yang lalu tetap berlaku terus. Tidak dapat dihapuskan.

Ada suatu fenomena baru yang sedang berlaku dalam industri novel cabul hari ini.

Permintaan untuk novel-novel cabul dalam apa-apa jua bahasa memang sentiasa ada, dan saiz pasaran itu besar. Kuasa duit sedang mendorong industri novel cabul membesar dengan rancaknya. Semakin banyak penulis novel cabul muncul dalam pasaran. Semakin banyak penerbit yang menceburi sektor novel cabul. Semakin banyak kedai buku menjual novel cabul.

Laporan risikan pasaran yang kita lakukan menunjukkan pada masa ini novel-novel cabul menguasai pasaran fiksyen dalam Bahasa Melayu. Angka jualan novel-novel cabul itu mengatasi jualan novel-novel cinta romantis.

Novel-novel itu dijual di semua kedai buku utama. Laporan yang kita terima daripada petugas sebuah cawangan kedai buku berangkaian menunjukkan jualan kategori novel cabul mengatasi jualan lain-lain kategori buku.

Kedai-kedai buku yang selama ini sangat dihormati sebagai kedai buku bermutu pun kini menjual novel-novel cabul, malah novel-novel cabul itu diiktiraf dalam senarai bestseller mereka, serta dinobatkan dengan diberi hadiah dan anugerah.

Pada masa-masa yang lalu, penulis-penulis novel cabul adalah terdiri daripada penulis lelaki. Tetapi pada saat ini, penulis-penulis perempuan mendominasi pasaran buku cabul. Maklumat daripada pasaran mengatakan ada antara penulis-penulis novel cabul itu adalah perempuan-perempuan muda yang belum berkahwin.

Sumber: Puan Ainon Mohd ~ http://www.universitipts.com/

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI