Imbasan Kembara ~ Tarian Tradisi Papua New Guinea


Tarian Sing-Sing

Kunjungan ke Papua New Guinea pada tahun 2009 yang lalu semasa membuat tugasan bagi program TV At-Tijarah - Rezeki Tanpa Sepadan, saya berpeluang melihat sendiri budaya dan kehidupan masyarakat setempat berkait dengan tarian tradisi.

Salah satu tarian tradisi yang sempat saya saksikan daripada suku kaum yang ada di Papua New Guinea adalah tarian Sing Sing. Atas permintaan untuk rakaman dan dengan kerjasama pihak pegurusan New Britain Palm Oil Limited - NBPOL telah menyediakan kumpulan penari itu.

Bertempat di Walindi Resort berhampiran pantai persembahan tarian diadakan. Ianya ditarikan 10 hingga 15 orang penari terdiri daripada lelaki dewasa, wanita dewasa dan juga kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun. Tarian Sing Sing menggunakan alat muzik gendang kecil berukuran satu kaki setengah dan dua kaki panjang. Berbentuk bulat di bahagian atas dan bawah, ramping di bahagian tengah.

Di bahagian atas dibalut dengan kulit biawak kering dan dipalu lalu menghasilkan bunyian mengikut rentak. Di bahagian bawah gendang itu dibiarkan kosong bertujuan apabila gendang dipalu dapat menghasilka bunyi. Sambil menari kumpulan penari ini menyanyikan lagu mengikut bahasa mereka. Tarian dan nyanyian yang didendangkan itu tidak begitu panjang lebih kurang mengambil masa satu minit sahaja.

Penari-penari mengenakan kostum primitif, mereka menggunakan daun kelapa, daun pisang, daun pucuk paku dan daun bunga sebagai hiasan di badan dan di kepala. Untuk penari wanita daun anyaman kelapa dililit pada kepala mereka. Sementara penari lelaki hanya mengikat kepala mereka menggunakan daun bunga atau rumput kering.

Pada badan dan muka mereka disapu dengan warna hitam, warna merah dan juga warna kuning. Gabungan warna itu menjadikan mereka begitu unik sekali. Kelihatan berbelang-belang apabila warna itu disapu pada badan dan dicalit pada muka.

Tarian Sing-Sing sangat unik dan menarik untuk dihayati. Budaya yang terpancar pada tarian ini satu manifestasi alam dan kehidupan masyarakat Papua New Guinea yang beragam dan simbolik. Satu kepuasan yang tidak mudah dilupakan.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI