Imbasan Kembara ~ Padang, Sumatera Barat


Malin Kundang dan Si Tanggang Derhaka.

Malin Kundang berkisah tentang seorang anak yang derhaka kepada ibunya dan kerana itu dikutuk hingga menjadi batu. Sebentuk batu di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat, konon kisah sisa-sisa daripada kapal Malin Kundang.

Pada tahun 2009, saya berpeluang berkunjung ke lokasi yang saya maksudkan di atas. Semenjak pertama kali menonton filem Si Tanggang arahan Dato’ Jamil Sulung, lakonan Normadiah, Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datin Sarimah Ahmad, saya mula tertarik dan mahu tahu apakah benar cerita itu berlaku dan di manakah lokasi sebenar cerita itu berkisah? Persoalan itu saya tinggalkan jauh dan saya anggap kisah itu sebagai lagenda rakyat.

Namun, cerita rakyat yang mirip juga dapat ditemukan di negara-negara lain di Asia Tenggara. Di Malaysia cerita serupa ini berkisah tentang Si Tenggang yang berasas dari kisah lebih awal lagi pada 1900 dalam buku Malay Magic yang ditulis oleh Walter William Skeat sebagai satu cerita rakyat berjudul Charitra Megat Sajobang dalam buku Malay Magic (1900) ms 54-55 dicetak oleh The Macmillan Company : New York. Cerita Si Tenggang pernah diterbitkan oleh Balai Pustaka, Jakarta pada 1975 sebagai judul Nakoda Tenggang : sebuah legenda dari Malaysia / oleh A. Damhoeri.



Pada kala kunjungan di Padang, saya teruja kerana hasrat mahu melihat batu sumpahan Si Tanggang atau Malin Kundang (kisah di Padang) itu terpampang di hadapan mata. Di situ saya termanggu sejenak kerana kisah lagenda rakyat itu seakan ada kebenarannya. Percaya atau tidak terpulang kepada individu hendak mempercayai. Mungkin ia benar, mungkin ia hanya rekaan.

Di lokasi, pemerhatian saya hanya sebuah replika yang dibangunkan sebagai produk palancongan, namun ia seolah-olah digambarkan seperti wujud dan benar berlaku. Minda kita dipusingkan hingga begitu. Bagi saya pilihan menentukan benar atau tidak, saya perkirakan benar dan tidak benar.

Di situ juga saya dapat melihat, sebuah bahtera yang menjadi batu akibat sumpahan yang tersadai dan terbenam, punya buritan dan haluan yang separa lengkap. Di bahagian tengah bahtera terlihat kayu layar yang tumbang bersama tali-temali, tong kayu, susuk tubuh Si Tanggang atau Malin Kundang sujud membatu terbenam di situ. Juga jelas dinding bahtera seperti benar belaka. Ada juga objek yang sukar difahami kerana lusuh dan hakis di telan masa. Andai bernasib baik, kunjungan kita itu tidak didatangi badai dan ombak. Maka dapatlah kita melihatnya bahtera yang dikatakan milik Si Tanggang itu.



Walau apa pun, anggaplah kisah ini sebagai teladan kepada kita. Jangan derhaka kepada ibu bapa, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Syurga itu terletak di kaki ibu, yang baik dijadikan pengajaran yang buruk dijadikan sempadan. Sungguh menarik buat tatapan dan ingatan kita bahawa kisah Si Tanggang ataupun Malin Kundang itu mengingatkan kita kepada Allah SWT, kerana Dia yang menentukan setiap kejadian.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI