Imbasan Kembara ~ Port Moresby, Papua New Guinea


Dekorasi dan Kraf Tangan Papua

Pada tahun 2009, sementara menunggu penerbangan jam 3.00 petang dari Port Moresby ke Singapura, saya dan rakan-rakan dibawa melawat ke bangunan Parlimen Papua New Guinea. Lebihan masa selama 3 jam itu kami gunakan sebaik mungkin melawat dan mencuci mata di sekitar bandar raya Port Moresby.

Lokasi pertama kami dibawa ke bangunan parlimen Papua New Guinea. Pada hemat saya kami hanya dibenarkan melawat di luar bangunan, namun kami bertuah kerana dibenarkan memasuki ke dalam bangunan parlimen. Di Malaysia, saya belum pernah masuk ke dalam bangunan parlimen, walaupun teringin sekali mahu pergi.

Bangga dan seronok kerana dapat melihat ruang dalam bangunan parlimen. Sangat menarik seni reka dalaman ruang dewan bangunan parlimen. Walaupun ketika itu tidak ada persidangan dewan berlangsung namun dapat dirasai suasananya. Ruang dewan persidangan itu besar dan dipenuhi dengan reka bentuk bermotif flora dan fauna tempatan. Hiasan dalamannya diperbuat daripada kayu bermutu tinggi.

Sayangnya kami tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam bangunan parlimen. Kami hanya diberi penerangan serba ringkas bagaimana perjalanan parlimen di Papua New Guinea. Apa yang menariknya kami dibenarkan duduk di kerusi dalam bangunan parlimen itu.



Sesudah itu kami dibawa ke Taman Botani untuk melihat burung yang menjadi lambang kebanggaan Papua New Guinea iaitu Bird of Paradise. Burung yang berwarna kuning itu sangat cantik dan sangat sukar hendak melihatnya. Burung ini tidak suka diganggu akan terbang dan bersembunyi di celah-celah dahan pokok. Saiz Bird of Paradise yang sederhana itu, sangat menawan ketika terbang dan hinggap di atas dahan. Unik yang ada pada Bird of Paradise adalah pada bulu burung itu terutama pada bulu ekornya yang panjang dan terurai.

Raggiana, Bird of Paradise, burung kebangsaan Papua New Guinea. Bird of paradise ini menjadi lambang negara Papua New Guinea yang dapat dilihat pada bendera, jata negara, syiling emas, mata wang Kina 10 dan produk cenderahati. Meneroka Taman Botani, kita dapat melihat pelbagai spesies flora dan fauna tempatan seperti haiwan kecil dan besar serta tumbuh-tumbuhan.

Kemudian kami dibawa makan tengah hari di sebuah restoran Jepun yang terletak di tengah-tengah bandar raya Port Moresby. Hidangan pada tengah hari itu kami makan ikan dan kentang goreng, nasi dan sup makanan laut.

Seterusnya kami dibawa ke lokasi kedai cenderahati dan kraf tangan. Pelbagai barangan yang dijual termasuklah t.shirt, ukiran kayu, mangkuk kayu, topeng, alat muzik tradisional, bakul anyaman, beg bilum, patung-patung, rantai perhiasan, baju, barangan kulit, pisau, topi, batu-batu manik, kopi dan pelbagai barangan lain.
Kesenian kraf masyarakat Papua New Guinea melibatkan pasu, pertukangan kayu, alatan muzik, kerja tangan bakul dan barangan perhiasan diri. Pakaian Tapa diperbuat daripada kulit kayu yang dilapah yang dihasilkan menggunakan tangan dengan corak tempatan. Papua New Guinea sebenarnya lebih dikenali sebagai penghasil dekorasi topeng yang pelbagai. Kepelbagaian corak menggambarkan gaya kehidupan golongan masyarakat yang tinggal di dalam pulau berkenaan. Perayaan kebudayaan lebih menonjol menerusi penglibatan Papua New Guinea menerusi pemakaian kostum purba dan persembahan upacara tradisional.



Perhiasan dan aksesori badan diperbuat daripada komponen haiwan termasuk gigi khinzir, kulit kerang, duri orkid, gigi anjing, biji benih, tulang belakang ular dan taring khinzir. Sepik River Basin dan Papuan Gulf adalah dua buah wilayah iaitu Semenanjung Huon dan Pesisir Milne menjadi penghasil utama kraf berkenaan. Terdapat juga beribu jenis serangga dan tidak ketinggalan juga spesies kepelbagaian orkid yang tidak terdapat di negara lain.

Terdapat beberapa jenis topeng yang menarik termasuk topeng nenek moyang dan roh iaitu yang mempunyai kepentingan secara tradisi. Kanak-kanak yang memakai baju tenunan mereka boleh dibeli. Alat muzik yang kebanyakannya menggunakan drum tangan diperbuat daripada kulit kayu, kulit ular, cicak dan kangaroo yang diikat kuat di keliling mulut drum dan digam menggunakan getah pokok.

Dekorasi di atas kayu amat popular di kalangan masyarakat Papua seperti dekorasi di atas papan bot dan perahu dipercayai sebagai penghalang daripada jatuh sakit dan gangguan semangat jahat. Terdapat baju perisai yang diperbuat dengan pelbagai bentuk dan saiz seperti yang terdapat dalam kisah cerita. Bangku, meja, pakaian berhias dan ukiran yang berjalin-jalin sementara itu cangkuk ikan digantung setiap rumah lelaki dipercayai untuk menghadirkan semangat roh untuk membantu dalam berperang, memburu dan mengelak daripada penyakit. Rak tengkorak musuh dan ahli keluarga dijadikan sebagai dekorasi dan buah tangan yang menarik.

Ingat! Perlu berhati-hati ketika mencari produk cenderahati di sini kerana sebahagian daripada barangan yang dijual itu mengandungi tulang, bulu, taring dan kulit khinzir.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI