Imbasan Kembara ~ Sydney, Australia


Skywalk, Sydney Tower.

Pada tahun 2005, kenangan yang terindah apabila berpeluang barada di puncak Skywalk, Sydney Tower. Saya berpeluang berada di puncak sebanyak dua kali. Kali pertama melakukan tinjauan sebelum mengadakan penggambaran program My Australian Adventure. Kali kedua pula penggambaran sebenar bagi program tersebut.

Sejam kemudian kami bergerak menuju ke Sdney Tower yang terletak di Market Street, Sydney untuk tugasan tinjauan Skywalk. Sepanjang perjalanan ke Sydney Tower, rakan jurukamera sempat mengambil visual pemandangan bandaraya Sydney di kiri kanan jalan. Sepanjang perjalanan itu saya dapati tiada kesesakan lalu lintas. Apa yang saya perhatikan bilangan motosikal tidaklah begitu banyak jika dibandingkan di Kuala Lumpur. Masyarakat di sana lebih gemar menggunakan khidmat pengangkutan awam atau berjalan kaki untuk urusan harian. Saya juga memerhatikan beberapa bangunan moden dan klasik saling bergandingan, masih terpelihara dengan baik. Juga tiada sampah sarap bertaburan sepanjang tepi jalan.


(Hanya foto ini sahaja yang saya abadikan. Ini pun saya capture dari video)

Setengah jam kemudian, kami sampai di Sydney Tower. Bangunan ini terletak di celah-celah bangunan dan agak sukar untuk mengambil visualnya. Fokus penggambaran hanya pada puncak Sydney Tower. Itulah sudut yang terbaik yang kami dapat ambil. Oleh kerana kedudukan Sydney Tower agak jauh dari lokasi parkir, kami dikehendaki berjalan kaki untuk sampai ke sana. Kami semua menaiki lif hingga ke Centre Podium Level, kedatangan kami disambut mesra oleh pegawai bertugas Skywalk. Sebelum tinjauan dijalankan, kami diberi penerangan ringkas tentang keselamatan dan cara-cara bagaimana berjalan ketika berada di di tepian Skywalk.



Selesai sesi penerangan saya dan rakan-rakan memakai pakaian khas berwarna biru untuk memulakan tinjauan dan penggambaran. Perasaan berdebar-debar semakin memuncak kerana inilah kali pertama saya berada di ketinggian altitud di Sydney Tower. Skywalk ini begitu unik kerana kita boleh berjalan di luar mengelilingi puncak Sydney Tower dan dapat menyaksikan keindahan bandaraya Sydney dari atas puncak dua kali ganda dari Sydney Harbour Bridge. Sydney Tower berketinggian 268 meter.

Semasa berada di luar puncak itu perasaan gementar dan gayat tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Perlahan-lahan kami mengelilingi Skywalk, semakin lama semakin teruja kerana dapat menikmati pemandangan bandaraya Sydney daripada atas. Angin sejuk bertiup di setiap penjuru, sekali-sekala awan melintas di hadapan mata. Laut dan langit biru saujana mata memandang. Sayup-sayup kapal dan bot berlabuh. Di bahagian daratan kelihatan luas tanah pamah, pantai-pantai yang memutih.



Tidak terlintas langsung di fikiran saya berada di puncak Sydney Tower. Sedangkan Menara Kuala Lumpur pun saya belum pernah menjejakinya, inikan pula di negara orang. Pengalaman yang paling sukar dilupakan ketika berada di lantai kaca di mana apabila memandang ke bawah diri terasa terbolos, seram sejuk dibuatnya. Sambil memerhatikan sekeliling, tugasan mengambil visual diteruskan. Di sebelah barat kelihatan matahari semakin melabuhkan tirainya. Hampir dua jam kami berada di Sydney Tower, tinjauan di Skywalk berakhir dengan selamatnya. Sijil akan diberi kepada mereka yang berada dipuncak. Pengalaman yang menakjubkan dan paling terbaik!

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI