Imbasan Kembara ~ Christchurch, New Zealand


Christchurch Islamic Community Centre - CICC

Pusat Komuniti Islam Christchurch, begitu sebati dengan kehidupan Encik Ishak Mahyudin salah seorang pengasas ketika penubuhannya. Di situlah bermulanya perjuangan Encik Ishak Mahyudin untuk mewujudkan satu pusat yang mampu menjadi wadah dan medan penyatuan muslim. Ilham yang ditumpahkan daripada semangat dan iltizam yang membara, berjaya direalisasikannya dengan kudrat dan tekad. CICC yang asalnya dahulu adalah sebuah gereja, kini bertukar wajah sebagai pusat kecemerlangan Islam di Christchurch.

Syiar Islam ditegakkan tidak mengira tempat dan masa, bahkan mereka yang berkorban ke jalan Allah dengan cara yang benar dan diredhai pastinya syurga sebagai ganjaran. Rahsia bagaimana beliau membeli gereja dan menjadikannya sebuah tempat tumpuan orang-orang Islam berkumpul sangat menarik dan menjadi contoh yang baik.

Semasa membeli gereja itu, beliau tidak menghadapi halangan atau tentangan daripada masyarakat setempat. Sungguhpun berdepan dengan cabaran awal untuk mendapatkan tempat yang sesuai dan bukanlah satu perkara yang mudah diusahakan di negara ini dan bukan pula satu halangan mandatori buat beliau dan rakan-rakannya. Hasil daripada pemerhatian terhadap perkembangan Islam di New Zealand, terutama di Christchurch beliau dengan bantuan beberapa orang rakan warga tempatan, hasrat bagi memiliki gereja itu akhirnya menjadi kenyataan.


Selepas tiga tahun berusaha mencari lokasi yang sesuai, sebuah gereja sederhana besar yang dibina pada tahun 1919 itu dan mereka jadikan sebuah balai Islam untuk mengembangkan syiar Islam serta kegunaan masyarakat Islam di sekitar Christchurch. Mengelak salah tanggap masyarakat sekeliling terutama penduduk setempat, beliau dan rakan-rakan sering mengadakan perbincangan dua hala dengan mereka termasuk ketua komuniti setempat dan juga anggota polis. Tujuannya adalah untuk memaklumkan mengenai agenda dan aktiviti-aktiviti dalam perancangan, di samping mengeratkan silaturrahim dengan penduduk setempat.

Idea membeli sebuah gereja untuk dijadikan pusat komuniti Islam itu akhirnya menjadi momentum asas bagi menghimpunkan umat Islam setempat. Hasil dididkan ayah dan ibu yang disuntik seawal usianya, Encik Ishak Mahyudin menjadikan ia sebagai panduan untuk sama-sama menegakkan syiar Islam dan bergemalah seruan Ilahi di muka bumi Christchurch. Rentetan daripada itu, Christchurch Islamic Community Centre atau CICC dilestarikan untuk menjadikan segala impiannya menjadi satu kenyataan.

Setelah berjaya mendapatkan bangunan gereja itu, apakah ada perubahan yang dilakukan pada struktur bangunan?

Encik Ishak Mahyudin berkata, “Tidak banyak perubahan dilakukan pada gereja itu, kami masih mengekalkan struktur asal, namun kondisi dalamannya diperbaharui untuk menyesuaikan dengan konsep Islam. Apa yang sangat menarik mengenai gereja itu adalah arah kiblatnya. Maha suci Allah, kerana gereja itu secara tidak sengaja ketika di dalam pembinaan dahulu sudah terarah kiblatnya ke Baitullah, walaupun tidak seratus peratus tepat,”


Setiap kejadian yang Allah jadikan ada hikmahnya. Bahan-bahan bacaan yang ada di CICC ini untuk kemudahan orang ramai, beliau mendapatkan bahan bacaan seperti Al-Quran, kitab-kitab dan buku rujukan agama bagi kemudahan masyarakat tempatan terdiri daripada rakyat Malaysia dan beberapa negara lain untuk kegunaan mereka menambahkan ilmu di samping mendirikan solat secara berjemaah bersama-sama.

Sangat tertarik dengan kewujudan pusat komuniti ini dapat menyumbang ke arah perpaduan ummah dan mengukuhkan silaturrahim sesama umat Islam. Kewujudan entiti turut menyumbang kepada perpaduan ummah dengan penganjuran pelbagai aktiviti bagi memastikan segalanya disertai komuniti Islam setempat. Selaras dengan tuntutan agama supaya pertalian sesama Islam terus diperkukuh, pusat komuniti itu turut mencerna minda dan rujukan rohaniah selepas seharian bertungkus lumus mengejar nikmat dunia.

Di CICC, ia bukan sekadar sebuah bangunan yang hanya menjadi medan perkumpulan untuk aktiviti berkenal-kenalan dan makan-makan, namun jauh daripada itu ia berfungsi sebagai hamparan mencipta ilmu dan tunjang pembinaan semangat Islamiah sejati. Encik Ishak Mahyudin juga dikenali sebagai seorang pendakwah di kalangan masyarakat Islam di Christchurch. Dia adalah tonggak utama dalam mengembangkan syiar Islam di bumi Maori.


CICC, lokasi pertemuan penduduk Islam setempat tanpa mengenal usia dan bangsa. Balai Islam ini menempatkan dewan solat, dewan makan dan dapur. Kawasan yang luas memudahkan lebih ramai komuniti Islam turut serta dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti kelas fardhu ain untuk kanak-kanak dan dewasa, kelas mengaji, solat fardhu dan solat sunat terawih, majlis kesyukuran, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, majlis perkahwinan dan sebagainya.

Di sini, pelbagai aktiviti mulia seperti khatam Al-Quran, sambutan Maulidul Rasul, majlis perkahwinan dan pengajian agama turut dijayakan untuk memenuhi matlamat CICC memprodukkan warga muslim yang istiqamah dan mapan peribadinya melalui muafakat dan kerjasama. Encik Ishak Mahyudin pastinya berbangga kerana menjadi perintis kepada CICC yang semakin mekar di bumi New Zealand. Apa yang pasti, usaha Encik Ishak Mahyudin bukan untuk dimegah-megahkan malah semuanya dilakukan hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah.


Kewujudan CICC dengan penganjuran pelbagai aktiviti berfaedah dan memenuhi tuntutan agama sangat penting untuk keseimbangan ukhuwah dan memperkukuhkan akidah. Bahkan, kehadirannya turut dirasai masyarakat asing khususnya bagi mereka yang ingin mendalami ajaran Islam. Selain menjadi tempat tumpuan untuk bertemu dan bertanya khabar lantaran kesibukan harian memenuhi tuntutan dunia, CICC turut berperanan bagi kemajuan Islam di Christchurch di mana majoritinya adalah beragama Kristian.

“Gereja ini pada asalnya sudah lama ditinggalkan kosong, maka ruang yang diberikan kepada kami menjadi mudah dan semuanya adalah ketentuan dari Allah juga,” jelas Encik Ishak Mahyudin.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI