Konsortium ABASS Sdn. Bhd


Bagaimana Air Dirawat

Air, sumber asli asas terulung sejak berabad lamanya dan sudah menjadi nadi di sebalik kepesatan negara sekali gus menjadi keutamaan di dalam kehidupan harian kita. Air, kita mandi dengan Air, kita mencuci dengan Air, Kita minum dengan Air, namun, tahukah kita siapa di belakang tabir yang merawat sumber Air ini?

Skim Bekalan Air Sungai Semenyih telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan mula beroperasi pada tahun 1986 bagi menampung permintaan air bersih di Lembah Kelang merangkumi kawasan Selangor Selatan dan Wilayah Persekutuan.

Kapasiti pengeluaran air bersih dari Skim Sungai Semenyih adalah sebanyak 545 juta liter sehari. Bagi memastikan pengurusan air yang lebih efisien, Kerajaan Negeri Selangor telah menswastakan Skim Sungai Semenyih kepada Konsortium ABASS Sdn Bhd melalui Perjanjian Penswastaan dan Konsesi bagi tempoh 30 tahun bermula dari 2 Januari 2001.

Empangan Semenyih

Empangan Semenyih adalah sumber tadahan air yang paling penting bagi menjana bekalan air yang mampu menampung permintaan pengguna. Keseluruhan komponen Skim Sungai Semenyih terdiri daripada:
Empangan Semenyih di Hulu Semenyih, Muka Sauk dan Stesen Pam Air Mentah di Jenderam Hilir, Loji Pembersihan Air di Presint 19, Putrajaya, Skim Pemindahan Air Tasik (WT1) di Jenderam; dan Skim Pemindahan Air Empangan (WT2) di Hulu Empangan Semenyih.

Empangan sepanjang 800 meter dan setinggi 49 meter ini mempunyai kapasiti penyimpanan air mentah sebanyak 61,400 juta liter. Empangan ini berfungsi sebagai ‘regulating dam’, di mana pelepasan air dari empangan dibuat secara terkawal ke Sungai Semenyih.


Stesen Pemantauan Sungai - RMS

Tiga stesen pemantauan sungai di lokasi strategik sepanjang Sungai Semenyih dapat memberikan maklumat mengenai tahap kualiti air mentah dari empangan sehingga ke muka sauk secara ‘on-line’.  Stesen pemantauan ini memberikan amaran awal mengenai sebarang pencemaran sungai, dan tindakan serta-merta akan diambil bagi mengelakkan sebarang pencemaran daripada memasuki sistem rawatan air.  


Muka Sauk - Jenderam Hilir

Air mentah yang mengalir dari Sungai Semenyih ini akan memasuki muka sauk dan seterusnya menjalani beberapa peringkat saringan sebelum disalurkan ke Loji Pembersihan Air di Putrajaya. Air mentah dipam melalui dua paip berkembar bergaris pusat 2 meter setiap satu sepanjang 6 kilometer ke Loji Pembersihan Air di Putrajaya. Kadar pengepaman air  dari Stesen Pam Air Mentah di Jenderam Hilir  adalah diantara 614 sehingga 680 juta liter sehari. Ketika musim kemarau, fasiliti Skim Pemindahan Air Tasik (WT1) akan beroperasi untuk mengurangkan pergantungan kepada pelepasan air dari empangan.

Keseluruhan Skim Sg. Semenyih sudah menjalani satu transformasi besar dan berubah wajah menjadi satu prasarana moden sebagai sebuah loji pembersihan air terbaik di rantau ini yang terletak di Persint 19, Putrajaya.

Loji Pembersihan Air, Persint 19, Putrajaya

Air mentah yang dipam dari muka sauk akan menjalani rawatan di Loji Pembersihan Air dan di awal proses rawatan ini, air mentah  akan memasuki dua kebok masuk. Pada peringkat ini, bahan kimia Alum akan didoskan sebagai agen tindakbalas proses pengentalan dan pengelompokan. Setelah bahan pejal mengental dan mengelompok, ianya akan menjadi berat dan mendak ke dasar tangki mendak. 


Bahagian permukaan air di sebelah atas yang jernih akan disalur memasuki tangki turasan untuk memerangkap baki kotoran. Air yang  telah dituras jernih akan didoskan dengan klorin bagi membasmi bakteria, dan sodium siliko fluoride bagi mencegah kerosakan gigi. Seterusnya, kapur akan didoskan bagi menstabilkan pH pada tahap antara 6.5 ke 9.0. Pada tahap ini, keseluruhan proses rawatan air telah lengkap sepenuhnya. 


Air yang telah dirawat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia untuk air minuman ini akan disalurkan ke Tangki Air Bersih dan seterusnya dipam ke Kolam Imbang.  Dari Kolam Imbang, air terawat ini akan diagihkan kepada pengguna melalui paip-paip agihan.

SCADA

Bilik kawalan operasi yang serba moden dilengkapi dengan sistem ‘Supervisory Control and Data Acquistion’ atau singkatannya SCADA, dapat memantau operasi keseluruhan Skim Sungai Semenyih secara langsung. Maklumat yang diterima dianalisa dan diuruskan menggunakan sistem ‘ABASS Information System’, atau dikenali sebagai AIS.



Makmal operasi dan makmal penyelidikan  di Loji Pembersihan Air Putrajaya ini sentiasa memastikan kawalan kualiti yang ketat dilaksanakan di setiap peringkat untuk menjamin kualiti air yang dihasilkan sentiasa menepati piawaian yang ditetapkan.

Loji Enapcemar

dewatering centrifuge

Proses rawatan air akan menghasilkan enapcemar. Konsortium ABASS sangat menitikberatkan aspek pemuliharaan alam sekitar dan fasiliti Loji Rawatan Enapcemar mekanikal adalah yang termoden dan terbesar di Malaysia bagi sesebuah loji pembersihan air. Enapcemar dari Loji Pembersihan Air akan disalurkan ke beberapa tangki pengumpulan.  Kemudian, ianya akan diproses menggunakan 6 unit peralatan  ‘dewatering centrifuge’ dengan jumlah keupayaan merawat sehingga 600 ton enapcemar sehari pada tahap minima 35 peratus kekeringan pepejal. Reka bentuk Loji Rawatan Enapcemar ini telah mendapat perhatian antarabangsa kerana keunikannya.

Klorin

Chlorine Scrubbe

Konsortium ABASS sangat menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan dengan memastikan kesemua fasiliti dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan serta mempraktikan amalan kerja yang sihat. Chlorine Scrubber dapat mengesan dan menangani sebarang kes kebocoran klorin. Fasiliti pengedosan bahan-bahan kimia dikendalikan dengan peralatan yang moden dan dikawal secara otomatik. Peraturan Keselamatan dan Kesihatan menjadi satu budaya kerja yang sentiasa diamalkan oleh semua kakitangan.


Konsortium ABASS juga mempunyai tenaga kepakaran dalaman untuk kerja-kerja penyelenggaraan di pelbagai bidang termasuk sivil, mekanikal dan elektrikal. Jadual kerja-kerja penyelenggaraan diurus secara sistematik menggunakan perisian ‘Sistem Pengurusan Aset’ bagi memastikan keseluruhan peralatan dan komponennya berada di dalam keadaan terbaik.

Konsortium ABASS, telah menempa satu kejayaan besar dalam pencapaian yang gemilang dengan menerima Pengiktirafan Sijil Kecemerlangan Malaysian Society for Occupational Safety & Health, Safety Excellent Management System (TNB), Institut Kimia Malaysia & Malaysia HR Awards, 10 sijil ISO & 2 pengiktirafan The Malaysia Book of Records). Komitmen daripada pihak pengurusan, dedikasi para pekerja dapat mengubah wawasan dan misi Konsortium ABASS.


Loji Pembersihan Air Sg Semenyih membekalkan air bersih kepada lebih sejuta penduduk di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Berpandukan visi dan misi korporat yang jitu bersertakan instrumentasi yang berteknologi tinggi, Konsortium ABASS akan sentiasa memastikan operasi Skim Sg Semenyih dapat membekalkan air berkualiti tinggi, sekali gus menjana pembangunan ekonomi negara.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI