Imbasan Kembara ~ Hobart, Tasmania


Mount Wellington


Ketinggian Mount Wellington pada kemuncak 1,270 meter (sekitar 4,000 kaki) itu menyediakan pengalaman yang sungguh menarik saujana mata memandang. Semuanya bergantung pada cuaca. Sekiranya bernasib baik, pengunjung dapat melihat panorama Hobart dari puncak Mount Wellington. Bayu dingin yang menyapa menambahkan lagi keseronokan dan terleka seketika. Dalam tempoh 20 minit, dan sejauh 21 kilometer dengan memandu kenderaan dari bandar Hobart pengunjung tiba dengan selesa di kemuncak Mount Wellington.


Sepanjang pendakian berkenderaan itu, pengunjung dapat melihat pemandangan di kiri kanan hutan hujan beriklim sederhana sub-alpine flora dan pembentukan batu glasier yang berakhir di panorama Hobart. Jalan yang tersedia itu telah dibina pada 1932 iaitu pada masa yang sama Sydney Harbour Bridge dibina. Di kemuncak itu juga, pengunjung dapat melihat keindahan dan pemandangan dramatik yang terbentang luas sambil memerhati jauh di hadapan terletaknya Bruny Island, South Arm, Semenanjung Tasman dan pemandangan sekitarnya.

Berjalan mendaki Mount Wellington, satu pengalaman yang menarik kerana udara bersih, lokasi yang unik, terdapat spesies haiwan yang meliar, kedamaian hutan hujan yang segar, dan menikmati pemandangan yang membawa pengunjung jauh daripada realiti. Pada hari yang cerah pandangan dari kemuncak itu memang tiada tandingan dan pengunjung dapat melihat satu pertiga daripada seluruh Tasmania.


Tiada yang lebih istimewa dalam menghayati keunikan tentang Tasmania dan wujudnya Mount Wellington. Ia penuh dengan flora dan keaslian sebenar Tasmania dan kehebatan fauna termasuk landak, burung rosellas, mengkarung, burung robins, burung kakak tua hitam, lada gunung, buah beri, pokok paku-pakis dan banyak lagi.

Pusat Informasi juga disediakan di situ bagi pengunjung mengenali lebih dekat tentang Mount Wellington serta panorama Hobart. Informasi dipaparkan melalui peta, gambar serta penerangan yang terperinci. Pusat Informasi itu juga tempat berlindung bagi pengunjung jika berlaku tiupan angin kencang ataupun hujan turun. Tersedia juga teropong sebagai alat pandang dekat yang dapat digunakan mengikut pilihan pengunjung. 

  
Di puncak Mount Wellington, terdapat platform tontonan secara terbuka buat pengunjung mengambil gambar atau memerhati pemandangan. Tidak ada bandar lain di Australia yang mempunyai platform dengan akses tersedia untuk semua Manakala di sebelah barat pula tempat letak kereta.

Mount Wellington sangat sesuai dengan semua tahap aktiviti kecergasan. Turut disediakan tempat barbeku dan kemudahan berkelah bagi mereka yang gemar bersantai serta beriadah bersama keluarga atau bersama rakan-rakan. Aktiviti gunung juga termasuk berbasikal di laluan denai bagi penggemar berbasikal untuk mendaki mahupun menuruni.


Di puncak Mount Wellington juga dikenali sebagai The Pinnacle, Mt Wellington. Lokasi ini hanya terdapat batu-batuan dan juga menara tele-komunikasi dan pemancar televisyen bagi selatan Tasmania. Menara ini juga sebagai mercu tanda bagi bandar raya Hobart. Semasa berkunjung di lokasi ini suhu dingin menyapa dan hujan renyai-renyai merintik lalu. Pada masa yang sama, hujan renyai yang merintik itu hadir bersama butir-butir kecil air batu. Sedikit pedih apabila terkena muka dan tangan. Butir-butir kecil air batu ini akan mencair segera sesudah itu tanpa sempat memegangnya di hujung jari.


Awan gelap berarak dan kawasan sekitar Mount Wellington dipenuhi kabus. Panorama Hobart pudar dan semakin kelam kerana terlindung kabus tebal. Fenomena ini jarang-jarang berlaku, namun pengalaman itu sangat menarik untuk dirasai dan dihayati. Bimbang berlaku apa-apa, pengunjung diminta segera masuk ke Pusat Informasi. Ketika itu juga, gerimis mencurah namun tidak melebat menjadi hujan. Tidak lama kemudian, gerimis yang turun itu kian berkurangan dan mereda perlahan-lahan.


Gunung itu mempunyai banyak mata air dan mencairkan salji di musim sejuk yang menyediakan kualiti air minuman yang banyak dan tinggi di Hobart. Dilihat dari pelbagai  sudut, gunung ini menyediakan latar belakang yang memberi inspirasi mempesonakan bagi setiap pengunjung yang datang.Nama Mount Wellington bagi Orang Asli adalah Unghbanyahletta atau Poorawetter. Pada Februari 1836, Charles Darwin mendaki sambil melakukan lawatan dan ekspedisi Beagle, ke Mount Wellington.


Sejak akhir ini, salji jarang berlaku pada musim sejuk. Barangkali faktor dan fenomena alam serta pemanasan global berlaku menyebabkan ketiadaan salji. Namun, suasana nyaman terungkap pada musim panas, menarik dan tenang pada musim bunga serta musim luruh, ia menawarkan pengalaman alam semula jadi yang indah sepanjang tahun.

Kunjungan anda ke Hobart, Tasmania tidak lengkap sekiranya tidak ke Mount Wellington kerana di situlah puncak dan nadi bandar raya Hobart. 

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI