EKSKLUSIF 2: BERSAMA AZZAM SHAM

KARNIVAL KARANGKRAF, SHAH ALAM


Bermula dengan pesanan ringkas SMS yang dihantar oleh Ibu Yusnita (Ibu Azzam Sham) pada 1 Februari 2013, jam 10:36 pagi dan saya tidak menyangka Ibu Yusnita menghantar SMS kepada saya bertanyakan sesuatu.

Di dalam SMS itu Ibu Yusnita menyatakan, “Assalamualaikum, apa khabar? Maaf mengganggu dan selamat Hari Wilayah... hi hi hi. Ibu hendak bertanya Karnival Karangkraf di Shah Alam tidak terlibatkah untuk jualan buku-buku sebab adik Azzam ada persembahan pada petang esok (2 Februari 2013) di sana.”

Saya pun terfikir seketika, selepas sahaja membaca SMS daripada Ibu Yusnita itu. Pertama saya terfikir apa kaitan kraf tangan dengan jualan buku? Kedua saya membayangkan, mungkin ada jualan buku di kraf tangan ataupun ada pameran yang dianjurkan oleh pihak Kraf Tangan Malaysia.

Saya tidak berpuas hati lalu membaca semula SMS yang dihantar Ibu Yusnita itu buat kali kedua. Setelah membacanya, saya tersilap dan menyangka Karangkraf itu Kraf Tangan Malaysia. Di situ saya tersalah tafsir. Setelah membaca berulang kali barulah saya faham apa yang dimaksudkan oleh Ibu Yusnita itu.

Lantas saya membalas SMS kepada Ibu Yusnita, “Waalaikumsalam Ibu, Wah! Cuti sakan ya... ha ha ha. Saya tidak terlibatlah Ibu, maklumlah penulis tersorok bukan tersohor... ha ha ha. Oh ya, untunglah adik Azzam buat persembahan di karnival itu. Shah Alam itu di mana lokasinya Ibu?”

Ibu Yusnita membalas SMS saya yang bertulis, “Ha ha ha... penulis tersohorlah. Ibu cuti serupa tidak cuti. Kerja rumah tetap dan mesti dibuat... hi hi hi. Tidak tahu, cubalah mencari di dalam internet Karangkraf itu di mana. Hari ini Ayah Sham hendak masak paprik.”   

Saya pula membalas SMS bertulis, “Ha ha ha... Ibu mesti cuti hari ini, duduk goyang kaki. Biar ayah yang buat kerja. Wah! Hebat ayah, pandai memasak paprik. Mesti terjah ini... ha ha ha.”      

Ibu Yusnita membalas SMS, “Ha ha ha... boleh terjah tetapi sekiranya Ibu tidak ada di rumah jangan marah ya. Ha ha ha...”
            
SMS terhenti di situ dan saya tidak memikirkan apa-apa selepas itu. Sehinggalah pada petang semasa hendak pergi minum saya terlintas kembali pada SMS Ibu Yusnita. Lalu saya hendak bertanya sesuatu dan terus SMS Ibu Yusnita.
          
Jam 6:03 petang SMS saya kepada Ibu Yusnita, “Ibu, persembahan adik Azzam di Karnival Karangkraf itu jam berapa ya?”
            
Ibu Yusnita membalas SMS dengan menyatakan, “Mesti ada di sana jam 2:00 petang. Persembahan adik Azzam dan The Beesings pada jam 3:00 petang. Esok, Ayah Sham tidak ada. Sekiranya Salleh tidak keberatan boleh atau tidak ambil adik Azzam dan hantar ke karnival sana? Ayah Sham kerja, kalau bolehlah. Kalau tidak boleh tidak mengapa.”
            
Selepas membaca SMS Ibu Yusnita itu saya termenung seketika. Di dalam fikiran saya sama ada mahu membantu Ibu Yusnita dan Ayah Sham menghantar adik Azzam Sham ataupun tidak. Memandangkan esok (2 Februari 2013) itu hari Sabtu dan tidak bekerja. Hampir setengah jam saya memikirkannya hendak keputusan sama ada mahu menghantar adik Azzam Sham atau tidak. 

Setelah selesai minum petang saya membuat keputusan, di dalam fikiran saya inilah peluang keemasan dapat bertemu dengan adik Azzam Sham dan bukan mudah dapat peluang seperti ini. Sebelum ini, bukan tidak pernah bertemu dengan adik Azzam Sham, namun pertemuan selalunya sangat singkat dan tidak puas disebabkan ramai peminat adik Azzam yang tertumpu kepadanya. Maka, hendak bersembang atau hendak bertanya lebih pun tidak berpeluang.
           
Lantas saya segera membalas SMS kepada Ibu Yusnita, “Malam nanti saya akan beritahu semula kepada Ibu sama ada jadi atau tidak.”
            
Ibu membalas SMS dengan menyatakan, “Ok, Jangan paksa diri ya. ha ha ha... Sekiranya tidak dapat tidak mengapa. Persembahan adik itu sekejap sahaja, hendak menunggu itu yang lama. Ibu tidak pergi sebab ayah tidak ada. Hi hi hi...”
           
Pada jam 8:11 malam saya menghantar SMS kepada Ibu Yusnita, “Ok Ibu, sebelah petang saya lapang. Saya datang rumah Ibu jam 1:00 – 1:30 petang. Mesti keluar awal sebab hendak mencari lokasi Karnival Karangkraf itu.”
            
Ibu Yusnita membalas SMS, “Ok, terima kasih banyak ya. Mesti cepat ya, ada di sana antara jam 2:00 – 6:00 petang sekali dengan sessi fotografi majalah Yezz!. Adik Azzam sudah tahu perkara ini.”
            
Saya kemudian membalas SMS, “Ok, saya datang awal lagi pada jam 12:30 petang. Ha ha ha...”
            
Ibu Yusnita menghantar SMS terakhirnya, “Ha ha ha.... jangan lupa bawa peta dunia, mungkin boleh sesat.”
            
Saya membalas SMS terakhir, “Ha ha ha... Sesat balik semulalah.”

*****
           

Pada malam itu, saya beritahu rakan sekerja saya Ismai Mat Saad dan memaklumkan kepada beliau sama ada mahu mengikut saya menghantar adik Azzam Sham ke Karnival Karangkraf atau tidak. Ismail memberitahu bahawa dia hendak mengikut saya dan dia begitu gembira sekali apabila hendak berjumpa dan menghantar adik Azzam Sham.

Sebelum ini Ismail pernah bertemu dengan adik Azzam Sham, buat kali pertama semasa penggambaran program masakan Enak Rasa Ramly bersama Chef Liza, di mana adik Azzam Sham sebagai tetamu jemputan di dalam program tv itu. Kali kedua Ismail bertemu dengan adik Azzam Sham semasa Kejohanan Bowling 2012 –  Azzam’s Big Family Fan Club.

Pada malam itu juga, saya membuka Google Earth untuk mencari lokasi Karnival Karangkraf yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor. Di situ saya dapat mengenal pasti di mana lokasi sebenar Karnival Karangkraf. Pernah juga sebelum ini saya pergi ke Syeksen 15, namun hendak memastikan lokasi sebenar maka saya membuat analisa.

*****

Pada 2 Februari 2013, seperti yang dijanjikan itu saya singgah terlebih dahulu di pejabat untuk mengambil Ismail pada jam 11.30 pagi. Semasa di pejabat itu, saya sempat twitter dengan adik Azzam Sham. Di dalam twitter itu saya beritahu pada adik Azzam Sham bahawa saya sedang dalam perjalanan ke Sungai Besi. Adik Azzam Sham retwitter kembali twitter saya.

Kemudian saya dan Ismail meneruskan perjalanan ke Sungai Besi untuk mengambil adik Azzam Sham. Pagi itu perjalanan kami ke Sungai Besi berjalan dengan lancar, tiada kesesakan lalu lintas. Jam 12.30, kenderaan saya tiba di parkir rumah adik Azzam Sham.

Tiba di rumah Azzam Sham, saya dan Ismail menunggu di luar. Kemudian saya SMS kepada Azzam Sham yang menyatakan saya sudah sampai dan ada di luar rumah. Azzam Sham tidak membalas SMS saya. Saya memberikan salam, namun tiada jawapan. Barangkali tidak kedengaraan salam saya dari luar. Lantas saya duduk di kerusi yang tersedia di luar rumah.

Seketika kemudian, Siti Manje (adik Azzam Sham yang ke-4) keluar dari dalam rumah dan Siti Manje menjemput kami masuk.

Saya beritahu Siti Manje, “Tidak mengapa, kami tunggu di luar sambil duduk ambil angin.”

Siti Manje kemudian masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian adik Azim Ramdan pula keluar dari dalam rumah. Saya, Ismail dan Adik Azim Ramdan bersalaman.

Sejurus selepas itu Ayah Sham pula keluar dari dalam rumah dan setelah bersalaman, Ayah Sham beritahu kepada saya, “Azzam tengah mandi, tunggu sebentar ya. Masuklah ke dalam rumah.”

Saya menyatakan kepada Ayah Sham, “Tidak mengapa Ayah, duduk di luar pun sudah cukup.”

Ayah Sham kemudian berkata, “Maaflah Salleh, terpaksa menghantar adik Azzam ke Shah Alam. Ayah ada kerja hari ini di Dataran Merdeka, walaupun hari ini cuti hari Sabtu.”

Saya bertanya, “Ada apa hari ini di Dataran Merdeka Ayah?”
Ayah menjawab, “Pesta Ponggal.”

Sejurus selepas itu, Ibu Yusnita pula keluar dari dalam rumah. Ibu tersenyum lalu berkata, “Awalnya Salleh sampai? Along tengah bersiap-siap.”

Jawab saya, “Bukankah dan berjanji kena datang awal. Lagipun nanti hendak mencari lokasi karnival itu. Mesti ada di sana jam 2:00 petang.”

Ibu Yusnita berkata lagi, “Masuklah, Ibu tengah masak. Ibu masak Rendang Ayam Pencen, lambat sikit empuk. Kalau sudah masak bolehlah makan tengah hari.”

Ayah Sham mencelah, “Mana sempat makan. Hendak tunggu ayam pencen itu masak lambatlah jawabnya.” 

Ibu Yusnita ketawa kecil. Kemudian Ibu masuk semula ke dalam rumah.

Saya tanya Ayah Sham, “Ayah pergi kerja jam berapa?”

Jawab Ayah Sham, “Ayah bertolak jam 2:00 petang, habis kerja mungkin malam. Itu pun tidak pasti jam berapa habis acara di Dataran Merdeka itu.”

Seketika kemudian, Azzam Sham keluar dari dalam rumah. Dia sudah siap memakai baju T-Shirt berwarna kelabu dan memakai seluar berwarna putih dan di tangannya memegang dua helai baju kemeja, satu kemeja kotak-kotak dan satu lagi kemeja berwarna hitam. Azzam Sham kemudian meletakkan baju kemejanya di atas kerusi bersebelahan saya duduk. Azzam Sham kemudian bersalaman dengan saya dan Ismail.

Azzam Sham berkata, “Abang, maaflah tunggu lama. Lepas itu hantar Azzam pula. Terima kasih banyak-banyak ya.”

Saya menyatakan, “Tidak mengapa, bukan selalu pun. Kebetulan hari ini abang free.”

Ayah Sham kemudian memberitahu Azzam Sham, “Jangan lupa beli top-up.”
Azzam Sham berkata, “Abang tunggu sebentar ya, Azzam hendak membeli top-up.”

Azzam Sham kemudian beredar pergi membeli top-up.
Muncul Azim Ramdan bertanya kepada Ayah Sham, “Ayah, Azim ikut pergi atau tidak?”

Jawab Ayah Sham, “Pagi tadi Ayah sudah beritahu, kalau hendak pergi ikut Along, pergilah boleh temankan Along. Abang Salleh dan Abang Ismail pun ada.”

Azim Ramdan hanya tersenyum lalu segera masuk ke dalam rumah.

Ayah Sham memberitahu saya, “Awal-awal lagi Ayah sudah beritahu dia. Tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Sepatah kita cakap, sepuluh peluru yang keluar. Bila sudah hendak pergi, kelam-kabut.”

Saya ketawa apabila Ayah Sham berkata demikian. Kemudian muncul adik Ayeen bersama adik Siti Manje.

Saya bertanya kepada adik Ayeen, “Adik Ayeen, sudah sihat ya. Tunjuk pada abang mana tangan yang terkena sengat kala jengking tempohari?”

Adik Ayeen pun menunjukkan tangannya yang terkena sengat anak kala jengking. Walaupun bekas terkena sengatan itu sudah hilang. Namun, adik Ayeen bersungguh-sungguh mahu menunjukkannya kepada saya.

Saya tanya lagi, “Sakit atau tidak kena sengat.”

Adik Ayeen mengangguk ya. Ayah Sham ketawa kecil melihat keletah anak bongsunya itu.

Tidak lama kemudian, Azzam Sham kembali dari membeli top-up dan dia juga membeli air mineral berserta minyak rambut.

Muncul Ibu Yusnita memberitahu saya, “Bila sampai di sana nanti, masuk ke dalam parkir dan beritahu pihak pengawal kesalamatan, kata kepadanya Azzam Idola Kecil ada persembahan di gerai Majalah Yezz!. Di sana nanti jumpa Mami Zubi, ibu Fimie Don dan dia tunggu di situ.”

Balas saya, “Ok, Azzam pernah pergi ke Karangkraf sebelum ini, bukan.”

Azzam Sham memberitahu kepada saya, “Pernah masa sessi fotografi majalah Fokus SPM. Insya-Allah Azzam ingat tempat itu.”

Azim Ramdan sudah bersiap siaga hendak pergi dan pada jam 1:15 petang, Setelah bersalaman saya, Ismail, Azzam Sham dan Azim Ramdan bergerak meninggalkan rumah Ayah Sham.

Tiba di parkir kereta, saya beritahu kepada Azzam Sham, “Maaflah Azzam, kereta buruk Ferrari Rossa abang ini air condnya kadang-kadang meragam. Kalau panas maaflah ya.”

Azzam Sham dengan selamba berkata, “Tidak mengapa bang, sudah biasa. Apa yang penting selamat sampai.”
Balas saya lagi, “Malulah, sebab abang bawa artis ini. Nanti tidak selesa pula.”

Azzam Sham hanya ketawa kecil, lalu dia dan Azim Ramdan masuk ke dalam kereta duduk di bahagian belakang.
 
*****


Sepanjang dalam perjalanan itu, saya, Ismail, Azzam Sham dan Azim Ramdan rancak berbual-bual mengenai pelbagai topik.

Azim Ramdan bertanya, “Abang tidak menulis novel lagikah?”

Saya beritahu, “Adik, tangan abang ada dua sahaja. Masih menulis lagi cuma tidak seaktif dahulu. Menulis sekiranya ada kelapangan sahaja. Insya-Allah 2013 abang akan menulis semula, namun bergantung pada keadaan.”

Azzam Sham bertanya, “Abang tidak menulis skrip filem atau dramakah?”

Saya beritahu, “Menulis skrip filem dan novel tidak sama, medium yang berbeza. Tetapi lebih mudah menulis skrip drama dan filem sekiranya dibandingkan menulis novel. Sebut menulis skrip, sebenarnya abang sedang dalam proses membuat proposal drama bersiri, cerita komedi. Tidak pasti sama ada menjadi atau tidak komidinya. Abang cuba sahaja, sudah lama tidak menulis skrip, bimbang juga skil yang ada tidak digunakan lama-lama tumpul begitu sahaja. Hendak tahu, siapa pelakon dalam proposal drama yang abang buat itu?”

Azzam Sham bertanya, “Siapa bang?”

Saya beritahu, “Azzam dan Azim pelakon yang abang cadangkan.”

Azzam Sham dan Azim Ramdan ketawa. Lalu Azzam Sham berkata, “Betulkah?”

Balas saya, “Betul, tetapi tidak tahulah kalau proudser terima atau tidak. 

Abang hanya mencadangkan sahaja. Insya-Allah, doa-doalah semoga ia menjadi kenyataan.”
            
Azzam Sham berkata, “Insya-Allah...”
            
Azzam Sham bertanya lagi, “Mengapa abang tidak menjadi director sahaja?”
            
Saya menjawab ringkas, “Siapalah abang... belum layak lagi, setakat director merapu itu bolehlah. Ha ha ha...”
            
Azim Ramdan bertanya, “Abang dahulu belajar di mana?”
            
Saya beritahu, “Abang belajar di Akedemi Filem Malaysia – FINAS, tiga tahun belajar di sana... Diploma Perfileman. Belajar berkenaan filem tetapi bekerja di dalam bidang broadcast, sebab sebelum ini abang pernah bekerja di TV3 selama 10 tahun. Tetapi,  Akademi Filem Malaysia sudah diserapkan ke ASWARA pada tahun 2005. Kalau Azzam hendak belajar di ASWARA, abang galakkan dan sangat bersetuju dengan pilihan Azzam itu. Di ASWARA banyak jurusan yang boleh dipilih di sana. Teater, drama, muzik, tarian, filem dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan bidang seni.”
            
Azzam Sham menyatakan, “Insya-Allah, memang harapan Azzam mahu belajar di ASWARA. Itu pun kalau dapatlah.”
            
Saya berkata, “Insya-Allah, abang doakan semoga cita-cita Azzam itu akan tercapai.”
           
Balas Azzam Sham, “Amin...”
            
Saya berkata, “Prof Raja Ahmad Alauddin pengarah drama ‘Atas Nama Cinta’ yang Azzam berlakon itu adalah salah seorang daripada pensyarah abang semasa di Akademi Filem Malaysia dahulu. Begitu juga dengan Tan Sri Jins Shamsuddin, Hassan Mutalib, Adman Salleh dan ramai lagi.”

Balas Azzam Sham, “Oh, begitu...”

Saya juga bercerita mengenai Tan Sri Jins Shamsuddin, filem Bukit Kepong, Allahyarham M. Rajoli dan cerita semasa membuat program My Australia Adventure di Australia.

Selepas perbualan saya itu, Azim Ramdan pula rancak berbual-bual dengan Ismail berkenaan IT dan gajet. Sesekali, Azzam Sham turut mencelah berkenaan topik yang diperkatakan itu.

Saya juga sempat bertanya kepada Azzam Sham, “Bagaimana penerimaan rakan-rakan sekolah, maksud saya ada atau tidak mereka yang tidak suka atau pandang semacam sahaja?”

Azzam Sham terdiam seketika, kemudian dia menjawab, “Setakat ini alhamdulillah, mereka sudah boleh terima Azzam seadanya. Tetapi, pada mula dahulu ramai juga yang pandang semacam dan tidak suka. Maklumlah Azzam terlibat dalam bidang seni. Lama-lama mereka boleh terima.”

Saya bertanya lagi, “Sekiranya ada yang tidak suka itu, apa Azzam buat?”

Jawab Azzam Sham, “Buat tidak tahu sahajalah. Buat bodoh...”

Saya ketawa dan saya bertanya lagi, “Bagaimana pula dengan penerimaan guru-guru di sekolah?”

Jawab Azzam Sham, “Setakat ini, guru-guru tidak mempunyai masalah. Mungkin mereka faham apa yang Azzam buat.”

Leka berbual-bual sehingga tersasar menuju ke Jalan kebun, Klang. Simpang yang sepatutnya menghala ke Shah Alam tidak kami lalui. Saya sudah cemas, memandangkan itu kesilapan saya semasa memandu. Saya berharap di hadapan jalan nanti ada simpang yang membolehkan kami membuat pusingan U. Alhamdulillah, kami dapat membuat pusingan U di satu simpang (saya tidak ingat nama tempat itu) Setelah berjaya, kami kembali menuju ke Bandar raya Shah Alam.

Saya berkata, “Ada sebab mengapa kita tersasar tadi. Tahu, mengapa?”

Azzam Sham bertanya, “Mengapa?”

Saya menjelaskan, “Dapatlah kita berbual-bual dengan lebih lama lagi. Tidak begitu?”

Azzam Sham ketawa.

Saya bertanya Azzam Sham, “Sekarang jam berapa?”

Azzam Sham memaklumkan, “Jam 2:15 petang bang...”

Saya bertanya lagi, “Rushing atau tidak kita ke karnival itu?”

Azzam Sham menyatakan, “Tidak bang, kalau ikut jadual persembahan The Beesings jam 3:00 petang. Hanya Azzam mesti ada di sana jam 2:00 petang sebelum membuat persembahan.”

Saya beritahu Azzam Sham, “Saya target kita sampai ke lokasi jam 2:30 petang.”

*****


Alhamdulillah, telahan saya tepat dan pada jam 2:30 petang kami tiba di lokasi Karnival Karangkraf dengan selamat. Pada masa yang sama, Azzam Sham menghubungi Mami Zubi (ibu Fimie Don) bertanyakan di mana lokasi gerai Mami Zubi menunggu. Setelah mengambil tempat parkir kereta, saya, Azzam Sham, Azim Ramdan dan Ismail bergegas ke gerai yang sudah dijanjikan.

Bertempat di gerai majalah Yezz!, Fimie Don dan Mami Zubi (ibu Fimie) sudah tiba awal dan menunggu di situ. Azzam Sham segera bertemu dengan Mami Zubi dan Fimie Don. Didi Astila dan Haqiem Rosli anggota The Beesings yang lain tidak kelihatan di situ. Saya sempat bersalaman dengan Mami Zubi dan Fimie Don.

Oleh kerana persembahan pertama The Beesings bermula jam 3:00 petang, Azzam Sham beritahu saya, “Abang Salleh, sekiranya abang mahu pusing-pusing dan jalan-jalan di gerai karnival ini, bolehlah. Azzam tunggu di sini, sementara menunggu Haqiem, Didi dan persembahan The Beesings bermula.”

Balas saya, “Baiklah, apa-apa nanti Azzam hubungi abang ya.”

Saya, Azim Ramdan dan Ismail, segera melawat gerai-gerai Karangkraf. Cuaca pada masa itu panas terik membakar kulit. Oleh sebab tidak tahan dengan cuaca panas, saya mengajak Azim Ramdan dan Ismail pergi ke gerai makanan. Memandangkan terlalu dahaga dan lapar, kami segera mencari makanan yang sesuai di situ.

Saya bertanya, “Azim hendak makan apa?”

Azim Ramdan berkata, “Abang hendak belanja Azim ya.”

Balas saya, “Sudah tentu, Azim pilihlah hendak makan apa? Perut pun sudah lapar ini.”

Azim berkata, “Tidak tahulah bang hendak makan apa?”

Saya menambah, “Betullah, tidak ada yang menarik.”


Setelah pusing-pusing mencari makanan yang sesuai, kami memilih makan kuew teaw goreng dengan minuman air kelapa.

Kemudian kami lepak sambil makan di bawah pokok yang sudah tersedia kerusi dan meja makan. Sambil makan kami berbual-bual lagi. Azim Ramdan dan Ismail masih lagi berbual-bual berkenaan IT dan gajet.

Pada persembahan pertama Azzam Sham dan The Beesings, saya, Ismail dan Azim Ramdan tidak berkesempatan menyaksikan persembahan mereka. Sebenarnya kami terlepas pandang dan terlupa disebabkan leka berbual-bual. Tidak lama kemudian, saya cuba menghubungi Azzam Sham, namun panggilan saya tidak berjawab.

Saya percaya, Azzam Sham dan The Beesings sedang mengadakan sesi fotografi untuk majalah Yezz!. Sebab itulah Azzam Sham tidak menjawab panggilan saya. Saya menunggu lagi, Azim Ramdan dan Ismail masih lagi rancak berbual-bual. Saya hanya mendengar sahaja perbualan mereka.

Terdengar juga Azim Ramdan berkata, “Ayah, marahkan Azim sebab semua komputer dan laptob di rumah rosak disebabkan Azim muat turun macam-macam game, software, install itu dan ini.”  

Bosan menunggu di situ, saya mengajak Azim Ramdan dan Ismail ke gerai di mana Azzam Sham dan The Beesings membuat persembahan. Namun, kami mendapati mereka tiada di gerai itu. Saya pasti mereka belum habis lagi sesi fotografi itu.

Kami buntu, mengelak kebosanan kami berjalan-jalan sehingga ke gerai jualan buku terbitan Karangkraf. Kami tidak berniat hendak masuk ke dalam gerai jualan buku itu. Kami hanya menunggu di pintu masuk, memandangkan di situ keadaannya redup dan berangin. Kami berdiri di situ lama juga. Tumit dan pinggang sudah terasa sakit, tetapi buat-buat tidak sakit. Saya cuba menghubungi Azzam Sham sekali lagi, namun panggilan saya tidak berjawab.

Azim Ramdan bertanya, “Dapat hubungi Abang Azzam?”

Saya beritahu, “Tidak. Mungkin Azzam belum habis lagi sesi fotografi itu.”

Azim Ramdan menongkat dagu pada besi pagar. Semasa sedang menunggu itu, saya terserempak dengan Khairul Amierul Akym salah seorang peminat Azzam yang datang ke Karnival Karangkraf masuk ke dalam gerai jualan buku. Saya yakin dan mengecam kenal serta ingat kembali wajah beliau bahawa yang lalu di  hadapan saya tadi adalah Khairul Amierul Akym. Beliau datang bersama rakannya. Namun, saya tidak menegurnya kerana bimbang tersalah orang. Khairul Amierul Akym juga memandang saya, namun beliau juga tidak menegur saya.

Telahan saya tepat sekali, pada malam itu Khairul Amierul Akym menghantar pesanan dalam Facebook saya. Beliau bertanya adakah saya bersama Azim Ramdan di pintu masuk gerai jualan buku pada petang di Karnival Karangkraf itu?

Saya menyatakan bahawa, memang benar orang yang menunggu di luar pintu masuk gerai jualan buku Karangkraf itu adalah saya dan Azim Ramdan. Melepas sudah!

Lama menunggu di situ, saya mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di gerai lain pula. Saya, Azim Ramdan dan Ismail singgah sebentar melawat di gerai Tentera Udara Di Raja Malaysia - TUDM. Azim Ramdan begitu teruja dengan pameran senapang dan peralatan ketenteraan di gerai itu.


Azim Ramdan berkata, “Abang, nanti ambil gambar Azim pegang senapang ya.”

Balas saya, “Ok, pilihlah senapang mana yang Azim hendak.”

Azim Ramdan pun memilih senapang yang dia berkenan. Saya mengambil beberapa keping gambar untuk Azim Ramdan. Pelbagai aksi yang dilakukan oleh Azim Ramdan semasa memegang senapang.

Azim Ramdan berkata, “Abang tidak mahu ambil gambar bersama senapang.”
Saya menyatakan, “Tidak mahulah, pantang kalau ambil gambar bersama senapang.”

Azim Ramdan bertanya, “Mengapa begitu pula?”

Jawab saya, “Abang bergurau sahaja.... tidak ada apa-apa pun.”

Azim Ramdan tersenyum-senyum.

Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan daripada Azzam Sham.
Dalam panggilan itu Azzam Sham berkata, “Maaf bang, sebab abang menunggu lama. Azzam ada sesi fotografi tadi. Sebab itu, Azzam off handphone.”

Balas saya, “Tidak mengapa, abang faham dan abang sudah mengagak Azzam ada sesi fotografi. Di mana sesi fotografi itu?

Azzam Sham beritahu, “Di dalam bangunan Karangkraf, di belakang gerai majalah Yezz! The Beesings ada persembahan yang kedua di gerai yang sama. Nanti abang tunggu di situ ya.”

Saya bertanya, “Jam berapa persembahan di situ ya?”

Azzam Sham menyatakan, “Lebih kurang jam 4:30 petang. Lepas habis persembahan kita baliklah.”

Saya berkata, “Ok, nanti kita jumpa di sana. Abang, Azim dan Abang Ismail di gerai TUDM ini. Azim tengah main senapang gajah!”
Balas Azzam Sham, “Oh ya, (sambil ketawa) Ok bang, kita jumpa di sana.”

Azzam Sham dan The Beesings membuat persembahan 5 lagu pada petang itu. Sebelum persembahan bermula, gerai di mana lokasi The Beesings membuat persembahan mula dipenuhi oleh pengunjung. Petang itu, pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Felda Soeharto, Kuala Kubu Baharu menunggu dan menyaksikan persembahan The Beesings.

Antara lagu yang dipersembahkan oleh The Beesings adalah lagu Luar Biasa, Pentas Dunia, Anak kampung, Teman Pengganti dan Lazy Songs. Perembahan yang menarik dan bersahaja The Beesings itu menjadi tumpuan pengunjung.

Link video persembahan The Beesings:

http://www.youtube.com/watch?v=C-3I9nKDLM0

http://www.youtube.com/watch?v=Dt7tZPVlCVQ

Selepas persembahan The Beesings itu, Azzam Sham, Fimie Don, Haqiem Rosli dan Didi Astila diserbu peminat-peminat mereka. Saya melihat Azzam Sham dan rakan The Beesings melayan peminat masing-masing dari sekolah Menengah Felda Soeharto. Mereka bergambar dan meminta tanda tangan. Ayah Fimie Don meminta peminat-peminat The Beesings beredar, kerana Azzam Sham, Fimie Don, Haqiem Rosli dan Didi Astila perlu berehat.


Mereka kemudian berkumpul di tepi gerai jualan berhampiran parkir kereta di mana saya, Ismail dan Azim Ramdan sedang menunggu. Saya lihat Azzam Sham berpeluh-peluh selepas dia melayan peminatnya. Baju yang dipakainya itu dibasahi peluh.

Saya berkata kepada Azzam Sham, “Seronok ya, kena serang dengan peminat sehingga berpeluh-peluh. Habis basah baju.”

Azzam Sham tergelak, lalu berkata, “Hendak buat macam mana bang. Panas gila!”

Saya menyatakan, “Tidak mengapa demi peminat.”

Azzam Sham tersenyum puas.

Selepas bersalaman dengan Fimie Don, Haqiem Rosli, Didi Astila saya, Ismail, Azzam Sham dan Azim Ramdan beredar pulang.

*****

Selesai sahaja persembahan, pada jam 5:30 petang kami beredar dari Karnival Karangkraf. Saya bercadang dan mengajak Azzam Sham dan Azim Ramdan minum dan berehat. Azzam Sham bersetuju dengan pelawaan saya, malah sebelum ini semasa hendak beredar dari karnival itu, Azzam Sham turut mengajak saya pergi minum dahulu sebelum balik ke rumah.

Setelah berputar-putar sekitar bandar raya Shah Alam bagi mencari restoran yang sesuai, akhirnya kami singgah dan lepak di Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang yang terletak tidak jauh dari Stadium Shah Alam.

Berada di restoran itu, saya minta Azzam Sham dan Azim Ramdan order makanan dan minuman. Pada mulanya Azzam Sham tidak mahu makan, dia sekadar mahu minum sahaja. Begitu juga Azim Ramdan menolak tidak mahu makan. Saya paksa mereka order juga, setelah melihat menu Azzam Sham memilih minuman air barli suam, Azim Ramdan pula memilih minum teh o ais limau, saya memilih teh o ais dan Ismail pula memilih air nescafe tarik.

Makanan Azim Ramdan memilih makan mee goreng, Azzam Sham tidak mahu makan dan hanya akan berkongsi makan bersama Azim Ramdan. Saya tidak makan sekadar makan otak-otak. Ismail juga memilih makan mee goreng. Pada petang itu, Azzam Sham turut makan otak-otak.

Sementara menunggu minuman dan dan makanan siap, saya terlihat tidak jauh dari meja kami ada budak perempuan berusia lebih kurang 12 - 14 tahun sedang minum dan makan bersama keluarganya. 

Kemudian saya mengusik Azzam Sham sambil mata saya memandang budak perempuan itu, “Adik datanglah sini, adik tidak kenalkah Azzam Sham dan Azim Ramdan artis popular minum di restoran ini. Boleh minta autograf.”

Azzam Sham dan Azim Ramdan mencari-cari budak perempuan itu. Saya ketawa kecil apabila melihat Azzam Sham dan Azim Ramdan tersipu-sipu.

Azzam Sham berkata, “Budak perempuan yang duduk di meja sebelah sana itukah bang?”

Jawab saya, “Ya, budak perempuan itulah.”

Azzam Sham lantas berkata, “Saya perasaan tadi, budak perempuan itu curi-curi pandang  pada Azzam.”

Saya menambah, “Mesti dia minat pada Azzam. Hi hi hi...”



Azzam menambah, “Entahlah bang, biasanya orang perempuan dia malu-malu hendak tegur. Serba salah kadang-kadang, kalau kita buat tidak tahu dan buat tidak nampak, mereka kata kita sombong. Kalau kita tegur atau senyum mereka kata kita perasan pula. Tidaklah sehingga tahap kita yang sua muka pada mereka.”

Saya beritahu, “Sudah dinamakan artis mestilah hadapi perkara seperti itu.”
Azzam Sham sekadar tersenyum sambil tangannya melayan Blackberry.

Sambil makan kami berbual-bual mengenai pelbagai topik yang berkaitan dengan kerjaya dan pengalaman Azzam Sham dan Azim Ramdan sepanjang mereka menempuh kehidupan sebagai anak seni. Kami juga berbincang mengenai Azzam’s Big Family, perkara masa kini dan akan datang.

Banyak perkara yang dibincangkan itu terlalu sensetif dan menyentuh individu-individu yang pernah mengenali Azzam Sham dan keluarganya. Maka, saya tidak dapat menulisnya di sini atas sebab-sebab tertentu.


Saya juga beritahu kepada Azzam Sham, “Ambil apa sahaja peluang yang datang, kerana peluang itu datang hanya sekali dan peluang itu adalah rezeki. Jangan terlalu demand, besar atau kecil bayaran yang diberi dan diterima itu adalah rezeki. Tidak kiralah watak kecil atau besar, ambil sahaja selagi mampu. Pelajaran itu penting, kerjaya itu juga penting, apa yang penting pengurusan diri biar selari antara kerjaya dan pelajaran. Ikut kemampuan, buat yang terbaik.”

Azzam Sham tersenyum lalu berkata, “Insya-Allah bang, Azzam beri keutamaan pada pelajaran dan kerjaya seni pun Azzam akan teruskan.”

Kemudian saya bertanya, “Sebelum masuk IK2, Azzam ada berlakon bukan? Sebab abang pernah lihat Azzam ada berlakon dalam PSA Kempen Kejiranan.”

Azzam Sham menjelaskan, “Ya betul, cerita ayam.”

Saya mencelah, “Bukan ayamlah, video Kempen Kejiranan yang dalam video itu Azzam kena  kejar angsa, naik basikal, beri jiran India dan Cina kuih. Sembelih ayam.”

Azzam kemudian berkata, “Betullah iklan yang itu. Tetapi sebelum itu Azzam ada juga berlakon iklan Dettol, watak kecil sahaja dalam itu. Basuh tangan lepas itu ada muka keluar sikit, sekejap sangat.”

Saya berkata lagi, “Wah! Rupanya sudah berlakon sejak kecil lagi ya.”

Azzam Sham menjelaskan lagi, “Sebenarnya dahulu Azzam hendak sangat keluar dalam TV. Jadi bila ada peluang berlakon, Ayah pun galakkan, dapatlah Azzam keluar tv.”

Azzam Sham ketawa kecil, lalu minum air barli suam.

Saya bertanya lagi, “Berapa ya bayaran pada masa itu?”

Jawab Azzam, “Murah sahaja, kalau tidak silap masa itu RM60. Ayah yang letak harga. Apa yang penting Azzam dapat masuk tv.”

Dia ketawa lagi.

Saya menyatakan, “Abang akan masukkan PSA Kempen Kejiranan itu dalam video bowling,”

Azzam Sham bertanya, “Video bowling itu sudah siap?”

Jawab saya, “Itu tanya abang Ismail, dia yang sunting video itu.”

Ismail lantas berkata, “Tinggal sedikit sahaja lagi, Insya-Allah tidak lama lagi siaplah.”

Azzam Sham berkata, “Terima kasih ya bang, susah-susah buat video untuk Azzam.”



Saya kata kepada Azzam Sham, “Tidak mengapa, abang buat video ini pun khas buat Azzam dan peminat Azzam. Hanya inilah cara untuk mendekatkan Azzam dengan peminat Azzam. Biar peminat Azzam tahu perkembangan Azzam bagaimana. Insya-Allah, abang ada perancangan lain mahu buat video yang lain pula. Mungkin kita boleh buat cover lagu, Azzam boleh nyanyi apa-apa lagu yang  Azzam suka dan kita buat video klip. Lagipun Azzam belum ada single yang baru. Kalau hendak tunggu keluar di tv dan drama, memang susahlah. Sangat terhad, jadi medium yang hampir adalah Youtube, kita gunakan teknologi yang ada. Supaya Azzam sentiasa ada dalam industri dan tidak berlaku sekejap tenggelam sekejap timbul.”

Azzam menyatakan, “Betul juga, baguslah cadangan abang itu.”

Balas saya, “Itu pun kalau Azzam sudilah...”

Azzam ketawa lagi lalu berkata, “Insya-Allah bang, ada ruang dan masa kita akan buat.”

Saya beritahu lagi, “Bukan setakat video klip, kita boleh buat sketsa, video merapu dan macam-macam lagi.”

Balas Azzam Sham, “Menarik sangat...”  

Saya berkata kepada Azzam, “Seandainya ada SMS daripada penonton semasa IK2 dahulu, sudah tentu Azzam akan menang.”

Azzam Sham tersenyum apabila mendengar saya berkata begitu, lantas Azzam Sham menyatakan, “Apa yang Azzam dapat tahu, markah keputusan pada masa itu antara Azzam dengan Dayana tidak jauh beza, hanya membezakan dua markah sahaja. Pada masa itu, pihak juri terpaksa berbincang sekali lagi bagi menentukan siapakah juara IK2 dan keputusan pada malam itu, jatuh ke tangan Dayana.”

Saya turut memberi pesanan kepada Azzam Sham, “Kalau boleh Azzam buatlah update status di dalam FB Azzam’s Big Family, sekurang-kurangnya seminggu sekali. Bukan apa, untuk peminat Azzam.”

Azzam beritahu saya, “Insya-Allah bang, kalau ada kesempatan Azzam akan buat, tetapi bergantung pada internet.”

Perbualan kami terhenti di situ kerana Azzam Sham menerima mesej. Azzam Sham melayan SMS yang diterimanya. Terlihat dia tersenyum-senyum apabila membaca SMS.

Saya bertanya, “Saya tahu, ibu yang SMS, bukan.”

Azzam beritahu, “Betul, ibu cakap... balik cepat, kasihan Tok Salleh itu. Penat dia lepak lama-lama di restoran.”

Saya beritahu Azzam, “Ibu itu takutlah kalau anak dia kena culik. Cakap pada ibu, kami tidak puas lagi bersembang. Ibu jangan risaulah, tengah seronok bersembang dengan artis ini.”

Azzam ketawa lagi. Azzam kemudian membalas mesej kepada Ibu Yusnita. Pada masa yang sama Azim Ramdan baru selesai makan mee goreng.

Selesai membalas SMS, Azzam Sham berkata, “Akhir bulan 2 nanti Azzam akan shooting drama sitkom 13 episod untuk RTM. Sekarang ini masih lagi dalam latihan sebelum shooting.”

Saya bertanya, “Apa tajuk drama itu dan di mana lokasi penggambarannya?”

Jawab Azzam, “Sitkom itu tajuknya ‘Kelas Sebelah’ dan penggambaran akan dijalankan di Studio RTM Seremban.”

Saya tanya lagi, “RTM1 atau RTM2?”

Jawab Azzam Sham, “Tidak pastilah bang...”

Balas saya, “Mungkin RTM1.”

Azzam Sham menyatakan, “Mungkin juga... Kemungkinan besar Azim akan berlakon juga.”

Saya menambah, “Wah! Bagus itu. Hebat!”

Azim Ramdan tersenyum sambil minum air teh o ais limau.
(Semasa menulis entry ini, saya diberitahu bahawa Azim tidak berlakon dalam sitkom ‘Kelas Sebelah’. Tidak diketahui atas sebab apa Azim Ramdan tidak berlakon dalam drama sitkom itu)

*****

Tidak cukup di restoran, perbualan kami berterusan di dalam kereta menuju ke Sungai Besi. 

Dalam kereta Azzam Sham beritahu kepada saya, “Malam ini abang makan di rumah Azzam ya, Ibu pesan. Ibu masak rendang ayam pencen. Sedap ibu masak. Abang mesti rasa. Kalau hendak mandi pun boleh.”

Saya berkata, “Terima kasihlah pelawa kami makan. Abang sudah mandilah tadi.”

Azzam Sham bertanya, “Bila masa abang mandi?”

Jawab saya, “Tadi, semasa Azzam buat persembahan.”

Balas Azzam Sham, “Bukankah masa itu abang tengah shoot video,”

Saya beritahu, “Ya, abang mandi peluh!”

Azzam Sham tergelak besar.

Kemudian Ismail berkata, “Best, persembahan Azzam dan The Beesings tadi.”

Azzam Sham menyatakan, “Biasa sahaja...”

Balas Ismail, “Tetapi semasa nyanyi lagu Teman Pengganti itu, Haqiem nyanyi ok, tapi kalau Azzam yang menyanyi lagi best.”

Azzam Sham ketawa lagi, kemudian dia berkata, “Haqiem pun ok juga, Azzam back up sahaja masa itu. Azzam dan Azim sudah berlatih lagu itu, Azzam simpan dahulu...”

Sepanjang perjalanan itu, Azzam Sham, Azim Ramdan dan Ismail berbual-bual berkenaan topik IT, gajet, macam mana mahu mencipta virus, hacking, white hat dan black hat, softwere dan pelbagai lagi. Saya hanya pendengar yang setia sahaja. Saya kurang arif perkara-perkara berkaitan dengan IT dan gajet.

*****

Jam 9:00 malam, kami tiba rumah Azzam Sham, semasa mencari parkir  Azzam Sham menjemput saya ke rumahnya.

Azzam Sham berkata, “Abang singgah dahulu, rehat-rehat, mandi dan kita makan malam ya.”

Saya dan Ismail berbincang seketika. Kemudian saya menyatakan, “Baiklah, kita singgah sekejap. Boleh sambung lagi sembang-sembang. Ha ha ha...”

Seketika kemudian, saya dan Ismail berada di rumah Azzam Sham. Saya duduk dan berehat di luar rumah sahaja.

Azzam Sham berada di depan pintu rumah, “Assalamualaikum, Ibu.... kami sudah balik. Abang Salleh dan Abang Ismail datang...”

Sebelum Azzam Sham dan Azim Ramdan masuk ke dalam rumah, “Masuklah bang...”

Saya beritahu, “Tidak mengapa Along, abang duduk dan rehat di luar sahaja sambil itu boleh ambil angin di luar ini.”

Azzam menyatakan, “Abang tunggu sebentar ya, Azzam mandi dahulu.”

Balas saya, “Ok.”

Ibu Yusnita menjengah di pintu utama dan bertanya, “Seronok?”

Jawab saya, “Sangat seronok dan terlebih seronok ibu.”

Saya tergelak.

Kemudian Ibu Yusnita berkata lagi, “Terima kasih ya, tolong hantar adik ke Shah Alam tadi. Menyusahkan Salleh sahaja.”

Saya menyatakan, “Tidak mengapa ibu, bukan selalu pun. Kebetulan saya free....”

Ibu Yusnita berkata, “Masuklah, Ibu sudah sediakan rendang ayam pencen. Makan sekali dengan adik.”

Balas saya, “Baiklah, nanti saya makan.”

Ibu Yusnita masuk ke dalam rumah.

Kemudian Azim keluar dari dalam rumah sambil membawa iPad kepunyaan Ibu Yusnita. Azim Ramdan duduk di sisi saya dan dia meminta Bluetooth gambar-gambar yang saya ambil untuknya. Lebih kurang 8 keping gambar semasa Azim Ramdan memegang senapang di gerai TUDM dalam lawatan singkat di situ. Azim Ramdan memang teruja dengan senapang dan dia sangat suka dengan gambar-gambar itu.

Selesai Bluetooth, Azim Ramdan berkata, “Menariklah gambar-gambar ini. Azim mahu upload dalam Instargram.”

Balas saya, “Oh, sudah ada Instargram.”

Azim Ramdan menjelaskan, “Ya bang, baru sahaja semalam daftar. Baru hendak mencuba. Sekarang ini pun tengah belajar-belajar hendak menggunakanya.”


Azim Ramdan leka dengan gambar-gambar yang mahu dimuatnaik ke dalam Instragram. Sedang asyik memerhatikan Azim Ramdan memuatnaik gambarnya, muncul Azzam Sham dengan memakai tuala mandi membawa dua gelas air minuman untuk saya dan Ismail. Azzam Sham meletakkan minuman itu di atas meja.

Azzam Sham berkata, “Jemput minum bang.”

Saya berkata, “Terima kasih Along, susah-susah sahaja....”

Balas Azzam Sham, “Tidak mengapa bang, abang dahaga. Abang tunggu sebentar ya, Azzam hendak mandi dahulu.”

Azzam Sham masuk ke dalam rumah, keluar pula Siti Manje membawa sepinggan jagung rebus.

Saya berkata kepada adik Siti Manje, “Wah ada jagung, terima kasih ya adik Siti...”

Adik Siti manje tidak berkata apa-apa, sekadar melemparkan senyuman manjanya.

Setelah adik Siti Manje masuk ke dalam rumah, saya pun mengambil air minuman dan memakan setongkol jagung.

Dalam nurani saya berkata, “Bagusnya anak-anak Ayah Sham dan Ibu Yusnita ini. Sangat baik dan santun orangnya. Pandai melayan tetamu.”

Saya terkesima di situ. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati keluarga ini. Amin.

Azim Ramdan dan Ismail masih lagi berbual-bual perihal IT dan gajet. Saya hanya melayan jagung dan sekali-skala sahaja menyampuk perbualan mereka. Pada masa yang sama, Intan tiba di rumah.

Saya bertanya, “Intan dari mana?”

Jawab Intan ringkas, “Dari kedai bang....”

Ibu Yusnita mempersudikan saya dan Ismail masuk ke dalam rumah buat kali kedua untuk makan malam sajian rendang ayam pencen. Oleh sebab sudah dua kali Ibu Yusnita mempelawa saya masuk, lalu saya pun akur. Pada masa yang sama, adik-adik Azzam Sham bersama Ibu Yusnita sedang menonton drama lakonan Azim Ramdan di Saluran Astro Prima.

Fizikal Azim Ramdan dalam drama itu kelihatan berisi jika dibandingkan fizikal dia sekarang ini. Drama ulangan itu, langsung Azim Ramdan tidak memperdulikan atau menontonnya dan dia asyik dengan iPad dan Instargram.

Azzam Sham keluar dari dalam biliknya dengan memakai baju T-Shirt berwarna biru dan berkain sarung pelekat.

Azzam Sham berkata, “Abang, marilah kita makan rendang ayam pencen ini.”

Balas saya, “Memang hendak makan pun. Jom kita makan sama-sama. Ada juga makan.”

Saya, Azzam Sham dan Ismail pun mengambil nasi dan rendang ayam pencen yang sudah tersedia di atas meja.

Sambil mengambil rendang ayam pencen, saya berkata, “Azim marilah makan bersama.”

Balas Azim Ramdan yang asyik dengan iPad, “Abang makan dahulu ya, nanti Azim makan.”

Saya berkata lagi, “Ibu, makanlah sekali. Buatlah macam rumah sendiri.”

Ibu Yusnita tergelak terkekeh-kekeh dan kemudian berkata, “Salleh makanlah, ibu sudah makan dengan anak-anak tadi. Ibu minta maaf ya, kalau rendang ayam itu liat. Maklumlah ayam pencen.”

Balas saya, “Liat pun liatlah, janji boleh dimakan.”

Ibu Yusnita tergelak.

Azzam Sham mengambil kicap lalu menuang kicap itu ke dalam pinggannya. Saya melihat perbuatan Azzam Sham itu sangat pelik.

Saya berkata kepada Azzam Sham, “Makan rendang ayam dengan kicap! Tidak pernah dibuat orang. Pertama kali ini abang melihatnya.”

Azzam Sham dengan selamba menyatakan, “Makan rendang ayam dengan kicap memang sedap bang. Ini special, Azzam suka kalau letak kicap bila makan rendang ayam.”

Balas saya, “Oh, macam itu.”

Kemudian kami makan bersila bersama-sama sambil melayan drama lakonan Azim Ramdan. Tidak lama kemudian, Azzam Sham menambah nasi buat kali kedua. Nampak begitu berselera Azzam Sham makan.

Azzam Sham, “Abang tambah lagi.”

Balas saya, “Cukuplah, abang sudah kenyang.”

Selesai makan, saya dan Azzam Sham duduk sambil  menonton program lain pula di saluran RTM2. Saya tidak ingat judul program yang sedang ditayangkan itu. Sambil menonton saya berbual-bual dengan Azzam Sham dan Ibu Yusnita.

Saya teringat pesanan kirim salam yang disampaikan oleh peminat Azzam Sham dari Sarawak iaitu Cikgu Syahrull Salamon atau Abang Aiman.

Saya beritahu kepada Azzam Sham, “Along, Cikgu Syahrull Salamon dari Kuching Sarawak kirim salam.”

Balas Azzam Sham, “Waalaikumsalam, cikgu Syahrull? Siapa ya, Azzam tidak berapa ingatlah.”

Saya beritahu, “Dia pernah datang ke Kuala Lumpur, ingat tidak dia belanja makan Along dan famili di KFC.”

Ibu Yusnita mencelah, “Abang Aiman, ya dia pernah datang dahulu dan jumpa Along makan KFC. Abang Aiman dan Cikgu Syahrull itu orang yang sama. Dia kadang-kadang ada sms ibu.”

Azzam Sham teringat sesuatu, “Oh, Abang Aiman... ok ingat-ingat.” 
Adik Azry pula, ke hulu ke hilir memegang setongkol jagung. Saya bertanya kepada adik Azry, “Adik azry, macam mana hendak makan jagung, sedangkan adik gigi pun tidak ada?”

Adik Azry dengan selamba comelnya berkata, “Boleh makan.”

Balas saya, “Bagus, makanlah jagung itu.”

Adik Azry pun bersungguh-sungguh menggigit jagung yang ada pada tangannya. Saya tersenyum-senyum melihat gelagat adik Azry menggigit jagung.

Akhirnya adik Azry dapat menghabiskan setongkol jagung. Adik Azry berkata, "Sudah habis Azry makan jagung, tinggal tengkorak sahaja." (tengkorak yang dimaksudkan adalah tongkol jagung). Saya tergelak dengan kelucuan adik Azry ini.

*****

Lepak di luar rumah, saya membuat panggilan kejutan OTP – On The Phone untuk bakal peguam Faizuddin Hashim iaitu peminat Azzam Sham dari UiTM Merbok. Ini buat kali kedua Faizuddin terkena panggilan hangit.

Sebelum itu, saya kepada beritahu Azzam Sham bahawa saya mahu buat kejutan untuk Faizuddin. Azzam Sham dengan senang hati bersetuju. Saya pun terus mendail nombor telefon Faizuddin.

Panggilan saya dijawab, “Assalamualaikum, sebentar ya ada orang mahu bercakap dengan Faizuddin.”

Saya serahkan telefon bimbit saya kepada Azzam Sham dan mereka berdua memulakan perbualan. Saya buka loud speaker supaya kami dapat mendengar perbualan OTP itu. Faizuddin terkejut besar dan tidak menyangka Azzam Sham dalam talian. Saya hanya tersenyum mendengar perbualan mereka. Perbualan mereka berlangsung seputar 8 minit. Faizuddin kemudian mahu bercakap dengan Azim Ramdan. Mereka berdua berbual-bual lagi.

Sejurus selepas itu, saya bertanya kepada Azzam, "Azzam dan Famili memang tinggal di kuaters dari awal lagikah?"

Azzam Sham beritahu saya, "Di kuaters ini tidaklah lama, tetapi sebelum ini kami pernah tinggal di Pulapol dan sebelum itu Azzam dijaga oleh Atuk Yusuf lebih kurang setahun dua gitulah. Masa itu, ibu kerja, ayah kerja. Jadi tidak ada sapa yang jaga Azzam. Maka Azzam dijaga oleh atuk dan nenek. Sebab itu muka Azzam ada iras-iras muka Atuk Yusuf."

Saya berkata, "Owh, kasihannya. Kecil-kecil sudah ditinggalkan. Masa itu ibu kerja di mana?"

Jawab Azzam, "Ibu bekerja di Kraftangan Malaysia."

Pada malam itu, sesi sembang dan lepak bersama Azzam Sham dan Azim Ramdan berterusan sehingga jam 11:00 malam. Perbualan lebih tertumpu pada IT dan gajet sehingga Ayah Sham balik kerja. Ayah Sham kelihatan penat ketika itu, namun mahu bersama berbual-bual dengan saya dan Ismail.

Ayah Sham bertanya, “Salleh dan Ismail sudah makan?”

Jawab saya, “Sudah ayah, terima kasih ya. Kenyang sehingga esok ini.”

Ayah Sham ketawa.

Azim Ramdan kemudian menunjukkan gambar-gambar dia memegang senapang kepada Ayah Sham. Pada masa yang sama, Ayah Sham juga menceritakan pengalaman beliau semasa dalam latihan polis dahulu. Sekali-sekala Ayah Sham buat lawak dengan cerita-cerita lucu, malah menceritakan juga berkenaan cerita seram.

11:45 malam, saya meminta izin daripada Ayah Sham untuk mengundur diri. Kami bersalaman dan dengan Ayah Sham, Azzam Sham dan Azim Ramdan.

Ayah Sham berkata, “Terima kasih banyak Salleh kerana sudi membantu ayah dan menghantar Azzam ke Karnival Karangkraf tadi.”

Balas saya, “Sama-sama. Hari ini memang seronok. Realese tension dapat bersama-sama dengan Azzam dan Azim.”

Kemudian Azzam Sham berkata, “Terima kasih banyak... abang banyak tolong Azzam, hantar Azzam dan tunggu Azzam tadi lama sangat. Belanja Azzam makan.... semoga Allah sahaja yang membalasnya.”

Balas saya, “Sama-sama, tidak mengapa. Apa yang penting hari ini adalah hari yang paling menyeronokkan, sebab dapat bersama dengan artis. Ha ha ha...”

Ayah Sham dan Azzam Sham ketawa.

Kami memeluk erat sebagai tanda perpisahan untuk sementara.

“Assalamualaikum, jumpa lagi...” saya dan Ismail berlalu pergi.

Pertemuan yang sangat eksklusif ini tidak akan saya lupakan sehingga bila-bila. Kenangan yang terindah ini akan terpahat di dalam ingatan saya buat selama-lamanya.

Comments

Anonymous said…
nama saya diseru kat sini...hahaha...terima kasih abg salleh... :)
Salleh de Ran said…
Ha ha sama-sama...
Retis mestilah diseru... ha ha... maaflah kerana ditulis... sebab cerita ini ada kaitan dengan Faiz...

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI