MENGAPA SAYA MENULIS KISAH TRUGANINI – WANITA ABORIGINE TERAKHIR?


Pada mulanya saya tidak tahu siapakah manusia yang bernama Truganini, sehingga saya berminat untuk menjadikan kisahnya dan diangkat ke dalam novel sejarah. Truganini – Wanita Aborigine Terakhir adalah novel  sejarah ke-5 yang saya tulis. Sebelum ini saya sudah menghasilkan novel Landasan Maut, Perang Kelang, Hiroshima – Duka Sebuah Perang dan Panggung Malaya.

Truganini adalah seorang wanita orang asli (Aborigine) yang dilahirkan di Bruny Island, Tasmania, Australia. Beliau juga wanita terakhir berdarah penuh orang asli semasa zaman penjajahan Inggeris di Australia. Saya mengangkat cerita ini bukan kerana mahu mengagung-agungkan tokoh ini, namun saya mengambil pendirian bahawa banyak kisah yang terjadi dalam sejarah tokoh ini dapat memberikan pengajaran atau iktibar mahupun peringatan kepada kita, kerana sejarah mungkin berulang....


Saya terpanggil untuk menulis kisah tokoh ini bermula semasa saya menulis novel travelog siri ke 2: Kembara Bumi Aborigine – Tasmania. Sedang mencari bahan tambahan untuk bab Bruny Island Neck di dalam novel travelog itu, saya terbaca tentang kisah Truganini. Sebelum itu, pada tahun 2005 saya pernah ke Tasmania atas tugasan membuat penggambaran program TV My Australia Adventure.


Sebahagian daripada lokasi yang saya pergi di Tasmania seperti Hobart, Launceston, Bruny Island, Adventure Bay, Bruny Island Neck, Cradle Mountain, Darwent River dan Mount Wellington, semua itu ada kaitan dengan sejarah Truganini. Bruny Island adalah tempat kelahirannya, Hobart pula tempat terakhir dia menghembuskan nafasnya dan Bruny Island Neck adalah tempat di mana memorial tugu peringatannya dibina.


Menariknya, tidak jauh daripada lokasi penggambaran terletaknya memorial itu. Saya tidak tahu pun di situ adanya memorial Truganini. Semasa di Tasmania dahulu saya tidak tahu dan tidak diberitahu siapakah Truganini itu. Namun, setelah menulis novel travelog, saya terjumpa dan baru mengenali tokoh wanita orang asli ini melalui kajian dan pembacaan.


Lalu saya membuat keputusan untuk menulis kisah tokoh ini kerana ianya sarat dengan krisis, konflik, tragedi, kekejaman, penindasan serta penipuan penjajah yang hampir melenyapkan orang asli Tasmania. Walaupun berada di Tasmania selama 5 hari, namun sekurang-kurangnya saya sudah berada di situ dan merasai sendiri suasana kehidupan di sana, alam semulajadi, hutan belukar, laut, pantai, bandar-bandar, kawasan luar bandar, makanan, budaya setempat dan pelbagai lagi.



Pengalaman itu, memudahkan lagi untuk saya menulis dan sedikit sebanyak memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku pada zaman penjajahan dahulu. Semoga novel sejarah ini memberikan manfaat kepada kita semua - Salleh de Ran

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI