Imbasan Kembara ~ Hobart, Tasmania Australia

SALAMANCA PLACE, HOBART CITY, TASMANIA


Kunjungan anda ke Horbat City, Tasmania tidak lengkap sekiranya tidak ke satu lokasi yang menarik iaitu di Salamanca Place. Lokasi ini terdiri daripada barisan bangunan batu pasir yang dahulunya adalah gudang pelabuhan Bandar Hobart dan kemudiannya telah ditukar kepada restoran, galeri, kedai kraf dan juga pejabat. Ia dinamakan Salamanca selepas kemenangan pada tahun 1812 Duke of Wellington dalam Pertempuran Salamanca di wilayah Sepanyol.


Pada awalnya lokasi ini dipanggil The Cottage Green. Setiap hari Sabtu, Salamanca Place adalah tapak untuk Pasar Salamanca yang begitu popular di kalangan pelancong luar dan penduduk tempatan. Salamanca Place juga popular selepas waktu malam menjengah. Ini kerana penduduk tempatan dan juga pengunjung luar menikmati bar dan restoran-restoran yang terletak di sana malah dilengkapi dengan dermaga yang letaknya sangat berdekatan. 

Pada pertengahan tahun 1990-an, Salamanca Square dibina sebagai dataran awam yang terlindung. Di kelilingi pula dengan pelbagai kedai-kedai, kafe, dan juga restoran. Didirikan juga pancuran mata air di tengah-tengahnya dan mempunyai halaman dalam persekitaran yang tenang serta selamat di mana kanak-kanak dapat bermain bersama-sama dengan ahli keluarga mereka. Terdapat juga tempat meletak kereta bersebelahan sebuah kompleks pangsapuri yang besar.


Dahulunya, Salamanca Place dibina semasa ledakan industri penangkapan ikan paus yang berkembang maju pada awal dan pertengahan abad ke 19. Kini, semuanya sudah berubah dan peluang menikmati pemandangan yang indah, bunyi-bunyian, rasa ketenangan dan warna-warni pasar di hujung minggu yang terbaik di Tasmania, Australia dan menjadi kebanggaan kepada warga Hobart. 

Salamanca Place ini dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Hobart dan dibuka pada setiap hari Sabtu jam 8:30 pagi hingga jam 3:00 petang. Salamanca semakin hidup dengan adanya Pasar Salamanca. Lebih 300 gerai menjual hasilan segar, barang-barang seni, kerajinan dan kraf buatan dari seluruh Tasmania. Ini antara sebab dan menjadi tarikan utama di Tasmania, suasana itu membuatkan anda mahu tinggal di Hobart lebih daripada beberapa hari.


Terletak di kawasan gudang bersejarah, pasar yang terkenal di Hobart ini menjadi daya penarik beribu-ribu penduduk tempatan dan juga pelawat asing setiap tahun. Mereka datang untuk menikmati makanan, muzik, buah-buahan segar, sayur-sayuran organik yang segar, makanan yang dibakar hangat sambil menghirup kopi dengan aroma yang hangat. Begitu juga persembahan pencinta seni seperti buskers yang menyanyi lagu-lagu blues, mengusap kecapi atau memetik gitar sambil menggunakan pelbagai alat muzik lain lantas mereka menyanyikan lagu rakyat yang meriah dan harmoni sekali.


Kebanyakan mereka yang datang untuk bersarapan pagi, menjamah telur dan jus oren di bistro Salamanca, kemudian bersiar-siar di sepanjang beratus gerai-gerai. Dapat dilihat ragam pembeli dan penjual saling tawar-menawar. Ada yang hanya sekadar melihat-melihat sambil mencuci mata. 

Pasar Salamanca juga terletaknya seni halus dan kraf tangan warga Tasmania seperti seni kerja kaca, reka bentuk inovatif dalam seni kerja kayu Tasmania, pakaian yang bergaya, dan seni seramik yang pelbagai. Horbat yang terletak di tepi laut sememangnya sangat indah dan tenang. Hobart juga lebih dikenali sebagai kawasan dermaga bersejarah.


Di situ adanya dok, di mana bot-bot nelayan berlabuh dan menjadi pusat sehenti berlabuhnya pelayaran kapal layar. Berhampiran dengan Pasar Salamanca letaknya St David’s Park yang bersejarah di Hobart. Jika mahukan kelainan, mendaki sedikit akan sampai ke Kelly's Steps untuk melihat keindahan kotej Georgia yang klasik dan menghayati suasana perkampungan di Battery Point. Rumah-rumah lama yang masih kekal terpelihara seperti dahulu lagi.



Salamanca Place adalah salah satu mercu tanda paling terkenal di Tasmania bersama-sama dengan Cradle Mountain, Mount Wellington, Port Arthur, Freycinet, Strahan, Mona, Muzium Seni Lama dan Baru di Berriedale. Kunjungan anda ke Salamanca Place, Hobart pasti tidak mengecewakan kerana disitulah bermula segala-galanya. Tidak mustahil anda akan membawa pulang ole-ole untuk mereka yang tersayang sebagai tanda kenang-kenangan bahawa anda pernah berada di Salamanca.

Comments

Popular posts from this blog

FILEM: ABANG ~ KARYA SULUNG DATO' RAHIM RAZALI

Landasan Maut - Sejarah Hitam Perang Dunia Kedua

MERINDUI KARYA TERBAIK DATO’ RAHIM RAZALI